7 Tahun Telah Berlalu


Semalam genaplah 7 tahun usia perkahwinan kami. Mengimbau semula memori, banyak kenangan pahit manis yang telah dilalui bersama. Ditambah pula seri dengan 2 cahaya hati penyejuk mata penawar jiwa, menambah kemanisan dalam rumahtangga. 7 tahun telah berlalu dan bahtera ini terus kukuh belayar dengan izin ilahi, walaupun sesekali datang ombak badai yang datang menguji.

Walaupun 7 tahun telah berlalu, tetapi terasa seperti baru semalam akad dilafazkan, tanda termeterai suatu janji, untuk saya menjagai dirinya dengan penuh rasa cinta. Mengambil tanggungjawab yang selama ini terbeban di atas pundak abahnya dengan penuh amanah yang akan ditanya pada hari yang penuh dengan mehnah.
Semalam, saya dan isteri sama-sama ‘bercuti’ seketika dari hiruk pikuk anak-anak dan kesibukan tanggungjawab sebagai pelajar untuk kami memperbaharui kembali janji perkahwinan, mengoreksi diri dan sama-sama melihat adakah bahtera yang kami layari ini masih lagi dalam laluannya yang betul untuk membawa kami ke arah syurga yang luasnya seluas langit dan bumi.

Jeti Semaphore menjadi saksi akan pembaharuan janji kami untuk terus bercinta sehingga ke syurga andai taqdir tidak memisahkan kami berdua.

Sudah menjadi tradisi, setiap tahun, pada tanggal 6 Jun kami akan melihat dan memperbaharui kembali janji, kerana untuk menunaikan tanggungjawab perkahwinan, ia bukanlah suatu perkara yang mudah dan memerlukan komitmen yang tinggi dari suami dan isteri.

Andai perkahwinan semata-mata untuk memenuhi tuntutan seks sahaja, ia mungkin mudah, tetapi ia adalah anugerah, yang pada masa yang sama ia juga adalah amanah yang berat terutamanya buat para lelaki untuk memikulnya.

Perkahwinan adalah mawaddah dan sakinah namun ia juga boleh bertukar menjadi fitnah, andai bahtera perkahwinan dilayarkan tanpa ada destinasi pasti yang ingin ditujui.

Ramai yang berkahwin tanpa matlamat yang jelas. Ada yang berkahwin kerana terpikat dengan kejelitaan wajah seseorang wanita, ada pula wanita yang berkahwin kerana tertarik dengan ketampanan dan kekayaan seorang lelaki, ada yang berkahwin kerana terpikat dengan tutur kata yang lembut dan kesopanan bakal pasangan malah ada juga yang berkahwin kerana ingin mendapatkan anak semata-mata dan macam-macam lagi sebab yang songsang bagi memulakan sebuah perkahwinan.

Sebetulnya, perkahwinan adalah medan terbaik untuk kita menyempurnakan tuntutan agama, kerana ia adalah medan untuk kita mendidik diri juga peluang untuk kita menabur bakti. Perkahwinan adalah medan untuk memberi cinta dan bakti, bukan untuk menerima sebanyak-banyaknya. Bila telah memberi, kita pasti akan menerima kembali, jika tidak disini, insyaallah nun di sana nanti.

Buat para suami atau bakal suami, jadikanlah rumahtangga sebagai medan untuk berbakti bukan sebagai medan untuk menunjukkan keegoan diri. Tidak akan jatuh martabat seorang lelaki hanya kerana membantu isterinya menyelesaikan urusan rumahtangga dan melayani isteri dan anak-anak dengan penuh kasih sayang dan kelembutan.

Rasulullah adalah pemimpin umat, namun beliau adalah teladan yang terbaik dalam membantu urusan rumahtangga dan berbuat baik kepada isteri. Bahkan beliau adalah manusia yang paling baik terhadap para isterinya.

Buat para isteri dan bakal isteri pula, jadikanlah rumahtangga sebagai syurga dan medan perjuangan untuk membangunkan ummah. Contohilah para isteri salafussoleh yang penuh setia menjaga rumahtangga dan mendidik anak-anak menjadi singa, bukan menjadi kijang yang cintakan dunia.

Buat pemuda dan pemudi, mulakanlah perkahwinan dengan niat yang betul iaitu untuk mencari redha Allah dalam kehidupan di akhirat juga buat mencipta syurga cinta di dunia. Pilihlah pasangan yang baik agamanya walaupun mungkin rupa dan hartanya sederhana cuma. Pilihlah pasangan yang kita yakin tidak akan mensia-siakan kita bila kita mengahwininya dan mampu untuk kita cintai selamanya hingga ke syurga.

Rumahtangga adalah bahtera yang akan membawa kita sama ada ke syurga atau ke neraka, kitalah yang akan menentukan destinasinya. 

1 comment: