Minggu ini kudratku teruji, teruji dengan perjalanan jauh dan bebanan tugas yang bertimbun - timbun.
14 & 15 Mac 2009
Bermula dari seminar ERP Sabtu lepas, petangnya aku terus bergegas ke Kelantan untuk menyelesaikan beberapa urusan, selepas singgah bermalam di Tanah Merah dan menikmati nasi berlauk dan akok kegemaranku, seawal pagi aku terus bergegas pula ke Kuala Terengganu untuk menyelesaikan beberapa urusan lagi. Tengahari aku tiba di Kuala Terengganu, angin pantai yang ganas dan gelora ombak yang menggerunkan menyambut kedatangan kami di Terengganu.
Pekan, Pahang destinasi seterusnya, lewat malam Ahad, aku tiba di Pekan untuk urusan kenduri-kendara sebelah keluarga Isteriku.
16 Mac 2009
Peluang untuk berehat pagi itu ingin aku gunakan sepenuhnya, namun melihat keadaan rumah yang bagaikan tongkang pecah (baru siap renovation) menyebabkan aku tidak boleh duduk diam. Memunggah, membersih dan segalanya yang terdaya aku lakukan untuk menyedapkan mata memandang.
17 Mac 2009
Petang 16 Mac setelah tugasan Rambo di sebelah pagi, aku bertolak ke Hulu Klang, destinasi seterusnya, rumah ibu dan ayah ku. Perjalanan 3 jam berseorangan terasa amat sepi tanpa teman berbual disisi. Redup wajah ibu dan tenang wajah ayah yang menyambutku di muka pintu menghilangkan segala kesepian dan kelenguhan hari itu. Aku terlena dalam damai di bawah teduhan kasih sayang ibu dan ayahku malam itu.
18 Mac 2009
Seawal pagi aku keluar rumah untuk melaksanakan tanggungjawab penyeliaan praktikum, Gombak, Batu Cave, Selayang dan Kepong destinasi ku hari itu. Sungguh Lembah Klang ini bukan metropolitan untukku. Keserabutan dan kesesakan bagaikan permainan warga kota. Sehari di Lembah Klang, menempuh kesesakan yang sungguh menyesakkan dada.
19 Mac 2009
Pagi itu Sungai Buloh destinasi seterusnya, Massa Consulting House benar-benar mendamaikan perasaan ku, dari situ aku ke Batang Kali suatu destinasi mencabar yang perlu kesabaran pemanduan yang tinggi, kemudian bergegas pula ke Kuala Selangor dan seterusnya ke Sungai Besar. Selesai tugasan di Sungai Besar, jam menunjukkan hampir 3.30 pm.
Seterusnya untuk ke lebuh raya, aku harus melalui jalan lama Teluk Intan-Kampar-Gopeng sebelum dapat keluar ke lebuh raya utara selatan, 2 jam aku melalui jalan kampung tanpa sebarang tanda langsung ke lebuh raya. Aku merungut sendirian, betapa jauh dan letihnya perjalanan kali ini.
Akhirnya dapat juga aku keluar ke lebuh raya hampir jam 6 pm, dikejutkan pula dengan kesesakan di lebuh raya utara selatan, aku hampir hilang sabar. Mujur Alunan Ma'thurat dari radio keretaku yang dialunkan oleh Fahmi AQ 1 menyejukkan kembali perasaanku.
Jam menunjukkan hampir 9 pm setibanya aku di rumah. Setelah mandi aku tidak boleh terus berehat, harus aku bersedia untuk kelas keesokan paginya di UUM. Aku tidak sedar bila aku tertidur, hanya terjaga apabila Alarm Asma Ul Husna mengejutkan aku jam 530 am.
20 Mac 2009
Subuh pagi itu, aku di Masjid Darulaman, gamitan suara lembut Ustaz Khudri membaca surah Sajadah dan Al Insan sungguh mendamaikan rasa, namun selepas solat aku berzikir seketika dan terus pulang ke rumah tanpa menunggu kuliah Subuh pembasah jiwa oleh Ustaz Ahmad Abdullah, keletihanku masih belum hilang sebelum aku harus menyambung perjalananku ke UUM.
21 Mac 2009
Paginya aku harus ke UUM untuk pengajaran kelas UBS dan petangnya ke Pulau Pinang untuk kelas IT For Managers. Malam itu juga aku harus bertolak kembali ke Pahang untuk menghadiri kenduri adik iparku. Kalau diikutkan rasa, harus sahaja aku menguzurkan diri, namun ku gagahi juga untuk meraikan semangat ikatan ukhuwwah sesama keluarga.
22 Mac 2009 - ...
Selesai sahaja kenduri aku harus kembali ke Kedah secepat yang mungkin, kerana tugas dan tanggungjawab yang menghimpit-himpit, moga aku di beri kekuatan untuk terus meneruskan perjalanan.
Syukur pada Allah, kerana dikurniakan kenderaan yang gagah untuk membawaku ke sana dan ke sini.
Syukur juga pada Allah, atas kesihatan tubuh badan dan nikmat akal yang kau kurniakan kepada ku.
Syukur pada mu Allah, kerana masih mengizinkan aku berada dalam limpahan hidayahmu.
No comments:
Post a Comment