Ibarat Daun yang Berguguran

Gambar ini diambil di Pekan Hahndorf yang cantik ketika musim Autumn baru bermula,.

“Dan pada sisi Allah-lah kunci-kunci semua yang gaib; tak ada yang mengetahuinya kecuali Dia sendiri, dan Dia mengetahui apa yang di daratan dan di lautan, dan tiada sehelai daun pun yang gugur melainkan Dia mengetahuinya (pula), dan tidak jatuh sebutir biji pun dalam kegelapan bumi dan tidak sesuatu yang basah atau yang kering, melainkan tertulis dalam kitab yang nyata (Lohmahfuz).” (6:59)

“Cantiknya pokok-pokok ini, Subhanallah!” saya bermonolog sendiri ketika memandu dari rumah untuk menghantar Humaira’ ke sekolah. Biasanya dia akan menaiki van untuk ke sekolah, tapi sekali sekala saya akan menghantarnya juga sambil membawa Khadijah menyedut angin pagi yang nyaman.

Cuaca yang semakin sejuk, serta daun-daun  yang bertukar warna akibat kekeringan dan semakin banyak berguguran di jalanan menandakan perubahan musim dari musim luruh ke musim sejuk akan mula berlaku tidak lama lagi. Ketika ini, suasana di Adelaide penuh warna-warni. Suasana yang sebelumnya hijau, bertukar ceria dengan dedaunan pokok yang pelbagai warna.

Ada yang masih hijau, namun tidak banyak, ada yang merah, kuning, kuning kemerah-merahan, coklat malah ada juga yang berwarna merah jambu. Warna-warna ini ada yang terhimpun dalam satu pokok hinggakan pokok itu kelihatan seperti baru dicat oleh seseorang dengan pelbagai warna yang ceria.

Taman-taman di tepi jalan juga dipenuhi dengan daun-daun kering yang berguguran dari pokok-pokok yang sebelum ini rendang menghijau, hingga kehijauan rumput tenggelam dilitupi oleh ribuan dedaun kering.

Bukan kali pertama saya melihatnya kerana telah hampir 2 bulan saya berada dalam musim luruh, namun setiap kali melihatnya hati tidak akan pernah gagal untuk merasa takjub. “Subhanallah! Maha Suci Allah yang telah menjadikan bumi ini pelbagai warna dan rupa dengan keindahan dan keunikannya yang tersendiri.”

“Apa yang cantik ayah?” Humaira’ yang duduk di tempat duduk belakang kenderaan kehairanan melihat saya bercakap sendirian lantas bertanya.

“Oh, tak ada apa-apa, ayah cuma tengok pokok-pokok yang di tepi jalan ini sahaja. Cantik kan dengan pelbagai warnanya?” saya menjawab sambil bertanya kembali kepadanya.

“Cantik-cantik, tapi kenapa daun-daun dah tak jadi warna hijau dan banyak yang jatuh ayah?” jawapannya diringi pula dengan soalan mudah yang biasa timbul dari akal kanak-kanak yang penuh sifat ingin tahu. Namun, soalannya, walaupun mudah tapi cukup menarik dan sebenarnya amat sukar untuk dijawab dalam bahasa yang boleh difahami oleh kanak-kanak.

Ketika musim luruh dan menghampiri ke musim sejuk, waktu siang akan semakin pendek bermakna jumlah cahaya matahari yang diterima oleh pokok juga akan semakin berkurangan. Hal ini menyebabkan penghasilan klorofil untuk fotosintesis yang menghasilkan warna hijau pada daun akan mula dikurangkan untuk mengimbangi jumlah cahaya matahari yang semakin kurang.

Kehilangan warna hijau tadi akan menyebabkan pigmen warna kuning dan merah yang sememangnya ada pada daun kelihatan lebih menyerlah, menyebabkan daun itu bertukar warna.

Daun-daun yang berguguran pula, bukanlah disebabkan oleh angin yang bertiup, tapi ia adalah satu mekanisme untuk pokok ‘berehat’ apabila cahaya matahari untuk proses fotosintesis semakin kurang didapati. Pokok-pokok ini akan menyingkirkan kebanyakan dari daun-daunnya untuk menyimpan ‘tenaga’ bagi menghadapi musim sejuk yang akan datang. Seterusnya memberi ruang untuk pucuk-pucuk daun baru yang lebih segar untuk tumbuh ketika bermula musim bunga.

Mengingati kembali pelajaran Sains di sekolah menengah tidaklah sesukar mana, namun untuk menerangkannya kembali dalam bahasa yang kurang kompleks, memang mencabar.

“Sebenarnya Humaira’, pokok-pokok ini pun makhluk Allah macam kita juga. Pokok, juga perlu pada makanan seperti mana kita juga perlu pada makanan.”

“Cuma, makanan pokok bukannya nasi atau roti, tapi dia ‘makan’ cahaya matahari, air dan udara (karbon dioksida). Bila musim sejuk, pokok ini akan kurang dapat makanan sebab siang dia pendek.”

“Humaira’ ingat lagi kan yang ayah terangkan pada Humaira’ tentang kenapa waktu sekarang Maghrib semakin awal (sekitar jam 5.15 petang).” Saya mengingatkannya kepada penerangan saya tentang siang yang semakin pendek berbanding di Malaysia kerana ia punya kaitan dalam sesi tarbiah pagi ini. Tanpa menunggu jawapannya saya terus menyambung lagi kerana kami makin hampir tiba ke destinasi.

“Jadi bila siang semakin pendek, pokok akan dapat kurang makanan iaitu cahaya matahari tadi.” Saya mengingatkannya kembali.

“Bila pokok kurang dapat makanan, pokok akan kurang tenaga jadi pokok kena banyak ‘rehat’. Untuk ‘berehat’, pokok kena jatuhkan daun-daunnya sebab lagi bila banyak daun yang ada di pokok, banyak tenaga yang pokok kena guna.”

“Sebab itulah, daun-daunnya jatuh. Hah! Faham tak?” Saya menyoal kembali, kami semakin hampir untuk tiba di destinasi iaitu East Torrens Primary School.

“Hmmmm...faham kot.” Humaira’ menjawab tidak dengan sepenuh keyakinan, mungkin ada persoalan yang masih belum benar-benar dihadamkan. Tentang bagaimana pokok makan agaknya. Saya tidak ingin memanjangkan lagi persoalan saintifik di sebalik daun yang berguguran kerana ada pengajaran yang lebih penting yang ingin saya katakan.

“Daun-daun itu samalah macam manusia Humaira’, sampai masanya semuanya akan gugur. Seperti juga manusia, sampai masanya semua manusia akan mati.” Saya memberikan pengajaran pertama.

Humaira’ mendengar sambil matanya meliar melihat pemandangan di luar. Saya tahu dia sedang mendengar. Jika tidak masuk 100% pun tidak mengapa, asalkan ada sedikit kefahaman yang dapat masuk ke lubuk hatinya.

“Cuma beza kita dengan daun, bila daun jatuh, ia habis disitu sahaja, maknanya, daun itu tak akan hidup balik untuk ditanya tentang amal perbuatannya, tapi manusia, selepas semuanya mati, semua manusia akan dihidupkan balik di akhirat untuk Allah tanya tentang apa yang kita buat atas dunia.”
Saya menjelaskan lagi ketika kami telah berhenti. Ulangan pembelajaran keimanan cuma dalam warna dan latar yang berlainan.

“Akhir sekali Humaira’, setiap daun yang gugur, semuanya yang kita tengok atas jalan mahupun yang di dalam longkang. Semuanya Allah tahu di mana dan bila dia gugur dan jatuh.”

“Sama juga macam kita manusia, apa sahaja yang kita perbuat di atas dunia ini, kecil atau besar, sembunyi atau tidak, semuanya Allah tahu. Tidak ada tempat yang kita boleh bersembunyi dari Allah.” Saya mengakhiri tazkirah pagi seraya mematikan enjin kereta. Pintu belakang saya buka untuk mengambil adik Khadijah yang sedang enak menikmati buah epal yang manis dan sama-sama kami berpimpinan tangan berjalan menuju ke kelas M4.

Menarik perbincangan kami pagi ini. Dari daun yang berguguran, ada banyak pengajaran untuk kita semua meningkatkan taqwa kepadanya.

“Dan pada sisi Allah-lah kunci-kunci semua yang gaib; tak ada yang mengetahuinya kecuali Dia sendiri, dan Dia mengetahui apa yang di daratan dan di lautan, dan tiada sehelai daun pun yang gugur melainkan Dia mengetahuinya (pula), dan tidak jatuh sebutir biji pun dalam kegelapan bumi dan tidak sesuatu yang basah atau yang kering, melainkan tertulis dalam kitab yang nyata (Lohmahfuz).” (6:59)





No comments:

Post a Comment