Bagaimana Mendidik Anak Solat: My Solehah Book!



“Humaira’! jom bangun solat subuh, pagi ini kita solat subuh sama-sama ye.” Saya mengejutkannya untuk solat Subuh pada pagi yang sejuk. Amat sejuk. 5 atau 6 darjah celcius agaknya, hampir seperti berada di dalam peti ais. Kedinginan musim sejuk begini memang agak mencabar kegagahan untuk menolak selimut yang tebal lantas berwudhu’ dalam suasana yang amat sejuk.

Kebetulan saya terbangun agak lambat pagi itu menyebabkan saya tidak akan sempat untuk solat berjemaah di masjid Wandana yang mengambil masa lebih kurang 10 ke 12 minit berkereta.

Humaira’ membuka matanya perlahan, kemudian menggeliat. Saya hanya melihat dari tepi pintu  biliknya, pagi ini saya mahu dia bangun atas kekuatannya sendiri. Tidak bergantung samada kepada saya atau isteri untuk ke bilik air dan menyediakan air panas untuknya membasuh muka.

Berwudhuk, dalam suasana sesejuk ini saya longgarkan dahulu, pendidikan harus berlaku dengan perlahan-lahan dan tidak memberatkan jiwa halusnya yang masih membina kekuatan sedikit demi sedikit.

Tidak dapat dinafikan, sejak kecil kami, terutamanya saya amat memanjakan Humaira’ sehingga kadang-kadang dia menjadi tidak berdikari dan terlalu bergantung kepada saya terutamanya, untuk menyelesaikan sesuatu perkara. Namun kesilapan ini (jika ia boleh dikatakan kesilapan), saya cuba perbaikinya dengan perlahan-lahan.

Sebenarnya, kanak-kanak yang berusia lima tahun telah punya keupayaan yang cukup untuk melakukan banyak perkara secara berdikari, namun jika ibu bapa masih tidak mempercayainya dan masih melakukan banyak perkara yang sepatutnya boleh dilakukannya sendiri, anak itu mungkin agak sukar untuk hidup berdikari ketika besar nanti.

“Cepat Humaira’, kalau lambat ayah dengan ibu solat dulu ye. Lagi satu, kalau Humaira’ duduk atas katil, nanti tertidur dan terlepaslah solat Subuh. Maka nanti tak bolehlah Humaira’ tampal pelekat bintang dalam ruangan solat Subuh pada buku My Solehah Book Humaira’ tu. Rugilah nanti.

My Solehah Book adalah buku kecil yang mengandungi senarai sifat-sifat dan amal ibadah yang kami ingin latih Humaira’ untuk mengamalkannya. Seperti borang mutaba’ah amal mungkin. Ternyata, buku kecil yang comel beserta pelekat bintang bersinar terang amat membantu untuk memotivasikan dirinya melakukan perkara-perkara yang sebelum ini berat untuk dilaksanakannya.

Buku itu kami bahagikan kepada bahagian-bahagian kecil, ada bahagian solat dan membaca Iqra’, ada bahagian hafazan, ada bahagian membantu ibu di dapur, ada bahagian mengemas rumah dan selebihnya kami akan tambah mengikut keperluan jika ada sifat spesifik yang ingin kami didik atau sifat negatif yang ingin kami ubah.

Bintang-bintang itu akhirnya boleh ditukarkan kepada hadiah ganjaran rahsia jika telah mencapai ke satu peringkat. Contohnya, jika 10 bintang telah berjaya dicapai untuk solat Subuh, maka satu hadiah istimewa akan diberi.

Ternyata anak-anak amat mudah jika dididik dengan kaedah memberikan ganjaran (yang tidak semestinya besar dan mahal, cukup sekadar mug atau kad tahniah yang tertera namanya dengan indah), namun ganjaran itu harus bersyarat dan perlu dijelaskan kemudiannya agar tidak menganggu keikhlasannya ketika beramal soleh.

My Solehah Book sesuai untuk mendidik anak-anak pada peringkat awal usia lagi. Saya pernah terbaca dalam satu buku pendidikan anak-anak Islam bahawa para solihin yang terdahulu juga mengamalkan kaedah memberi hadiah dalam menggalakkan anak untuk menghafaz atau membaca Al Quran.

Barat juga mengamalkan kaedah yang sedemikian dalam mendidik dan merangsang kelakuan anak-anak. Kaedah memberikan ganjaran banyak dibuktikan lebih berkesan berbanding kaedah keras yang berteraskan marah-marah dan pukulan.

Namun demikian, jika telah sampai ke satu peringkat usia (10 tahun) dan ternyata ia masih enggan untuk solat, maka gunakanlah kaedah rotan untuk mendidik, bukan untuk melampiaskan geram.

“Ayah tunggu!” Humaira menjerit sedikit dengan suara yang masih serak-serak basah dan wajah yang masih mamai ketika kami baru hendak mengangkat takbir. Ternyata dia berjaya bangun untuk ikut solat subuh bersama pagi itu.

“Satu pencapaian yang baik”, saya bermonolog sendiri sambil melihatnya menyarungkan telekung.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang telah memberikan kepadanya kekuatan jiwa.

Seusai solat, dia terus bangun mendapatkan bukunya untuk ditampalkan pelekat bintang tersebut. Saya memanggilnya dan kemudian berkata.



“Humaira’, tahniah sebab dapat solat Subuh pagi ni walaupun cuaca sangat sejuk. Ayah sangat bangga dengan Humaira’”.

Dia lantas menunjukkan buku bintangnya dengan wajah yang telah sedikit ceria. Saya tersenyum dan mengangkat ibu jari tanda bagus diikuti dengan sejambak nasihat.

“Humaira’, tahniah sebab dah banyak kali berjaya solat Subuh, tapi ayah harap dan ayah yakin Humaira’ faham yang walaupun Humaira’ dapat tampalkan bintang dan ayah akan bagi hadiah, tapi hadiah dari Allah di syurga nanti untuk orang yang menjaga solatnya jauh lebih istimewa.”

“Syurga sangat hebat hingga tak dapat digambarkan oleh kita. Insyaallah, Humaira’ teruskan ye, jika terus begini Allah akan makin sayang pada Humaira’ dan ayah ibu pun akan rasa gembira.”

“Bila Allah sayang, insyaallah, kita akan masuk syurga.” Syurga adalah ganjaran yang abadi, keindahan dan kenikmatan yang tidak dapat digambarkan oleh mata ataupun hati manusia adalah ganjaran sebenar bagi mereka yang sentiasa berusaha untuk memperbaiki agamanya.

“Jom kita baca doa sama-sama, lepas tu terus mandi dan bersiap untuk ke sekolah”

“Rabbij’alni Muqimassolati Wa Min Dzuriyyati, Rabbbana, wa Taqabbal Du’a”

“Wahai Tuhanku, jadikanlah aku dalam golongan orang yang sentiasa memelihara solat begitu juga dengan anak-anakku, Wahai tuhan, engkaulah yang maha mengabulkan doa.”

Doa itu sama-sama kami aminkan, semoga semangatnya akan terus mekar selepas ini dengan My Solehah Book atau tanpanya.

1 comment:

  1. wah..bagus ni...
    ramai parents yg slalu gune sdikit kekerasan dalam mendidik...
    mungkin,tergerak utk melakukan amal,tapi dalam keadaan hati yg marah atau x senang..

    ReplyDelete