Bersama Angkasawan Negara



Kali terakhir aku menghadiri kursus BTN adalah pada usiaku 17 tahun, selepas peperiksaan SPM sementara menunggu panggilan ke matrikulasi, 13 tahun telah berlalu sejak itu, minggu lepas sekali lagi aku berkursus, kali ini di Balik Pulau, bersama calon-calon lain yang akan melanjutkan pelajaran ke luar Negara.

Berpeluang bersama dengan antara yang terbaik di Malaysia membuat aku merasa bertuah, bukan mudah untuk dikumpulkan bersama intelek-intelek terbaik di Malaysia antaranya adalah doctor-doktor pakar, jurutera, pensyarah, PTD dari pelbagai latarbelakang dan antara yang paling mengejutkan, Mejar Faez Khaled, calon angkasawan Negara juga bersama kami disini berkursus sebelum ke Moscow untuk melanjutkan pelajaran.

Mengenali Mejar Faez secara dekat, beraktiviti dan berbual dengannya adalah satu keistimewan dimana aku dapat memerhatikan dengan jelas kualiti diri yang ada padanya yang memungkinkan beliau menjadi angkasawan Negara.

Mejar Faez seorang yang mudah mesra, rendah diri dan tidak lokek untuk melayan sesiapa sahaja yang berinteraksi dengannya, dari penceramah, jurulatih hingga ke tukang masak di dewan makan semua disapa dengan mesra dan penuh senyuman yang tidak pernah lekang diwajah.

Semasa sesi ceramah,aku perhatikan beliau amat fokus, tidak pernah walau sekali aku memerhatikannya mengantuk dalam setiap sesi yang walaupun membosankan dan melenakan ramai peserta, beliau tetap dalam kedudukan fokus dan sentiasa bersedia.

Dalam aktiviti-aktiviti lain, beliau sentiasa memberikan yang terbaik walau dalam aktiviti yang remeh, kesungguhan sentiasa terpancar pada wajahnya yang sentiasa fokus dan dirinya sentiasa proaktif dalam apa jua aktiviti.

Tarbiyyah Islam seharusnya melahirkan ramai individu muslim seperti Mejar Faez, mempunyai kualiti diri yang tinggi dan bukan hanya menjadi pak turut yang akur pada setiap arahan tanpa berfikir, mampu untuk berfikiran positif dalam setiap keadaan, sentiasa berinisiatif, mesra dengan masyarakat, menepati masa dan pelbagai lagi.

Amat malang jika ada pendakwah yang telah bertahun-tahun berusrah tetapi kualiti dirinya langsung tidak menunjukkan peningkatan, bahkan lebih buruk. Pemimpin dakwah harus bersungguh-sungguh untuk mengkaji perkara ini, kerana dakwah tidak akan kemana dengan ahli yang jiwanya sentiasa terlena.

No comments:

Post a Comment