Ke mana Hilangnya Matahari?

“Ayah, matahari hilang ke mana?” tiba-tiba terpacul soalan dari Humaira saat kami sedang dalam perjalanan ke Alor Setar. Kebetulan Maghrib itu saya ada pertemuan Halaqah bersama rakan-rakan yang di adakan di rumah salah seorang sahabat kami di Alor Setar dan sengaja saya mengajaknya kali ini untuk menemani dan membiasakan dirinya dengan suasana majlis ilmu. Ketika melalui lebuh raya yang dikelilingi sawah padi, kelihatan sang matahari perlahan-lahan menyembunyikan diri dan pergi menunaikan janji ketaatannya pada daerah lain pula.

“Ayah, kenapa matahari ada waktu siang lepas itu hilang pada waktu malam dan kenapa bulan ada waktu malam sahaja” sebelum sempat saya menjawab, 2 lagi soalan mencabar minda si ayah keluar dari bibirnya.

“Hmmmm, begini sayang” saya memulakan penerangan, lama juga saya memikirkan cara untuk memberi jawapan.

“Matahari bukan hilang, tapi dia pergi ke tempat lain pula. Bila waktu dah petang dan masuk Maghrib, matahari akan pergi ke negeri lain untuk beri cahayanya pada orang lain pula, dan tempat itu pula yang akan jadi siang hari. Kemudian waktu malam tiba, dan malam yang gelap adalah masanya untuk kita rehat dan tidur. Pada waktu malam datanglah bulan yang cantik menggantikan matahari.” Saya menyusun ayat.

“Matahari pergi mana ayah?” sekali lagi dia mengulang soalannya, tanda ketidakfahaman dan masih tidak puas hati, langsung mengabaikan keterangan saya tadi.

“Humaira tak faham ye?” saya cuba mengagak apa yang ada di fikirannya, mungkin penerangan yang saya berikan tadi, tidak dapat dibayangkan oleh mindanya dengan jelas.

“Ye, Humaira tak faham ayah” jujur dia menjawab sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal.

“Ayah, matahari dia masuk dalam laut dia cerahkan ikan pula ke?” dia membentangkan logika pemikirannya yang menggeletek hati saya. Tidak tersangka ke situ pula pemikirannya.

“Bukan begitu sayang, tak mengapa, nanti balik rumah ayah terangkan dengan cara yang istimewa.” Saya tersenyum manis kepadanya sambil menahan tawa. Bimbang jika dia terasa diperlekehkan. Menerangkan fenomena alam yang kompleks kepada kanak-kanak memang sukar, namun saya terfikir suatu cara yang lebih baik dan mudah untuk menerangkan kepadanya tentang peredaran siang dan malam.

“Baik ayah, janji ye” kelihatan wajahnya tidak sabar-sabar lagi.

***

Pulang ke rumah malam itu, walaupun malam telah agak lewat, namun dia masih teringat akan janji petang tadi.

“Ayah, tadi ayah janji nak cerita kat Humaira” dia mengingatkan akan janjinya setelah saya mematikan enjin kereta. Jam menunjukkan 1030 malam.

“Kalau ayah terangkan esok boleh?, esok kan Humaira sekolah?” melihat malam yang telah agak larut, saya cuba menangguhkan perbincangan walaupun saya tahu penangguhan itu tidak akan diterima.

“Tak mahu, tadi ayah dah janji!” dengan tegas dia menolak, dan saya akur. Janji kepada anak-anak jangan diremehkan.

Setelah masuk, saya menyuruhnya duduk di atas lantai ruang tamu, sambil saya mengambil mainan tanah liat di atas meja permainannya.

“Ayah nak buat apa dengan tanah liat tu?” dia semakin musykil.

“Haa, ni ayah nak terangkan la ni, sabarlah ye”

Menggunakan tanah liat tersebut, saya membuat tiga bulatan yang berbeza saiz dan warna. Bulatan besar, sederhana dan kecil. Kemudian saya menyusunnya mengikut kedudukan bumi, matahari dan bulan.

“Humaira tengok sini, yang besar ni matahari, yang kecil sekali ni bulan dan yang sederhana besar ni bumi.”

“Kita duduk dekat satu tempat di atas bumi, di sini Kedah tempat kita duduk” saya mencucuk satu lubang kecil pada model bumi untuk menunjukkan lokasi.

“Ayah, Humaira nak cucuk juga” spontan dia mengambil model bumi.

“Humaira! Nanti la, nak ayah terangkan ke tak nak ni?” saya menyergah sedikit, jika dilayan tuntutannya, akhirnya demonstrasi tidak akan menjadi dan entah hingga jam berapa saya akan terperangkap.

“Duduk diam-diam dan dengar dulu ayah nak cerita” saya memberi amaran.

“Sekarang ni, matahari duduk di sini, sementara bulan pula di sini.” Saya mengambil semula model bumi dari tangannya dan mengatur kedudukan model bumi agar matahari tepat berada setentang di lokasi yang telah saya tandakan tadi. Sementara bulan, saya jauhkan sedikit dari kedudukan.

“Bila siang hari, matahari akan duduk di atas kita, sebab tulah siang hari cerah.”

Kemudian saya menyambung lagi.

“Bumi yang kita duduk ni, dia akan sentiasa bergerak dan berpusing. Bila bumi berpusing...” ketika ini perlahan-lahan saya memusingkan model bumi sehingga titik yang saya tandakan tadi sehingga beralih ke dimensi lain pula.

“Sekarang Humaira nampak tak, bila bumi berpusing, akhirnya tempat yang kita duduk akan jauh dari matahari, dan ketika ni kita akan dapat malam pula sebab cahaya matahari dah tiada, dan pada waktu malam kita akan nampak bulan.” Ketika ini, titik tadi telah berada bertentangan dengan bulan.

“Oooo, ayah, Australia di mana?” tiba-tiba dia bertanya tentang Australia, mungkin teringatkan Ibu Saudaranya yang sedang melanjutkan pengajian di sana.

“Australia di sini pula” saya menandakan satu lagi titik yang agak jauh dari titik pertama tadi dan saya letak berlawanan dengan lokasi asal agar dia faham akan konsep matahari yang menyinari bumi lain walaupun secara logiknya kedudukan Australia adalah tidak berapa jauh dari Malaysia.

“Humaira nampak tak, sekarang Australia pula yang dapat cahaya matahari, dan bila bumi berpusing lagi, maka di Australia akan jadi malam dan Makcik Inah di Australia akan nampak bulan pula. Bila Australia malam, cuba Humaira tengok tempat kita duduk, dekat dengan matahari kan?”

“Ye ayah!” dia mengangguk penuh riang.

“Ketika ini, kita pula yang akan si....” saya berhenti disitu agar dia menyambungnya.

“Siang” dia menyambung dengan riang walaupun matanya telah semakin kuyu.

“Haa, begitulah adanya siang dan malam, sekarang Humaira faham?”

“Faham ayah!”

“Kalau faham, bagus! Dan Humaira kena ingat, bumi yang berpusing, matahari yang cerah, bulan yang cantik, semuanya siapa yang ciptakan?” perisa keimanan dalam setiap kisah dan demonstrasi jangan sekali ditinggalkan, agar kefahamannya membawanya lebih dekat kepada tuhan.

“Allah yang ciptakan!” dia menjawab separuh menjerit kegembiraan.

“Ok, bagus! sekarang masanya untuk tidur, nanti esok masalah pula nak bangkit awal untuk ke sekolah.” Saya mengajaknya tidur, kepala saya sendiri telah terasa berat. Saya mengemas model-model bumi matahari dan bulan kemudian memimpin tangannya naik ke atas. Hati terasa puas kerana malam ini saya dapat menerangkan sesuatu yang saya sendiri tidak pernah memahaminya hingga belajar subjek alam dan manusia ketika di sekolah rendah. Namun apa yang lebih penting adalah, pada setiap fenomena alam, ada tanda-tanda kekuasaan tuhan buat mereka yang sentiasa memikirkan.

Mutiara Untuk Ibu Bapa

Anak-anak akan sentiasa bertanya tentang kejadian alam yang dilihatnya setiap hari seperti pertukaran malam dan siang. Fenomena kompleks yang sukar difahami jika sekadar diterangkan dengan kata-kata mungkin perlu pada sedikit demonstrasi mudah berskala kecil agar mindanya dapat membayangkan sendiri kejadian tersebut dengan imaginasinya. Ibu bapa perlu sedikit kreatif agar anak-anak tidak mudah terasa bosan dengan pendekatan yang sama untuk menerangkan dan memberi kefahaman.

3 comments:

  1. MasyaAllah... rupanya anak2 ini mudah belajar jika kita bantu visualize kan apa yg dia nk tau... i like ur presentation plus ur perisa keimanan.. moga boleh digunakan utk anak ku jua..

    ReplyDelete
  2. ye, memang benar tu...kita pun kalau dengar lecture memang akan cepat mengantuk, berbanding kalau ada audio visual, apatah lagi kalau ada model yang boleh dipegangnya sendiri...

    ReplyDelete