Selain dari asap rokok dan bunyi geselan polisterin yang menimbulkan rasa ngilu, satu perkara yang cukup aku alah adalah menghadapi peperiksaan. Entah mengapa sejak dari dulu lagi, peperiksaan akan membuatkan hormon tubuhku berubah dan akan menimbulkan kacau bilau pada sistem tubuh.
Kali pertama aku mengalaminya ialah ketika menghadapi peperiksaan PMR. Entah bagaimana ketika menjawab kertas pertama pada hari pertama, perutku tiba-tiba dilanda sakit yang memulas-mulas, hendak ke tandas, faham-faham sahajalah tandas sekolah ketika itu, lalu kemudian aku memecut sepantas Usain Bolt memanjat pagar tandas pengawas untuk meredakan hajat.
Kemudian ketika SPM, entah gemuruh apa yang menimpa, tiba-tiba aku dilanda demam dan sakit kepala yang berat. Hingga menyebabkan aku hilang fokus dalam peperiksaan Bahasa Melayu ketika itu. Peperiksaan matrikulasi juga menyaksikan aku ditimpa malang yang sama hingga terpaksa mengambil peperiksaan akhir di katil pusat kesihatan.
Seingat aku juga, beberapa kali dalam peperiksaan akhir peringkat sarjana muda di UUM, aku dilanda sakit perut hingga menyebabkan ada soalan-soalan yang tidak sempat dijawab. Itu belum dicampur kesukaran yang aku alami ketika hendak menulis kerana menahan kesejukan dewan peperiksaan yang begitu mencengkam.
Mungkin kerana itu, aku hari ini menjadi seorang yang cukup anti peperiksaan. Tanpa menafikan bahawa penilaian itu perlu, tapi tidak semestinya ia dilakukan melalui peperiksaan. Adalah tidak adil, jika kita menilai kefahaman pelajar tentang apa yang dipelajarinya sepanjang semester dan jika SPM, selama 2 tahun pelajaran yang dipelajarinya dinilai dalam tempoh beberapa jam sahaja. Malang, jika ada yang mengalami nasib serupa denganku, dan aku pernah berjumpa dengan seorang pelajar yang akan diserang demam setiap kali akan berhadapan dengan peperiksaan akhir.
Ada juga yang panik dan gabra, bukan tidak faham akan konsep dan ilmu yang telah dipelajari, tapi suasana dan keadaan menyebabkan segala ilmu di dalam kepala hilang entah ke mana dan tidak dapat diterjemahkan di atas kertas jawapan.
Penekanan yang keterlaluan terhadap peperiksaan hanya akan melahirkan ramai manusia robot yang tidak tahu menghargai ilmu. Baginya yang penting adalah angka dan gred, bukan isi dan hikmah disebalik sesuatu matapelajaran.
Cemerlang dalam peperiksaan, bukan tiket untuk mencapai kejayaan dalam hidup. Sebaliknya displin, jatidiri dan kesungguhan serta sikap yang betullah yang akan membawa seseorang itu untuk menjadi manusia yang cemerlang.
No comments:
Post a Comment