Semalam, entah buat kali yang ke berapa, aku memasuki dewan konvokesyen UUM kali ke 22. Kali pertama aku memasuki dewan ini adalah pada tahun 2001 sebagai pelajar. Kemudian bermula tahun 2003, saban tahun aku memasuki dewan ini sebagai pensyarah. Terasa bangga juga apabila melihat pelajar-pelajar didikanku bergraduat, melihat perkembangan mereka dari awal semester hingga tamat pengajian, terasa begitu pantas masa berlalu dan sedar tak sedar semalam adalah batch ke 6 pelajar perakaunan sistem maklumat yang telah tamat pangajian sejak aku menjadi salah seorang tenaga pengajar penting dalam program tersebut. Tahniah untuk bekas-bekas pelajarku yang telah bergraduat, kepada Sue Chern, Fui Shi, Jenni, Nawal, Hafiz, Irshahidin, Irzahidin, Hadi, Zahid, Faizah, Bahiah, Haiza, Farizan, Su, Arasy, Adilah, Cahaya, Ruqaiyah, Hazwani, Hasyida dan semua bekas-bekas pelajarku yang berkonvokesyen semalam, tahniah saya ucapkan dan selamat melangkah ke alam baru yang lebih mencabar.
Seperti biasa, penantian di dalam dewan konvokesyen adalah satu penantian yang cukup panjang, mana tidaknya seramai hampir enam ke tujuh ratus orang pelajar dipanggil satu demi satu untuk mendapatkan sampul kosong buat mengisi sekeping sijil yang dipanggil ijazah.
Dalam pada penantian itu, aku percaya setiap pensyarah pasti mempunyai agenda tersendiri bagi menghabiskan masa lapang, ada yang leka dengan telefon bimbit, bermain game agaknya, ada yang membaca artikel, ada yang berbual-bual dan tidak kurang juga yang mengambil peluang untuk melelapkan mata.
Melihat seorang demi seorang pelajar dipanggil, aku terbayang bagaimanakah nanti suasana penantian di Mahsyar. Tatkala lautan manusia sejak zaman Nabi Adam hingga hari Kiamat akan berkumpul untuk dihisab segala amal perbuatan. Jika baik amalannya maka kitab akan diberi dari arah kanan dan selamat sejahteralah dia, jika kitab amalan diberi dari sebelah kiri maka celakalah dia. Di waktu itu, manusia akan berbaris-baris mengikut amalan masing-masing, ada yang bersinar-sinar wajahnya dan tidak ada kebimbangan dalam penantian untuk hisab, tetapi malang bagi yang hitam legam wajahnya, penantian untuk hisab di hadapan Allah tatkala semua aibnya terbuka, tatkala dosanya dihitung satu persatu, diwaktu itu penantian adalah suatu penyeksaan.
jika di dalam dewan konvokesyen, setiap pelajar yang dipanggil akan diserahkan ijazahnya dengan penuh kegembiraan, tiada yang berduka apabila menerima ijazah itu, tetapi bagaimanakah agaknya nasib kita disana ketika kita tidak mengetahui buku amalan kita akan diserahkan dari sebelah mana.
Hisablah dirimu sebelum dirimu dihisab...
No comments:
Post a Comment