Minggu ni cuti panjang, UUM pun memulakan cuti semesternya kali ini agak awal, mungkin nak sekalikan dengan cuti raya cina kot. Apapun, cuti kali ini aku merancang untuk ke Langkawi, walaupun aku ni dah tinggal di Kedah hampir 10 tahun, tapi hanya beberapa kali sahaja aku menjejakkan kaki ke Langkawi.
Tapi, semalam aku tersilap perhitungan, bertolak keluar rumah jam 8 pagi, aku tiba di jeti Kuala Perlis lebih kurang jam 915 am, sangkaku dalam keadaan cuti panjang, ramai yang akan pulang ke kampung dan kurang tumpuan diberikan terhadap lokasi-lokasi percutian ni, tapi sangkaanku salah, terlalu ramai manusia berbondong-bondong di jeti, menyesakkan pandangan dan melemaskan pernafasan ku. Aku ni pula jenis yang tak suka dan tak boleh serabut-serabut ni, tanpa berfikir panjang terus aku patah balik. Satu masalah pula timbul, sejak dari semalam aku dah berjanji dengan Humaira nak bawa dia naik feri, pagi ni bila diberitahu yang feri dah penuh, mukanya moncong aje, mata dan merah, nafas pun dah sedu sedan dah, lagaknya macam orang baru putus cinta je, hehe, jangan marah ye Humaira....
Terpaksalah aku cari alternatif lain, pilihan yang terdekat adalah Gua Kelam ataupun Cave of Darkness, jam 10 pagi aku tiba di lokasi, ternyata pilihanku tepat, suasana yang damai, bebas dari hiruk pikuk dan kebisingan manusia, kebersihan yang terjaga, hatiku terasa berbunga-bunga. Kami mulakan perjalanan dengan menerokai Gua Kelam, dengan bayaran RM 1 seorang, kami berjalan ditengah-tengah perut Gua, ternyata pemandangan yang amat mengkagumkan, ukiran semulajadi batu-batuan ditambah desiran air sungai yang jernih mengalir dibawah lantai gua serta hembusan sepoi-sepoi angin yang menusuk masuk mendamaikan perasaan, sampai dihujung gua, kami teruja dengan beberapa senario yang cukup indah dipandang mata, air sungai yang jernih mengalir perlahan, anak-anak ikan bebas berenang di celah-celah dedaunan kayu yang gugur menggambarkan betapa damainya suasana yang jarang diusik manusia.
Kami mengambil masa menghirup udara segar sambil menikmati desiran anak sungai sambil makan bekal karipap panas, sungguh nikmatnya hidup ini...
Selesai menjamu selera, agenda seterusnya adalah terjun sungai, si kecil sudah tidak lagi sabar-sabar untuk mencuba pelamplung barunya, puas kami bermandi-manda dalam kesejukan anak sungai yang berenang dibawahnya anak-anak ikan yang seolah-olah sudah tidak hairan dengan kedatangan manusia.
Sesudah menggigil kesejukan, barulah si kecil dapat dipujuk untuk naik keatas, destinasi seterusnya pula adalah Wang Kelian, pekan kecil yang mana pengunjungnya dapat masuk ke sempadan Siam dengan bebas tanpa pemeriksaan yang ketat. Membeli belah lebih kurang di Thailand memberi pengalaman baru kepada kami sekeluarga, hatiku terusik mengenangkan bahawa satu ketika dulu, tanah ini adalah kepunyaan umat islam, insyaallah satu hari nanti, kemerdekaan pasti akan jadi milik mereka.
Tepat jam 5 pm, kami sampai dirumah, sungguh nikmat kedamaian yang kita kecapi hari ini perlu kita syukuri dengan bersungguh-sungguh, betapa banyaknya nikmat yang telah Allah kurniakan kepada kita, gunakanlah ia dengan bijaksana, supaya menjadi bekal diakhirat sana...
No comments:
Post a Comment