Jika bukan kita, siapa lagi? Jika bukan sekarang, bila lagi? Blogging from 2008 - ?
Tabiat Buang Sampah yang Menjijikkan
Rakyat Malaysia cukup terkenal seantero dunia dengan hospitaliti dan budi bahasa yang memikat hati. Rata-rata pelancong memuji sopan santun dan budi bahasa masyarakat Malaysia.
Syed Hussin Ali dalam bukunya Melayu, Masalah dan Masa Depan juga menyebut perihal masyarakat Melayu yang cukup terkenal sejak dahulu lagi dengan adat kesopanan dan kesantunan dan pembawaan inilah yang mencorakkan masyarakat Malaysia pada hari ini.
Tetapi, sepanjang kelana ku ke banyak negeri - negeri di Semenanjung Malaysia pada minggu lepas, menemukan aku dengan satu tabiat buruk masyarakat Malaysia yang amat menjijikkan. Tabiat yang aku maksudkan adalah tabiat buang sampah merata-rata.
Pemandu-pemandu kereta yang selamba mencampakkan puntung, kotak rokok, plastik air minuman dan pelbagai lagi sampah ke luar tingkap kereta semasa pemanduan, kulit durian yang dicampakkan di tengah-tengah lebuh raya yang hampir menyebabkan aku kemalangan, tabiat meludah merata-rata, membuang sampah di tempat-tempat awam terutama di kawasan-kawasan rekreasi adalah antara tabiat-tabiat buruk yang aku lihat dengan mata kepala ku sendiri.
Bagi mereka ini, biar halaman rumah mereka bersih, biar kereta mereka bebas sampah tetapi di jalanan biarkan saja.
"Ah, aku bayar tol, nanti ada le yang memungutnya" itu alasan yang sering kedengaran.
Ada juga yang berpendapat :
"Alaa, setakat satu dua sampah, takde kesan apanye"
"Takpe, nanti pekerja Majlis Bandaran pungut le"
"Aku bayar cukai, nanti pekerja Majlis takde kerja pula"
Alasan-alasan yang tidak masuk akal inilah yang sering dijadikan rasional bagi penjenayah sampah jalanan yang sering mencemarkan pandangan.
Pernah aku ke suatu tempat rekreasi di Yan Kedah dimana pembuangan sampah merata-rata dilakukan dengan melampau oleh pengunjung sehingga tempat rekreasi itu tidak sesuai untuk menjadi tempat perkelahan dek kerana kotornya dengan sisa makanan yang di buang merata-rata.
Masalah ini, tidak boleh dipandang enteng, kerana menjaga kebersihan adalah sebahagian dari iman.
Bagi seorang muslim, membuang sampah merata-rata adalah satu dosa, walau secebis kertas gula-gula. Setiap muslim yang sedar tidak sepatutnya terlibat dalam jenayah alam sekitar seperti ini.
Tabiat membuang sampah ini harus di didik sejak dari kecil lagi. Ajarlah anak-anak agar membuang sampah di tempat yang betul, walau hanya secebis kertas. Ajarlah anak-anak untuk menghargai alam sekitar dan menjaganya dengan amanah.
Dunia ini akan menjadi lebih bersih jika setiap individu mempunyai rasa tanggungjawab terhadap alam.
Cukuplah agar masing-masing memungut sampah masing-masing dan di buang ke tempat yang sepatutnya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment