“Humairaaa’, mari makan” saya memanggilnya tika lauk telah dihidangkan di atas meja. Hidangan gulai telur dan ikan tenggiri goreng masakan ibu saya sememangnya cukup istimewa. Istimewanya bukan kerana harganya yang mahal atau ada rempah rahsia yang tidak diketahui, tapi masakannya berperisa kasih sayang, itulah rahsia setiap masakan ibu menjadi istimewa.
Sepi.
Humaira’ tidak menyahut panggilan, padahal ketika turun tadi saya melihatnya sedang berbaring di hadapan televisyen.
“Humairaaaaaaa, makan!” Saya memanggilnya lagi, kali ini dengan nada yang lebih keras. Namun masih tiada jawapan.
“Humairaaaaaaaaaa!” saya separuh menjerit, geram juga dibuatnya, semua orang di meja ternanti-nanti kehadirannya.
“Yeee ayah, kejaplah Humaira’ nak tengok TV ni, sebentar lagi ada rancangan Wonderpets” dia menjawab selamba.
“Astaghfirullah!” saya beristighfar perlahan. Kemudian saya meninggalkan meja seketika dan menuju ke ruang tamu tempat dia berbaring di hadapan TV.
“Humaira!, tutup TV sekarang, mari ke meja makan!” saya memberikan arahan.
Dia masih berbaring, tidak bergerak menambahkan geram di hati saya. Wajahnya kelat sahaja.
Melihat keadaan itu, saya terus menutup TV dan menarik tangannya.
“Bangun sekarang! Jom kita makan!” saya memberi arahan. Tegas.
Humaira’ melangkah longlai ke meja makan, dia hanya membisu seribu bahasa. Tiba di meja makan dia membuat onar lagi. Nasi yang telah terhidang hanya dilihatnya, langsung tidak disentuh.
Saya hanya memerhati, geram juga di dalam hati, isteri saya juga memandangnya dengan wajah singa. Sungguh 2 3 hari ini di rumah atuknya, banyak sungguh ragamnya, macam-macam perkara yang dilakukan seolah sengaja menduga kesabaran kami berdua.
Kami hanya membiarkan sahaja. Selesai semua orang makan, nasinya masih tidak bersentuh. Kepalanya ditundukkan ke bawah. Atuk dan neneknya cuba juga untuk memujuk, tapi dia diam membisu seribu bahasa.
Saya bertanya lagi, kali ini lebih tegas.
“Humaira’ nak makan ke tak nak?” saya memberi kata dua.
Dia mengangguk perlahan.
“Kalau nak makan, makan sekarang, kalau tak nak, ayah nak simpan sahaja lauk ni, nak bagi kucing makan petang ni.”
Mendengar ancaman itu, perlahan-lahan dia menyuapkan makanan ke mulutnya, matanya mula berkaca-kaca.
Selesai makan, dia memegang baju saya erat, mohon dimaafkan. Lama juga saya berfikir, apa yang perlu saya katakan padanya untuk mengajarinya cara menerima teguran dan nasihat. Jika dibiarkan begini, buruk padahnya nanti.
Pantang ditegur, masam mukanya dan kemudian mulalah menggunakan air mata sebagai senjata.
Ketika itu, di dapur hanya tinggal kami berdua.
“Humaira’, ayah tegur dan marah pada Humaira’ sebab ayah sayang lah, kalau ayah tak sayang, ayah akan biarkan sahaja Humaira’ buat apa yang Humaira’ suka.” Saya memulakan bicara dengan suara yang lembut tapi masih ada ketegasan di dalamnya.
“Beginilah, katakan Humaira’ nampak adik Khadijah berlari ke tengah jalan yang banyak kereta, apa yang Humaira’ akan buat?” saya memberikan analogi dengan keadaan dirinya sendiri, manusia sebenarnya akan lebih memahami jika ada empati.
Dia diam sahaja, mungkin emosinya masih terganggu.
“Mesti Humaira’ akan halang dia kan, betul tidak?” saya menjawab sendiri soalan itu.
Dia mengangguk perlahan sahaja.
“Kalau adik Khadijah menangis kuat-kuat nak juga pergi ke tengah jalan itu, apakah Humaira’ akan biarkan dia? Tidak kan?
“Sebab apa Humaira akan halang dia walaupun adik menangis kuat-kuat? Sebab Humaira sayang adik kan? Saya bertanya kemudian menjawab sendiri semua soalan yang dikemukakan.
Dia masih mengangguk perlahan.
“Begitulah juga dengan ayah, kalau ayah atau ibu nampak Humaira’ buat salah, ayah akan tegur walaupun Humaira’ tak suka supaya Humaira’ sentiasa selamat dan lebih penting lagi supaya Humaira’ tak berdosa pada Allah.”
“Lepas ni kalau ayah tegur atau marah, itu maknanya ayah sayang pada Humaira’ tau, dan kalau Humaira’ nampak ayah buat salah, Humaira’ pun boleh tegur ayah.”
“Lepas ni, kalau ayah atau ibu panggil, terus kena sahut tau, tak boleh buat macam tadi,berdosa!”
Saya memeluknya erat, airmatanya tumpah.
“Sudah-sudah, hah pergilah tengok Wonderpets tu, ada 15 minit lagi”
Saya melepaskan pelukan dan memimpin tangannya ke ruang tamu.
Semakin puteri kami ini membesar, semakin berat terasa cabaran yang dipikul dalam mendidik mereka. Ya Allah, berilah kami kekuatan untuk mendidik anak-anak perempuan kami ini, jadikanlah mereka penyejuk mata dan penawar hati ibu dan ayah di dunia dan akhirat sana.
No comments:
Post a Comment