Menaiki bas hampir setiap hari di Adelaide (setakat ini) untuk berulang alik ke Universiti, cukup banyak perkara-perkara menarik yang saya saksikan setiap hari. Apatah lagi ketika menunggu bas di hadapan Royal Adelaide Hospital melihat pelbagai ragam manusia. Banyak yang ingin saya coretkan di blog ini, tetapi sayang, ilham dan mood datang dan pergi silih berganti, dan banyak dari kenangan itu tersemat kemas dalam memori menanti masa untuk diterjemahkan kepada kata-kata.
Semasa menunggu bas petang tadi dalam kedinginan petang yang mencengkam, saya melihat sepasang ‘couple’ sedang bergaduh sesama sendiri. Lelaki itu tampan, wanita itu juga cantik, berketurunan asia dan wajah ala-ala pelakon Korea yang digilai ramai pemuda-pemudi Malaysia masa kini.
Lelaki itu kelihatan berkasar sedikit dan seperti sedang menghamburkan kata-kata penuh amarah dengan wajah yang cukup menakutkan, wanita itu juga tidak mahu kalah, membalas tolakan lelaki tampan itu juga dengan tolakan yang agak kasar. Saya hanya melihat dan kemudian mengalihkan pandangan ke arah lain, begitu juga dengan khalayak yang lain, tidak ingin masuk campur dengan urusan ‘rumahtangga’ mereka, kecualilah berlaku perkara yang diluar dugaan. Tapi apa yang hendak dirisaukan, hospital dan beberapa kereta polis hanya di belakang.
Ketika bas H31 tiba, saya melihat wanita dan lelaki itu keduanya sedang menghisap rokok dengan wajah yang tegang. Tanpa sedar saya menggeleng kepala sendiri, kesal melihat cara layanan lelaki itu kepada wanita tersebut walaupun wanita tersebut juga kelihatan kasar. Jika sebelum berkahwin pun telah begitu tegang, bagaimanakah rupanya ketika telah berkahwin nanti? Tidak guna berwajah tampan jika akhlak buruk dan busuk seperti tong sampah.
Ketika semua telah menaiki bas, saya yang berdiri di bahagian hadapan dan beberapa penumpang lain tertanya-tanya mengapa bas masih belum berjalan. Puas meninjau, rupanya pemandu itu sedang menunggu seorang wanita tua yang berjalan perlahan.
Keseorangan dan mungkin dalam usia lewat 70 an, wanita itu berjalan terbongkok-bongkok dengan wajah yang suram. Kedutan di wajahnya mungkin menyimpan jutaan pengalaman berharga yang telah dilalui sepanjang hidupnya.
Wanita tua itu masuk dengan begitu ‘slow motion’, saya cukup kagum dengan kesabaran pemandu bas itu yang tetap menyambutnya dengan senyuman yang manis dan mempersilakannya duduk di kerusi khas walaupun wanita tua itu memberitahunya bahawa dia tiada wang untuk membeli tiket bas.
Setelah wanita itu duduk, pemandu itu bertanya lagi tentang tempat destinasinya dan ketika destinasi wanita itu telah tiba sekali lagi dia bertanya dan kemudian pemandu itu memberhentikan basnya di luar dari kawasan yang sepatutnya dia berhenti hanya kerana ingin memudahkan wanita tua itu untuk pulang ke rumahnya.
Pemandu itu wajahnya tidak tampan, rambutnya juga agak nipis di tengah, berkaca mata seperti seorang pensyarah yang mengajar bidang sejarah dengan gaya yang membosankan namun akhlaknya saya tabik.
Lelaki budiman sebegini amat sukar dicari dalam zaman materialistik sekarang ini. Moga satu hari nanti Allah akan mengurniakan hidayah kepadanya untuk menuju ke jalan yang lurus.
Akhlak yang cemerlang walaupun dengan wajah yang kurang tampan akan menjadikan seseorang itu cukup mulia dan akan dikenang sepanjang masa.
Saya mungkin akan melupakan lelaki tampan yang berkasar dengan teman wanitanya tadi, tapi saya akan mengingati pemandu bas itu untuk satu jangka masa yang lama.
No comments:
Post a Comment