Bagaimana “Baby” Boleh Ada Dalam Perut Ibu?


Humaira, Ayah dan Khadijah, moga kasih kita bersemi selamanya

“Ayah, macamana “baby” boleh ada dalam perut ibu?”

Soalan yang keluar secara tiba-tiba itu membuatkan jantung saya bergerak laju dan hati berasa tidak tenteram. Anak yang seorang ini, jika tidak dijawab soalannya akan dituntut jawapannya hingga ke lubang cacing. Mungkin kerana setakat ini, setiap persoalan yang ditanyakannya akan saya dan isteri cuba jawab dengan sejujur mungkin. Dalam menjawab persoalannya, saya akan memberikan fakta yang sebenar dan menceritakan dengan ringkas akan proses kejadian sesuai dengan mindanya yang masih rebung.

Petang sabtu itu, selepas solat asar kami berehat-rehat sambil saya memegang-megang perut isteri dan berbual-bual dengan “baby” bagi merasai gerakan-gerakan bakal anak kedua kami yang penuh keajaiban. Hanya tinggal beberapa minggu lagi tarikh akhir untuk bersalin. Humaira juga tidak ketinggalan merasai keseronokan dan keajaiban itu, dan entah apa yang bermain difikirannya hingga tiba-tiba dia bertanya soalan itu, walhal sebelum ini tidak pernah disuarakannya.

Saya dan isteri saling pandang memandang, namun isyarat wajahnya jelas menunjukkan bahawa sayalah yang harus menjawabnya. Bagaimana saya akan menceritakan proses persenyawaan kepadanya, apatah lagi apabila ia melibatkan urusan-urusan yang amat tidak manis jika diceritakan. Namun memberikan kefahaman yang sebenar, cukup penting, agar dia tidak beralih kepada sumber lain untuk mencari jawapan kepada persoalan yang mungkin akan mencetuskan masalah yang lebih besar. Lama saya terdiam mengharap agar Allah memberi ilham dan syukur, hadir sedikit cetusan.

“Humaira, “baby” tu Allah yang ciptakan, dan Allah yang letakkannya dalam badan ibu.”

“Tapi, “baby” tu bukannya duduk dalam perut ibu, dia duduk dalam satu tempat dekat dengan perut ibu yang namanya rahim.” Saya memulakan penjelasan. Sengaja saya melangkaui bab persenyawaan antara sperma dan telur pada tahap ini untuk mengelakkan persoalan yang lebih kompleks timbul.

“Kemudian “baby” tu duduk dalam rahim selama 9 bulan dan nanti bila sampai masanya dia akan keluar” saya menjelaskan lagi, sambil tangan saya masih merasai gerakan-gerakan bayi. Isteri saya hanya mendengar dan memerhati.

“Tapi ayah, kenapa “baby” tu kena duduk dalam rahim? Kenapa dia tak keluar awal-awal?” telah saya agak soalan ini akan ditanyakannya, dan saya telahpun bersedia dengan jawapan.

“Dia kena duduk dalam rahim sebab dia masih terlalu kecil dan tak cukup kuat lagi untuk keluar. Kalau dia keluar awal sangat, nanti “baby” tu akan sakit.

“Humaira ingat tak, dulu perut ibu mula-mula tak besar kan, kemudian makin lama makin besar. Sebabnya dulu “baby” itu cuma sebesar ibu jari ayah sahaja, kemudian semakin lama dia semakin besar.” Sambil saya menunjukkan ibu jari saya kepadanya.

“Asalnya “baby” tu tiada tangan dan tiada kaki, kemudian Allah jadikan tangan dan kakinya perlahan-lahan, sebab itu sekarang ini adik boleh “tendang” perut ibu.” saya tersenyum, dan isteri saya juga kelihatan tersenyum.

“Kemudian, bila dia dah cukup besar dan dah tak muat duduk dalam rahim dia akhirnya akan keluar.” Saya memudahkan ayat, agar lebih mudah difahaminya.

“Macamana “baby” tu keluar ayah?” soalannya bersambung lagi dan kali ini lebih mencabar.

“Humaira rasa macamana?” saya memulangkan soalan itu kepadanya untuk mengetahui apa sebenarnya yang dia cuba fikirkan disamping memberi masa kepada saya untuk memikirkan jawapan.

“Ikut perut ibu kot, ke ikut tempat berak?” dia mengagak dan sedaya mungkin saya dan isteri cuba menahan tawa. Lucu, tapi dahulu saya juga mempunyai kefahaman yang sebegitu.

“Bukan sayang” saya tersenyum, tubuh sedikit menggeletar kerana menahan geli hati.

“Baby tu akan keluar melalui satu tempat yang istimewa yang Allah dah sediakan! Kemudian Dr. Murizah akan keluarkan dia dari tempat yang istimewa tu.” Dr. Murizah adalah Pakar Perbidanan dan Sakit Puan yang juga rakan baik isteri saya di Hospital Sultanah Bahiyah yang telah menyambut kelahiran Humaira dan juga telah menyatakan kesediaan untuk menyambut kelahiran yang kedua ini.

“Oooooo”

“Humaira nak tahu tak macamana “baby” makan kat dalam tu?” saya pula yang menyediakan soalan, sebelum dia bertanya pula di mana tempat “istimewa” itu yang pastinya lebih sukar untuk dijelaskan.

“Nak, nak, macamana ayah?”

Memikirkannya semula, sukar juga sebenarnya. Aduh! Silap pula kali ini.

“Errr...Errr” saya teragak-agak.

“Macamana ayah?” Humaira telah tidak sabar lagi.

Melihat saya teragak-agak, isteri saya menyampuk.

“Baby tu dia tak makan macam kita guna tangan dan mulut, dia makan guna “straw” istimewa yang Allah ciptakan dalam rahim ibu.”

Straw? Saya juga kehairanan mulanya, namun mungkin “straw” itu merujuk kepada tali pusat yang menyalurkan nutrien kepada bayi melalui uri. Bagus juga idea isteri saya itu.

“Humaira pun dulu begitu juga, duduk dalam rahim ibu dan makan guna straw” saya menyambung tanpa dipinta.

“Ye ke ayah?” dia tersengih, kemudian saya menyimpulkan kisah dan memberikan pengajaran-pengajaran.

“Iye, kita semua begitu, ayah pun dahulu duduk dalam rahim nenek, ibu pula duduk dalam rahim Tok, Ayong, Alia, Ome, Cikgu Wana, semuanya duduk dalam rahim ibu masing-masing dan makan guna “straw” selama 9 bulan.”

“Sebab itu Humaira kena sayang banyak-banyak pada ibu dan pada Allah.”

“Pada ibu, sebab ibu dah bawa Humaira dan adik selama 9 bulan, berat dan susah tau nak bawa. Kemudian selepas Humaira lahir, ibu yang jaga dan beri susu pada Humaira. Hebatnya ibu dan sayangnya ibu pada Humaira dan adik kan?”

“Kemudian pada Allah pula, masa kita dalam rahim ibu, Allah yang jaga kita, beri kita “straw” untuk makan, ciptakan tangan dan kaki, mata, hidung, mulut, perut. Hebatnya Allah dan sayangnya Allah pada kita semua, dan pada Humaira.”

“Sebab itulah Humaira kena sayang ibu selalu dan kena selalu buat baik dan dengar cakap ibu, bila Humaira sayang ibu dan buat baik pada ibu, Allah pun akan sayang pada Humaira. Bukan Humaira saja, ayah pun kena buat baik pada nenek, ibu pun kena buat baik juga pada tok (panggilan bagi nenek di Pahang), Alia pun kena buat baik pada ibu dia, bahkan semuanya orang Allah wajibkan agar buat baik pada ibu masing-masing.”

“Dan Humaira juga kena buat baik pada Allah dengan rajin solat, rajin mengaji, rajin belajar, jadi anak yang baik pada ayah dan ibu, supaya Allah sayang Humaira selalu.” Saya menyudahkan kisah sambil tersenyum manis padanya.

Petang yang penuh barakah itu moga bertambah kepadanya kefahaman tentang kehidupan dan moga bertambah kecintaannya kepada pencipta seluruh alam.

Mutiara Kepada Ibu Bapa

Menjawab persoalan tentang kehamilan dan kelahiran pada anak-anak yang masih rebung usianya memang mencabar. Namun, kesukaran itu tidak harus menghalang ibu bapa untuk memberikan jawapan yang sesuai dengan peringkat usianya dan penuh pengajaran. Anak-anak bertanya kerana sifat ingin tahu yang mendalam tapi tidak semestinya kita harus menceritakan segala jawapan. Ada bahagian yang boleh kita langkaui dan ada bahagian yang perlu kita ceritakan. Paling penting jangan berbohong kepada anak-anak dan mereka-reka fakta yang tidak benar kerana kelak jika anak itu mengetahui bahawa ibu bapanya telah berbohong dalam memberikan jawapan, kita mungkin tidak akan dipercayainya lagi.

Ke mana Hilangnya Matahari?

“Ayah, matahari hilang ke mana?” tiba-tiba terpacul soalan dari Humaira saat kami sedang dalam perjalanan ke Alor Setar. Kebetulan Maghrib itu saya ada pertemuan Halaqah bersama rakan-rakan yang di adakan di rumah salah seorang sahabat kami di Alor Setar dan sengaja saya mengajaknya kali ini untuk menemani dan membiasakan dirinya dengan suasana majlis ilmu. Ketika melalui lebuh raya yang dikelilingi sawah padi, kelihatan sang matahari perlahan-lahan menyembunyikan diri dan pergi menunaikan janji ketaatannya pada daerah lain pula.

“Ayah, kenapa matahari ada waktu siang lepas itu hilang pada waktu malam dan kenapa bulan ada waktu malam sahaja” sebelum sempat saya menjawab, 2 lagi soalan mencabar minda si ayah keluar dari bibirnya.

“Hmmmm, begini sayang” saya memulakan penerangan, lama juga saya memikirkan cara untuk memberi jawapan.

“Matahari bukan hilang, tapi dia pergi ke tempat lain pula. Bila waktu dah petang dan masuk Maghrib, matahari akan pergi ke negeri lain untuk beri cahayanya pada orang lain pula, dan tempat itu pula yang akan jadi siang hari. Kemudian waktu malam tiba, dan malam yang gelap adalah masanya untuk kita rehat dan tidur. Pada waktu malam datanglah bulan yang cantik menggantikan matahari.” Saya menyusun ayat.

“Matahari pergi mana ayah?” sekali lagi dia mengulang soalannya, tanda ketidakfahaman dan masih tidak puas hati, langsung mengabaikan keterangan saya tadi.

“Humaira tak faham ye?” saya cuba mengagak apa yang ada di fikirannya, mungkin penerangan yang saya berikan tadi, tidak dapat dibayangkan oleh mindanya dengan jelas.

“Ye, Humaira tak faham ayah” jujur dia menjawab sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal.

“Ayah, matahari dia masuk dalam laut dia cerahkan ikan pula ke?” dia membentangkan logika pemikirannya yang menggeletek hati saya. Tidak tersangka ke situ pula pemikirannya.

“Bukan begitu sayang, tak mengapa, nanti balik rumah ayah terangkan dengan cara yang istimewa.” Saya tersenyum manis kepadanya sambil menahan tawa. Bimbang jika dia terasa diperlekehkan. Menerangkan fenomena alam yang kompleks kepada kanak-kanak memang sukar, namun saya terfikir suatu cara yang lebih baik dan mudah untuk menerangkan kepadanya tentang peredaran siang dan malam.

“Baik ayah, janji ye” kelihatan wajahnya tidak sabar-sabar lagi.

***

Pulang ke rumah malam itu, walaupun malam telah agak lewat, namun dia masih teringat akan janji petang tadi.

“Ayah, tadi ayah janji nak cerita kat Humaira” dia mengingatkan akan janjinya setelah saya mematikan enjin kereta. Jam menunjukkan 1030 malam.

“Kalau ayah terangkan esok boleh?, esok kan Humaira sekolah?” melihat malam yang telah agak larut, saya cuba menangguhkan perbincangan walaupun saya tahu penangguhan itu tidak akan diterima.

“Tak mahu, tadi ayah dah janji!” dengan tegas dia menolak, dan saya akur. Janji kepada anak-anak jangan diremehkan.

Setelah masuk, saya menyuruhnya duduk di atas lantai ruang tamu, sambil saya mengambil mainan tanah liat di atas meja permainannya.

“Ayah nak buat apa dengan tanah liat tu?” dia semakin musykil.

“Haa, ni ayah nak terangkan la ni, sabarlah ye”

Menggunakan tanah liat tersebut, saya membuat tiga bulatan yang berbeza saiz dan warna. Bulatan besar, sederhana dan kecil. Kemudian saya menyusunnya mengikut kedudukan bumi, matahari dan bulan.

“Humaira tengok sini, yang besar ni matahari, yang kecil sekali ni bulan dan yang sederhana besar ni bumi.”

“Kita duduk dekat satu tempat di atas bumi, di sini Kedah tempat kita duduk” saya mencucuk satu lubang kecil pada model bumi untuk menunjukkan lokasi.

“Ayah, Humaira nak cucuk juga” spontan dia mengambil model bumi.

“Humaira! Nanti la, nak ayah terangkan ke tak nak ni?” saya menyergah sedikit, jika dilayan tuntutannya, akhirnya demonstrasi tidak akan menjadi dan entah hingga jam berapa saya akan terperangkap.

“Duduk diam-diam dan dengar dulu ayah nak cerita” saya memberi amaran.

“Sekarang ni, matahari duduk di sini, sementara bulan pula di sini.” Saya mengambil semula model bumi dari tangannya dan mengatur kedudukan model bumi agar matahari tepat berada setentang di lokasi yang telah saya tandakan tadi. Sementara bulan, saya jauhkan sedikit dari kedudukan.

“Bila siang hari, matahari akan duduk di atas kita, sebab tulah siang hari cerah.”

Kemudian saya menyambung lagi.

“Bumi yang kita duduk ni, dia akan sentiasa bergerak dan berpusing. Bila bumi berpusing...” ketika ini perlahan-lahan saya memusingkan model bumi sehingga titik yang saya tandakan tadi sehingga beralih ke dimensi lain pula.

“Sekarang Humaira nampak tak, bila bumi berpusing, akhirnya tempat yang kita duduk akan jauh dari matahari, dan ketika ni kita akan dapat malam pula sebab cahaya matahari dah tiada, dan pada waktu malam kita akan nampak bulan.” Ketika ini, titik tadi telah berada bertentangan dengan bulan.

“Oooo, ayah, Australia di mana?” tiba-tiba dia bertanya tentang Australia, mungkin teringatkan Ibu Saudaranya yang sedang melanjutkan pengajian di sana.

“Australia di sini pula” saya menandakan satu lagi titik yang agak jauh dari titik pertama tadi dan saya letak berlawanan dengan lokasi asal agar dia faham akan konsep matahari yang menyinari bumi lain walaupun secara logiknya kedudukan Australia adalah tidak berapa jauh dari Malaysia.

“Humaira nampak tak, sekarang Australia pula yang dapat cahaya matahari, dan bila bumi berpusing lagi, maka di Australia akan jadi malam dan Makcik Inah di Australia akan nampak bulan pula. Bila Australia malam, cuba Humaira tengok tempat kita duduk, dekat dengan matahari kan?”

“Ye ayah!” dia mengangguk penuh riang.

“Ketika ini, kita pula yang akan si....” saya berhenti disitu agar dia menyambungnya.

“Siang” dia menyambung dengan riang walaupun matanya telah semakin kuyu.

“Haa, begitulah adanya siang dan malam, sekarang Humaira faham?”

“Faham ayah!”

“Kalau faham, bagus! Dan Humaira kena ingat, bumi yang berpusing, matahari yang cerah, bulan yang cantik, semuanya siapa yang ciptakan?” perisa keimanan dalam setiap kisah dan demonstrasi jangan sekali ditinggalkan, agar kefahamannya membawanya lebih dekat kepada tuhan.

“Allah yang ciptakan!” dia menjawab separuh menjerit kegembiraan.

“Ok, bagus! sekarang masanya untuk tidur, nanti esok masalah pula nak bangkit awal untuk ke sekolah.” Saya mengajaknya tidur, kepala saya sendiri telah terasa berat. Saya mengemas model-model bumi matahari dan bulan kemudian memimpin tangannya naik ke atas. Hati terasa puas kerana malam ini saya dapat menerangkan sesuatu yang saya sendiri tidak pernah memahaminya hingga belajar subjek alam dan manusia ketika di sekolah rendah. Namun apa yang lebih penting adalah, pada setiap fenomena alam, ada tanda-tanda kekuasaan tuhan buat mereka yang sentiasa memikirkan.

Mutiara Untuk Ibu Bapa

Anak-anak akan sentiasa bertanya tentang kejadian alam yang dilihatnya setiap hari seperti pertukaran malam dan siang. Fenomena kompleks yang sukar difahami jika sekadar diterangkan dengan kata-kata mungkin perlu pada sedikit demonstrasi mudah berskala kecil agar mindanya dapat membayangkan sendiri kejadian tersebut dengan imaginasinya. Ibu bapa perlu sedikit kreatif agar anak-anak tidak mudah terasa bosan dengan pendekatan yang sama untuk menerangkan dan memberi kefahaman.

Semuanya Akan Ditulis

Cuti hari Jumaat di Negeri Kedah adalah satu rahmat. Tidak perlu bergegas untuk ke tempat kerja, sebaliknya boleh berlama-lama dalam zikir pagi seterusnya mendengar tazkirah pembasah jiwa di Masjid Muttaqin, Bandar Darul Aman. Pulang ke rumah pula, masih banyak waktu untuk menghabiskan surah al Kahfi dan kemudian bersarapan bersama keluarga, dan riadhah atau sesi mengemas rumah selepasnya.

Pagi itu, pulang dari masjid selepas tazkirah oleh Ustaz Ahmad Abdullah, seperti biasa saya menyelak lembar Al Quran mencari surah Kahfi yang sunat dibaca pada pagi Jumaat. Keheningan dan ketenangan suasana pagi, banyak membantu untuk menghayati dan mentadabbur ayat-ayat dari surah yang sarat dengan kisah ini.

Sedang saya membaca dan ketika tiba ke ayat 49, tiba-tiba Humaira datang menyapa dengan wajah yang segar selepas mandi.

“Ayah baca surah apa tu?”

“Surah Al Kahfi” pendek saya menjawab sedang mata masih lagi tidak berganjak dari kalimah-kalimah suci.

“Oooo, ayat mana dah ayah baca?” dia bertanya sambil menjenguk Quran terjemahan yang sedang saya pegang.

“Ayat 49 dah ni” seketika saya memandang wajahnya, kemudian saya melihat terjemahan dari ayat 49.

“Dan diletakkanlah kitab, lalu kamu akan melihat orang-orang yang bersalah ketakutan terhadap apa yang (tertulis) di dalamnya, dan mereka berkata: "Aduhai celaka kami, kitab apakah ini yang tidak meninggalkan yang kecil dan tidak (pula) yang besar, melainkan ia mencatat semuanya; dan mereka dapati apa yang telah mereka kerjakan ada (tertulis). Dan Tuhanmu tidak menganiaya seorang jua pun".”

“Menarik” getus saya sendirian dalam hati, buat tazkirah pada diri juga untuk dikisahkan pada Humaira.

“Humaira, nak dengar tak cerita tentang ayat yang ayah baca ni?”

“Nak, nak” spontan dia menjawab, kemudian dia mengambil tempat diatas riba saya.

“Baik, dalam ayat ini, Allah ceritakan tentang suasana masa hari akhirat”

“Dekat akhirat nanti, ada satu tempat nama dia Padang Mahsyar dan dekat sini semua manusia yang dah mati akan dikumpulkan untuk Allah balas perbuatan mereka semasa di dunia”

“Kalau yang belum mati macamana ayah?” sejenak itu dia mencelah.

“Eh, sebelum hari kiamat, semua manusia akan mati, ayah, ibu, Humaira, adik, kawan-kawan Humaira, semuanya akan mati” saya menegaskan semula.

“Alaaa, Humaira tak nak mati ayah, Humaira takut”

“Kita semua akan mati Humaira dan selepas mati kita akan dipanggil untuk berjumpa dengan Allah”

“Ayah, Humaira takut mati” sekali lagi dia mengulangi kerisauannya, kali ini dengan wajah yang lebih suram. Sebelum ini, ketika saya menjelaskan kepadanya tentang hakikat kematian, setiap kali itulah dia akan merintih ketakutan. Puas saya dan isteri cuba untuk membuang ketakutan itu, namun masih belum berjaya. Kematian bukanlah untuk ditakuti, tapi kami ingin memahamkannya bahawa ia adalah sebuah destinasi yang kita semua akan tempuhi dan apa yang harus disediakan untuk menghadapi kehidupan selepas kematian.

Saya menyambung cerita, cuba membuat dia lupa akan ketakutan yang sedang dialami.

“Dekat Mahsyar, buku amalan kita akan dibuka, kalau kita buat baik dengan banyak, dengan izin Allah, kita akan masuk dalam syurga, tapi jika amal kejahatan kita yang lebih banyak, kita akan masuk dalam neraka.”

Humaira terus mendengar, tanpa sebarang celahan atau reaksi, dan ini memberi peluang untuk saya terus menyambung kisah.

“Humaira tahu tak, dekat sebelah kiri dan kanan kita, ada 2 malaikat. Raqib dan Atid namanya. Malaikat Raqib dan Atid ni tugas dia adalah untuk menulis perbuatan baik dan buruk kita semasa kita di dunia dalam sebuah buku yang istimewa.”

“Setiap kali kita buat baik, malaikat yang namanya Raqib akan menulis. Tidak kira sekecil manapun perbuatan baik kita, samada Humaira beri makan ikan dalam akuarium atau tolong ibu cuci pinggan atau buang plastik gula-gula dalam tong sampah, malaikat Raqib akan tulis semuanya.”

“Malaikat Atid pula, tugas dia adalah untuk tulis perbuatan-perbuatan jahat kita. Jika kita tak solat, cakap kasar dengan ibu, tengok televisyen rancangan yang tak soleh hatta jika Humaira buang plastik gula-gula dalam longkang diluar pun, malaikat Atid akan tulis dalam buku tadi”

“Buku ini lah yang Allah akan tengok nanti, jika kebaikan yang kita buat lebih banyak, maka syurgalah tempat tinggal kita, tapi kalau keburukan..?” saya menghentikan bicara untuk menarik fokusnya kembali.

“Neraka” perlahan sahaja dia menyambung.

“Jadi, sebab itulah kita kena banyak buat kebaikan sebelum kita mati, supaya malaikat akan tulis dalam buku tu banyak amal kebaikan yang kita telah buat.” Saya menyimpulkan kisah. Humaira terdiam sahaja, saya mengusap-usap ubun-ubunnya dan kemudian merangkul tubuhnya untuk kembali memberi semangat kepadanya.

“Humaira, cuba ye, buat baik banyak-banyak ye, supaya kita masuk dalam syurga sama-sama dengan ibu, adik khadijah, atuk, nenek, aki, tok, dan mama, umi, makcik Inah dan semua kawan-kawan Humaira ye.”

“Ayah, Humaira, mari makan, sarapan dah siap ni” panggilan sarapan menamatkan perbualan kami pagi itu, moga keberkatan pagi Jumaat menyemai iman dalam hatinya.

Sihat Itu Tuntutan, Mati Itu Ketentuan : republish


Dari Abu Hurairah r.a:

Rasulullah s.a.w. bersabda: “Orang mu’min yang kuat adalah lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah daripada orang mu’min yang lemah. Namun keduanya itupun sama memperoleh kebaikan. Berlumbalah untuk memperoleh apa saja yang memberikan kemanfaatan pada mu dan mohonlah pertolongan kepada Allah dan janganlah merasa lemah. Jikalau engkau terkena oleh sesuatu musibah maka janganlah engkau berkata: “Andaikata saya mengerjakan begini, tentu akan menjadi begini dan begitu.” Tetapi berkatalah: “Ini adalah takdir Allah dan apa sahaja yang dikehendaki olehNya tentu Dia melaksanakannya,” sebab sesungguhnya ucapan “andaikata” itu membuka pintu godaan syaitan.” (Riwayat Muslim)

Hadis diatas adalah mutiara bagi orang yang celik hatinya dan ingin mengambil pengajaran daripadanya. Hakikatnya yang jelas menggambarkan model kehidupan orang mu’min yang amat menakjubkan. Apabila Rasulullah menyatakan bahawa orang mu’min yang kuat adalah lebih dicintai oleh Allah, maka pada ketika itu orang mu’min dituntut untuk bersungguh-sungguh menjadi jaguh dalam segenap bidang kehidupannya.

Antara aspek yang paling penting dalam pembinaan kekuatan adalah penjagaan kesihatan dan aktiviti fizikal yang mampu meningkatkan tahap stamina, kecergasan dan kekuatan tubuh badan. Islam bukan agama yang rigid dan hanya mengongkong umatnya agar beribadah dimasjid semata-mata, akan tetapi umat islam menuntut agar setiap peribadi muslim menjaga kesihatannya dan meningkatkan kekuatan tubuh badannya.

“Dan persiapkanlah untuk menghadapi mereka dengan kekuatan yang kamu miliki… “

Al-Anfal : 60

Penjagaan kesihatan dan tubuh badan dalam islam juga mesti ada matlamat yang jelas, bukan sekadar untuk mendapat tubuh badan yang berotot sasa atau sekadar matlamat-matlamat keduniaan yang rendah semata-mata akan tetapi persediaan ini adalah persediaan yang dituntut oleh Allah sebagai persiapan untuk perjuangan dan akan diberikan ganjaran pahala yang besar. Oleh kerana itulah umat Islam perlu sentiasa melazimkan dirinya dengan latihan-latihan riadhah seperti berenang, memanah dan menunggang kuda. Jika di Australia, berenang dijadikan sebagai salah satu kurikulum dalam pendidikan sekolah maka umat Islam lebih lagi dituntut untuk mempelajarinya. Selain itu sukan-sukan lazim seperti bolasepak, badminton, ping pong, olahraga dan kaedah-kaedah senaman aerobik yang terbukti baik untuk kesihatan juga perlu menjadi kebiasaan umat Islam dan perlaksanaannya hendaklah dalam rangka pematuhan kepada syara’ seperti menutup aurat dan tidak menggangu waktu solat.

Adalah penting untuk setiap individu muslim menyusun jadual kehidupannya agar ada masa-masa yang diperuntukkan untuk riadhah, latihan-latihan fizikal dan pemeriksaan kesihatan. Sepertimana kita menyusun urusan pejabat dan rumahtangga kita maka urusan riadhah dan kesihatan ini perlu juga diselenggara sama penting dengan urusan-urusan penting yang lain. Hassan Al Banna juga menyatakan kepentingan mempunyai tubuh badan yang kuat dimana ia dinyatakan sebagai salah satu komponen dalam 10 sifat peribadi muslim unggul. Perlu kita peruntukkan dalam seminggu sekurang-kurangnya 3 hari untuk riadhah dimana setiap sesi berlangsung selama setengah jam.

Walaubagaimanapun, sehebat mana kita menjaga kesihatan, ketentuan Allah itu mendahului segala-galanya. Ada orang yang sangat teliti dalam penjagaan kesihatan, namun akhirnya menemui ajal dalam kemalangan jalanraya. Ada juga atlit sukan yang fizikalnya sangat hebat namun menemui ajal dalam usia yang sangat muda. Tragedi yang menimpa Marc Vivien Foe bekas pemain Manchester City yang hebat yang menemui ajal akibat serangan jantung ketika bermain bolasepak, Datuk Razali Ismail yang meninggal dunia ketika bermain badminton, Hani Mohsin yang rebah di lapangan terbang serta banyak lagi kisah-kisah lain yang membuktikan bahawa ajal itu bukan urusan manusia. Kematian dan kecacatan boleh datang dalam pelbagai bentuk, mungkin akibat jangkitan kuman di otak, AIDS akibat pemindahan darah, Denggi, Strok, terjatuh di bilik air, kemalangan jalanraya dan pelbagai lagi sebab yang membawa kepada kecacatan dan maut.

Komponen kedua dalam hadis diatas adalah penting untuk difahami oleh setiap muslim berjiwa hamba, bahawa ketentuan Allah itu mengatasi kudrat manusia, supaya manusia itu tidak kecewa akibat musibah yang menimpa dirinya. Oleh kerana itulah setiap muslim dituntut agar memohon perlindungan Allah pada setiap waktu dan ketika. Atas hakikat inilah, setiap individu muslim itu perlu melazimkan dirinya dengan zikir ma’thurat dan doa-doa perlindungan kerana sifat manusia yang lemah dan tidak berupaya.

Kefahaman yang jelas terhadap hadis diatas akan membentuk peribadi muslim yang dinamik dan seimbang dunia dan akhiratnya seperti yang digambarkan dalam satu lagi komponen hadis tersebut:

“Berlumbalah untuk memperoleh apa saja yang memberikan kemanfaatan pada mu dan mohonlah pertolongan kepada Allah dan janganlah merasa lemah”

Sifat berlumba-lumba, bersungguh-sungguh untuk mengejar kebaikan disamping sentiasa memohon pertolongan dari Allah akan membentuk peribadi muslim yang menakjubkan, seperti yang digambarkan dalam satu lagi hadis :

Sungguh menakjubkan perkaranya orang yang beriman, karena segala urusannya adalah baik baginya. Dan hal yang demikian itu tidak akan terdapat kecuali hanya pada orang mu'min: Yaitu jika ia mendapatkan kebahagiaan, ia bersyukur, karena (ia mengetahui) bahwa hal tersebut merupakan yang terbaik untuknya. Dan jika ia tertimpa musibah, ia bersabar, karena (ia mengetahui) bahwa hal tersebut merupakan hal terbaik bagi dirinya." (HR. Muslim)

Umat Islam dituntut untuk bersungguh-sungguh mempersiapkan dirinya, menjaga kesihatan dan memperkuatkan tubuh badan, namun pada masa yang sama, tawakkalnya bukanlah pada usaha dan tubuhnya tetapi pada tuhannya yang masa esa.

Suatu Petang di Meja Makan

Petang itu, sedang kami sekeluarga menjamu selera tiba-tiba...

Humaira : "Ya Allaaaaaahhhhhhh!!!"

Aku : "Eh, kenapa ni?"

Humaira: "Humaira nak panggil Allah"

Aku: "Panggil Allah? kenapa?" wajahku berkerut

Humaira: "Humaira nak gula-gula dengan aiskrim"

Aku: "Oh!" (tergamam)