Petang Maghrib Itu : Derita Ibu Tua



Petang maghrib Rabu itu telah mengejutkan aku, merobek-robek perasaanku akan betapa biadapnya manusia akhir zaman ini terhadap ibu mereka.

Petang itu, aku tiba agak lewat di rumah, hampir Maghrib, tidak lama selepas aku sampai, azan berkumandang, rumahku sememangnya hanya 200 meter dari masjid Sabirin di Taman Permata.

Selesai solat Maghrib di masjid Sabirin, aku terus bergegas pulang, kerana ada tetamu yang akan bertandang, kerana jarak yang agak dekat, aku memilih untuk berjalan kaki sahaja, walaupun masih lagi kepenatan setelah perjalanan jauh ribuan kilometer.

Dalam kesamaran Maghrib itu, aku terlihat suatu susuk tubuh yang sedang berjalan meraba-raba, perlahan-lahan dan seolahnya tiada arah tujuan. Lantas aku mendekati susuk tubuh itu, ternyata seorang nenek yang sepertinya sedang kehilangan arah dalam kesamaran Maghrib.

Aku bertanya kepadanya "Nek nak kemana ni?", Ibu tua itu menjawab "Nenek nak pergi masjid, tapi nenek tak nampak jalan, dah habis sembahyang ke nak?"

Sambil memimpinnya ke tepi jalan aku bertanya lagi "Dah habis dah nek, Nenek dok jalan mana? Kenapa nek seorang aje ni?"

Dalam riak-riak kesedihan nenek itu menjawab, "Nek dok jalan 20 (bersebelahan Jalan 21 berhampiran rumahku) Nek nak pergi masjid, nak sembahyang, anak-anak Nek ramai, tapi semuanya entah ke mana, mereka nak hantar Nek ke rumah orang tua, tapi nek tak nak, nek nak dok rumah"

Tanpa banyak bicara, aku berlari mengambil keretaku yang kebetulan berdekatan aje, dan aku menumpangkan ibu tua malang itu ke masjid. Dalam kereta, ibu tua itu bercerita lagi. "Depa (anak-anak) nak berebut pencen, tapi nek tak mahu bagi, mereka nak bawa ke mahkamah, tapi setiap kali mereka datang, nek akan kunci pintu, nek tak mau jumpa depa"

Dalam hati aku menjawab "Masyaallah, anak jenis apakah mereka ini, sudahlah harta ibu nak diambil, nak dihantar lagi ke rumah orang tua-tua, sungguh biadap". Tapi bicaraku hanya di dalam hati.

Aku hanya membatukan diri, tidak mampu untuk berkata apa-apa, kelu seribu bahasa. Tanpa banyak bicara, aku terus memimpin ibu malang itu ke tempat solat perempuan dan terus aku pulang ke rumah tanpa memikirkan nasibnya selepas itu, harapanku agar jemaah muslimah di masjid yang agak ramai malam itu, dapat membantunya untuk pulang ke rumah. Moga nenek itu akan dipermudahkan Allah segala urusannya.

Wahai anak, cukuplah firman Allah ini sebagai peringatan :

"Tuhanmu telah memerintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya atau keduanya sampai ke umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka sekalipun perkataan "Ah!", dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia"

"Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya dengan penuh belas dan kasih sayang, dan doakanlah : Wahai Tuhanku, Cucurilah rahmat kepada mereka, sebagaimana mereka telah mengasihaniku, memelihara dan mendidikku semasa aku kecil"

Al Isra : 23-24

Dosa derhaka adalah antara dosa-dosa besar, dan biasanya akan dibayar tunai diatas dunia lagi, jika tidak bertaubat, pembalasan di akhirat pasti lebih pedih. Wahai anak, usahlah derhaka, usahlah melihat kelemahan kedua ibu bapamu kerana kelak satu hari nanti kita juga akan menjadi tua.

Berbaktilah kepada kedua ibu bapa selagi mana mereka masih ada, jika mereka telah pergi, menangis air mata darah pun mereka tidak akan kembali.

Mohd Hisham Mohd Sharif
Mac 2009

No comments:

Post a Comment