“Tak kira nak jugak basikal tu, ma dengan dedi memang dah tak sayang dah”
Masih segar diingatanku tangisan hiba disuatu petang apabila ayahku menolak permintaanku untuk menggantikan basikal lama yang dengan basikal lumba baru. Tanpa memikirkan tentang keadaan ekonomi keluarga yang cukup getir ketika itu, aku hanya mementingkan keinginan ku semata-mata.
Puas ayah dan ibuku memujuk, namun waktu itu, aku merajuk panjang dan menangis semahu-mahunya dek kerana basikal lumba berwarna merah yang satu itu.
Akhirnya ayahku mengalah, aku tidak tahu apa yang mereka korbankan untuk mendapatkan sebuah basikal lumba jenis Marpex warna merah yang cukup gah ketika itu. Sungguh, tatkala terlintas peristiwa itu, aku merasa cukup malu dengan diriku sendiri.
Tahun ini, aku telah berumur 30 tahun, anak telah bertambah menjadi 2 orang, kini aku memahami perbezaan kasih sayang antara seorang ayah dengan anaknya dan seorang anak dengan ayahnya.
Kasih ayah adalah kasih tanpa syarat, cinta tanpa dibuat-buat, sayang ayah kepada anaknya adalah kasih yang tidak bertepi, melebihi kasih suami kepada isterinya. Seorang ayah tetap akan menyayangi anak-anaknya walau apa jua yang terjadi, walau bagaimana derhaka anaknya itu, jauh di dalam, kasih ayah kepada anaknya tetap ada.
Berbeza dengan kasih anak kepada ayahnya, kasih anak adalah kasih yang bersyarat. Seorang anak menyayangi ayahnya kerana ada kepentingan-kepentingan tertentu. Duka seorang anak terhadap ayahnya adalah apabila kehendaknya tidak terpenuhi.
Mungkin ada anak yang mampu taat kepada ayahnya secara total seperti taatnya Nabi Ismail kepada ayahnya, mungkin ada anak yang menyayangi ayah dan ibunya sepenuh hati, tetapi tetap tidak akan sama dengan kasih ayah kepada anaknya. Apabila kita mempunyai anak, maka barulah kita akan mengerti perasaan itu.
Oleh kerana itulah, Islam mengajar penganutnya bahawa berbuat baik kepada kedua ibu bapa adalah antara amalan yang paling utama. Sepatah kata yang boleh mengguris luka dihati orang tua, besar jenayahnya disisi Allah.
Islam mengajar agar anak-anak sentiasa berbuat baik kepada kedua orang tuanya, terutama apabila mereka telah lanjut usia. Tidak kira jika orang tua itu berlainan agama atau apa saja kesalahannya, seorang anak tetap dituntut untuk berbuat baik kepada mereka.
Hubungilah, gembirakanlah, ziarahilah, mohonlah ampun dari mereka, kerana sampai satu masa ketika mereka telah tidak bersama kita lagi didunia ini, menangis air mata darah pun sesal tidak akan berguna lagi.
No comments:
Post a Comment