Potensi Gajah yang Terkunci.

“Ayah, kenapa gajah tu kena ikat” Humaira’ bertanya ketika kami melintasi kandang gajah di Zoo Taiping. Kelihatan seekor gajah sayu menundukkan wajahnya, hanya menggerak-gerakkan belalainya bagaikan memohon simpati agar rantai besi yang mengikat kaki dan kebebasannya agar dilepaskan.

“Yelah kalau dia terlepas, nanti dia mengamuk, kalau dia mengamuk, habislah kita semua dikejarnya nanti” saya menjelaskan, teringat pula kisah-kisah gajah yang mengamuk di kampung-kampung, buruk padahnya jika ada gajah yang naik minyak.

“Tapi bukan gajah tu kuat ke ayah? Rantai tu kecil sahaja, dia tak boleh pecahkan ke rantai tu” Humaira’ membalas penjelasan saya dengan satu logika pemikiran yang sungguh mudah.

“Taklah, rantai tu nampak aje kecil, tapi sebenarnya ia memang kuat” saya cuba mempertahankan, namun rasional saya juga mula tercabar dengan soalannya tadi.

“Betul juga katanya itu” saya bermonolog sendiri di dalam hati.

Mungkin juga gajah itu telah diikat sejak dia kecil. Ketika kecil mungkin rantai itu agak kuat baginya dan dia hanya bergantung kepada penjaga yang akan membuka kuncinya setiap kali ingin dilepaskan. Tapi setelah dikunci kembali, puas gajah itu mencuba, namun tetap tidak juga berjaya melepaskan diri dari rantai itu.

Masa berlalu dan setelah gajah itu membesar dan mempunyai kekuatan yang luarbiasa, ia itu tetap bergantung kepada penjaganya setiap kali hendak bebas dari rantai itu walaupun dari segi kekuatannya rantai itu mungkin boleh putus dengan sekali rentap sahaja. Ini kerana mungkin telah tertanam dimindanya bahawa adalah mustahil untuk melepaskan diri dari rantai itu tanpa bantuan dari penjaganya.

Saya berfikir lagi,

Begitu juga rasanya dengan kita sebagai manusia. Setiap dari kita sebenarnya punyai potensi yang luarbiasa seperti gajah dewasa tadi, cuma mungkin masih terikat dengan paradigm lama atau terikat dengan rutin harian yang menyebabkan kita percaya bahawa kita tidak akan dapat membebaskan diri dari ikatan kehidupan walaupun kita mampu untuk membebaskan diri dengan mudah. Mungkin juga kerana sejak kecil kita telah diasuh dengan fahaman bahawa rantai itu mustahil untuk dilepasi sendiri.

Justeru itu, sebagai ibu bapa, kita harus mengajar rasa yakin diri kepada anak-anak sejak dari awal usia lagi, usah biasakan mereka dengan “Jangan Itu” dan “Jangan Ini”, kelak akan membunuh potensi dan keyakinan mereka. Biarkan mereka bereksplorasi dengan dunia mereka dengan imaginasi dan kreativiti. Lepaskan mereka (sudah tentu dengan kawalan dan panduan ibu bapa) untuk cuba memanjat, melompat, berlari dan bereksplorasi di dapur, ruang tamu, padang permainan atau kolam renang.

Tersalah atau tersilap, tertumpah atau terjatuh, itu perkara biasa, kita manusia yang dewasa juga sering melakukannya.

Biarkan anak-anak bermain dengan imaginasi dan kreativiti. Kurangkan “Jangan” dalam ensiklopedia kehidupan mereka, sebaliknya doronglah mereka dengan penuh galakan yang positif agar terbina dalam diri mereka rasa yakin pada diri bahawa mereka boleh melakukannya.!

“Jom kita nyanyi lagu gajah Humaira’” saya tersedar dari lamunan lantas mengajaknya menyanyi bersama bagi memahami hakikat potensi sebenar gajah yang terkunci.

Gajah hidung panjang
Badan hitam besar
Telinga macam kipas
Jalan bongkok-bongkok
Kaki macam tiang
Kuat tolak pokok

3 comments:

  1. salam hisham,
    itulah jadinya kalau kita berada di dalam persekitaran yang mampu melemahkan kita. Kadang2 ada rasionalnya utk 'keluar' dari kepompong keselesaaan utk menilai keupayaan sebenar kita.
    Dan yg pasti, kita mampu buat byk perkara! :-)
    *dan semoga bersiap sedia utk phd!. "phd is fun!".

    ReplyDelete
  2. salam bro zz,
    kesimpulannya, kena keluar dari zon selesa untuk mendidik diri menjadi lebih perkasa!

    ReplyDelete
  3. tentu sekali.
    keluar drp zon selesa dapat memberi peluang utk kita kenal keupayaan sebenar kita. "the hidden talent".
    .....
    :-)
    acapkali kita dengar, org2 kita juga mampu buat ..tapi.. tapi..
    -sbb ramai yg sudah berada zon itu.

    ReplyDelete