PhD oh PhD

Perjalanan ini memang meletihkan. Moga Allah memberi saya sedikit lagi kekuatan untuk meneruskan perjalanan yang berbaki.



Allahurabbi. Bantulah hambamu ini.

INILAH KAMI, INILAH ISMA.


Ramai yang bertanya, apakah ISMA ini satu pertubuhan yang berbaur perkauman kerana memperjuangkan bangsa Melayu? Ada juga yang berkata bahawa ISMA ini pro UMNO kerana pendirian politik yang tidak berpihak kepada PR. Ada yang pergi lebih jauh dengan mengatakan ISMA menerima duit dari UMNO untuk menyerang PAS dan PR. Na’uzubillah.

Sebenarnya, kedua sangkaan berikut tidak benar. Baiklah, biar saya jelaskan satu persatu.

Tentang dakwah kepada non Muslim, kami akui, dengan kekuatan yang ada sekarang, kami masih belum mampu dan ada tenaga pakar untuk menceburkan diri dalam dakwah non Muslim. Fokus setakat ini adalah untuk membina jati diri orang-orang Melayu supaya mereka menjadi contoh kepada bangsa-bangsa lain. Ini fokus kami buat masa ini. Insyaallah bila masanya tiba, dan kami yakin dengan kekuatan dan kepakaran kami, kami akan buka medan tersebut.

Pada masa yang sama, program kerjasama dakwah dengan MACMA dan pertubuhan bangsa lain juga dilakukan, cuma mungkin dalam magnitud yang tidak besar dan tidak kerap.

‘Core business’ ISMA adalah program dakwah dan tarbiah yang meliputi tarbiah anak-anak kecil melalui kelab NAZIM, program tarbiah remaja melalui KRIM yang giat dilakukan di sekolah-sekolah dan program-program pembinaan belia dengan kerjasama PEMBINA (PERSATUAN BELIA ISLAM NASIONAL). 

Selain itu, kami juga ada biro dakwah yang bergiat cergas di kampung-kampung dalam memberi bantuan dan berinteraksi dengan masyarakat pada hari-hari kebesaran Islam seperti Hari Raya Korban, Nuzul Al Quran dan pada bulan Ramadhan terutamanya.

ISMA juga mempunyai cawangan-cawangan di luar negara untuk mendidik pelajar-pelajar Melayu Muslim yang berada di serata pelusuk dunia. Di sesetengah negara, contohnya Australia, ISMA bekerjasama dengan pertubuhan dakwah tempatan seperti IICSA (Islamic Information Centre of South Australia) untuk menganjurkan program-program dakwah. ISMA Mesir juga mempunyai kumpulan nasyidnya sendiri iaitu FETYA yang pernah bekerjasama dengan Awakening Records untuk rakaman lagu dalam album Maher Zain. Kami ada juga cawangan di Benua Eropah, New Zealand, Jordan, Korea dan Amerika Syarikat.

Azam 2013

Masa berlalu dengan amat pantas. Sedar tak sedar, kini kita telah berada di tahun 2013. Seakan baru semalam kita berada di bulan Januari 2012. Masa meninggalkan kita dengan amat pantas.

Saya akan berusia 34 tahun pada tahun 2013. Ye 34 tahun! (ummuhumaira’, hang pun sama, jangan perasan muda). Bagi kebanyakan pemain bola sepak, ini adalah usia persaraan, meninggalkan zaman keemasan yang penuh gilang gemilang. Zinedine Zidane bersara pada usia 34 tahun, begitu juga ramai pemain hebat yang lain. Saya tidak lagi muda dan semakin dimamah usia, hakikat ini harus diterima.

6 tahun lagi, jika dipanjangkan usia, saya akan mencecah usia 40 tahun. Usia kenabian dan bermulanya kedewasaan yang sebenar. 6 tahun tidak lama, Humaira’ pun akan masuk ke usia 8 tahun, sedang bila saya melihat gambarnya ketika berusia 1 tahun, terasa bagai baru semalam waktu itu berlalu. Khadijah juga telah semakin membesar, kata-katanya juga semakin jelas, emosinya juga semakin berkembang. Insyirah pula hanya menanti masa untuk berjalan, giginya pula telah tumbuh sebatang, sedang gigi kami berdua hilang satu persatu.

Ibu bapa kami berdua juga sedang merangkak ke usia senja. Kedutan di wajah mereka semakin ketara. Getar suara dan kerinduan terhadap mereka semakin membuak-buak. Ya Allah, izinkanlah aku untuk menamatkan perjalanan ini dengan lebih tangkas, agar kami boleh pulang dan berbual dengan mereka sepuas-puasnya.

Bila mengenang waktu yang telah dibazirkan, kesilapan yang tidak ditebus, matlamat dan azam yang belum dikemaskan perlaksanaannya, hanya sesalan demi sesalan yang datang menghinggap diri. Ini baru sesal dunia, belum sesal di alam barzakh dan di alam akhirat yang tidak dapat digambarkan kedasyatannya. Bagaimana jika ajal datang menjemput sebelum sempat kita bersedia?

Saya menulis warkah ini, pada hari ini, pada saat ini, sebagai ingatan kepada diri bahawa masa saya semakin singkat, setiap detik, saya berjalan menuju kematian dengan lebih hampir. 

Jika saya membiarkan diri berada di takuk lama yang selesa, maka pasti 6 tahun lagi, tidak kira jika saya berada di alam barzakh atau masih bernafas di dunia, hanya penyesalan yang tidak akan lagi dapat ditebus yang akan saya rasakan.

2012 bagi saya penuh dengan warnanya yang tersendiri. Jujur saya katakan, tidak ada apa yang boleh dibanggakan. Biarlah ia tinggal dalam lipatan kenangan yang tidak akan saya ulangi lagi.

2013, saya tidak ingin kesilapan lama berulang. Kehidupan harus ditingkatkan ke satu aras yang lebih tinggi. Saya harus lebih tersusun, berani dan lebih bersungguh. Banyak perkara yang perlu diperbaiki dan insyaallah ia akan bermula dari saat ini!

Selamat tinggal 2012 dan diriku yang lama. AKU AKAN BERUBAH! 

HARAPKAN ‘PAGAR’, ‘PAGAR’ MAKAN PADI

Harapkan ‘pagar’, ‘pagar’ makan padi adalah satu peribahasa melayu yang biasa saya dengar sejak zaman sekolah. Bahkan hingga hari ini pun ia masih popular. Namun apa yang saya tidak tahu adalah apa yang saya tahu tentang peribahasa ini selama lebih dari 20 tahun, rupanya adalah salah.

Sebenarnya bukan pagar, tapi pegar, sejenis burung yang biasa ditugaskan untuk menjaga sawah padi dari ancaman serangga dan haiwan perosak lain. Maksud sebenar peribahasa ini adalah, burung Pegar yang diharapkan untuk menjaga padi, akhirnya khianat dengan menjadikan padi sebagai habuannya sendiri.

20 tahun saya tenggelam dalam kefahaman yang salah. Tidak mengapalah kerana ia hanya peribahasa, tapi bagaimana dengan perihal agama kita?

Apakah kita telah memeriksa setiap amalan yang kita percaya dan laksanakan selama ini? Apakah ianya benar-benar berlandaskan ilmu? ataupun ikut-ikutan sejak zaman sekolah yang kita tidak pernah kisah untuk menyemaknya kembali?

Jika hanya peribahasa, mungkin tidak akan ada kesan kepada nasib kita di akhirat, tapi bila melibatkan urusan agama, kehidupan kita yang abadi di akhirat yang sedang kita pertaruhkan.

KEBENARAN ITU ADALAH DENGAN HUJAH

Dalam satu situasi,

“Jom makan kat restoran tu?” Ajak Hilman kepada kawannya, Zaim.

“Eh, bukan restoran tu tak halal ke?” Balas Zaim, hairan dengan ajakan kawannya.

“Tapi aku nampak ada orang melayu makan kat situ tadi, pakai kopiah lagi.” Jelas Zaim dengan yakin.

“Errrr….,” Hilman terpinga-pinga.

Dalam satu lagi situasi.

“Kau tak nak ‘join’ ke skim pelaburan ni, keuntungannya berlipat kali ganda, ramai yang dah berjaya.” Bersemangat Hafiz cuba mengajak sahabat baiknya Zairul untuk menyertai skim pelaburan ala piramid yang baru disertainya.

“Aku tak minatlah pelaburan-pelaburan ‘online’ jenis begini, lagipun aku pernah baca dekat website Ustaz Zaharuddin yang pelaburan jenis ni berpotensi besar haram sebab ada melibatkan unsur-unsur riba. Bahkan ada pakar ekonomi Islam peringkat antarabangsa yang mengharamkannya.” Hujah Zairul, cuba menolak ajakan rakannya dengan lembut dan dengan sedikit ilmu yang diketahuinya melalui pembacaan dan analisa.

“Mana boleh haram, ada ramai ustaz yang berkelulusan timur tengah menyertai pelaburan ni, takkanlah mereka tak tahu? Bahkan ada yang jadi ejen, tahu tak? Ramai juga pensyarah-pensyarah universiti, doktor, peguam dan jurutera yang dah sertai, takkan kau nak kata dia orang ni tak reti?” Balas Hafiz sedikit marah, membidas kembali persoalan Zairul dengan ‘hujah’, membuat Zairul tergamam.