Selamat Datang Khadijah Hanan


Gambar Khadijah Hanan diambil ketika wayar diseluruh tubuhnya telah dicabut

Minggu ini adalah minggu yang sungguh menggembirakan, setelah sekian lama menunggu, akhirnya Puteri kedua kami yang diberi nama Khadijah Hanan telah selamat dilahirkan pada 27 Julai lalu. Syukur pada Allah yang telah mempermudahkan segala urusan semoga keberkatan dalam kehidupan menjadi milik anak-anak kami sehingga akhir hayat mereka.

Segalanya bermula 9 bulan yang lalu, seakan-akan baru sahaja kami dalam keadaan terpegun melihat keputusan ujian kehamilan yang menunjukkan keputusan positif. Setelah sekian lama menunggu, keajaiban itu akhirnya tiba, anugerah kelahiran yang bersulam dengan tanda-tanda kebesaran.

Jam 3 pagi hari Ahad 26 Julai, isteri ku mengejutkanku dengan keadaan wajahnya menahan kesakitan yang amat sangat, tanpa membuang masa aku terus sahaja bergegas membawanya ke hospital, namun contraction yang berlaku masih belum cukup untuk membuka laluan kelahiran secukupnya, kami diminta untuk pulang dan datang semula pada jam 11 pagi. Pemeriksaan kedua juga menunjukkan bukaan masih dalam kadar yang sangat minimum, lalu sekali lagi kami pulang hampa.

Isnin 27 Julai, sekali lagi aku dikejutkan pada jam 3 pagi, namun kali ini contraction yang belaku lebih kerap dan lebih kuat, terus sahaja kami ke hospital. Ketika isteriku dimasukkan di wad PAC untuk pemerhatian, aku ke bilik menunggu, tidak lama selepas itu pegawai keselamatan memanggil

“Waris kepada Hasifah Bt Zainuddin, sila sediakan baju baby”

Aku tersentak, lalu terus ke kaunter, disana aku dimaklumkan bahawa air ketuban telah dipecahkan dan bukaan telah mencapai 4 cm. Sangkaku mungkin tidak berapa lama lagi isteriku akan bersalin. Dalam keheningan subuh, aku bergegas ke surau di taman pulai jaya berhampiran hospital untuk menunaikan solat subuh.

Pulang dari solat subuh, aku kembali ke ruang menunggu, 3 jam menanti, jam 9 pagi aku dipanggil ke bilik bersalin mesra suami oleh jururawat bertugas. Melihat keadaan isteri yang mengalami kesakitan yang amat sangat, aku hanya mampu untuk berzikir dan berdoa disebelahnya, moga berguguranlah segala dosanya.

Melihat kesakitan yang dialami, aku teringatkan pasangan-pasangan yang bercinta haram diluar sana, jika mereka tahu akan kesakitan yang bakal ditanggung pasti tidak akan sanggup untuk mereka menyerahkan tubuh kepada lelaki-lelaki jembalang yang tidak kenal makna tanggungjawab.

Setiap saat berlalu dalam keadaan kesakitan, akhirnya pemeriksaan terakhir pada jam 1 tengahari menunjukkan bukaan masih belum cukup untuk kelahiran secara normal.
Keputusan dibuat pantas, degupan jantung si kecil makin lemah, kepalanya telah bengkak kerana dicubainya untuk menerobos ke laluan sempit buat menjengah alam baru yang bakal ditempuh. Kami terpaksa akur dengan kelahiran secara caesarean buat kali kedua.

Implikasinya, isteriku tidak boleh hamil dalam tempoh waktu terdekat dan jumlah anak juga harus dihadkan setakat 3 atau 4 sahaja, namun itu ketentuan yang harus kami terima. Setiap apa yang berlaku itu ada hikmah yang tersembunyi. Dalam satu hadis riwayat muslim, diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda

”Sungguh ajaib perihal orang mukmin, sesungguhnya semua urusan mereka adalah kebaikan. Dan keadaan ini tidak ada melainkan kepada orang yang beriman saja. Sekiranya dia medapat karunia dia akan bersyukur, maka jadilah karunia itu baik untuknya. Manakala apabila ditimpa musibah, dia bersabar. Maka jadilah musibah itu kebaikan untuknya.”

Jam 1.15 tengahari, isteriku disorong ke dewan pembedahan. Dr. Murizah, pakar sakit puan yang juga sahabat baik isteriku akan bertanggungjawab untuk melaksanakan pembedahan. Aku dimaklumkan oleh Dr. Murizah bahawa pembedahan hanya akan mengambil masa lebih kurang 1 jam sahaja.



Selepas solat zuhur aku menunggu di luar dewan pembedahan, masa berlalu dan jam menunjukkan pukul 3 petang, kelibat isteriku dan Dr. Murizah masih belum kelihatan, hatiku berdebar-debar.

Jam 3.30 petang, aku dipanggil ke kaunter, kelihatan Dr. Murizah dengan wajah yang agak sugul dan masih berpakaian pembedahan, jantungku berdegup makin kencang.

“Sham, Kak Muri terpaksa bagi bius seluruh badan pada Syifa sebab dia masih lagi rasa sakit walaupun dah bagi bius spinal, satu lagi, baby terpaksa dimasukkan ke NICU (Neonatal Intensive Care Unit) sebab dia mengalami masalah pernafasan, masa Kak Muri keluarkan baby, dia tertidur kesan bius tadi, jadi dia tak menangis macam biasa”

Aku mendengar dengan penuh perhatian dan penuh debaran

“Kak Muri rasa bagai nak luruh jantung tadi, jadi kami terpaksa bagi bantuan pernafasan melalui tiub, dan Kak Muri pi jenguk di NICU tadi nampak dia dah ok sikit”

Aku tergamam seketika, selesai Dr. Murizah memberi keterangan, aku turun ke café hospital mencari segelas teh tarik buat meredakan perasaan gundah.

Jam 5.30 petang baru aku dibenarkan masuk ke NICU, melihat keadaan anakku yang berselirat wayar di seluruh tubuhnya, aku jadi hiba, namun aku gagahi juga untuk azan dan qamat di telinga kanan dan kirinya. Khadijah seolah-olah kenal suaraku, kalimah azan menyebabkan dia cuba untuk bergerak, dia cuba menangis namun suaranya tidak kedengaran kerana tersekat dengan saluran tiub penafasan.

Setelah itu aku bergegas pula ke wad kenanga, tempat isteriku ditempatkan, kelihatan dia masih mamai kesan bius yang cukup kuat, namun dengan suara serak dan tersekat sekat isteriku bertanya

“Bang, mana baby?”

Aku menerangkan keadaan sebenar padanya dan meminta agar dia bersabar. Aku mungkin tidak akan memahami naluri keibuannya namun dalam keadaan sebegini, hanya Allah sahaja tempat kami bergantung dan memohon pertolongan.

Malam itu aku pulang dengan perasaan yang bercampur baur, ditambah tangisan kemarahan Humaira kerana tidak dibenarkan melawat (kanak-kanak bawah 12 tahun dibenar masuk ke wad). Aiskrim dan ayam goreng KFC terpaksa dibeli bagi meredakan perasaannya, hendak ke RFC, aku sudah tidak larat lagi.

Kelahiran adalah proses pertarungan hidup mati 2 insan, ia penuh dengan tanda-tanda kebesaran bagi akal yang berfikir dan hati yang celik. Hari ini, imanku segar kembali dengan pergantungan kepada Allah, dalam keadaan getir begini, hanya Allah sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong.

Hanya Gerhana Bukan Terbenamnya Matahari



Kelmarin dunia secara khusus benua Asia menyaksikan peristiwa bersejarah antara gerhana matahari yang paling lama berlaku. Fenomena ini dijangka akan berulang lagi hanya pada tahun 2032. Jika umur panjang, usia mereka yang sebaya dengan saya pada waktu itu adalah 52 tahun manakala Humaira pula telah berusia 26 tahun, harapnya telah berkahwin dan mempunyai 2 orang anak.

Dalam kitab Al Muntalaq karya Muhammad Ahmad Ar Rashid, terdapat satu tajuk berkenaan dengan gerhana, tetapi kisahnya bukanlah mengenai gerhana matahari, tetapi gerhana di dunia ini apabila islam tidak menjadi rahmat kepada seluruh alam.

Dunia sesungguhnya telah mengalami kerugian yang amat besar apabila Islam tidak
menjadi penguasa dunia, sejarah telah menjadi saksi betapa selama hampir 1400 tahun,
Islam telah menyinari sekurang-kurangnya 2/3 dunia dengan rahmat dan keadilan.
Ketika zaman keagungan Islam, tabir kegelapan dan kezaliman dunia disingkap, ramai manusia telah kembali menjadi hamba kepada Allah apabila mereka telah menjadi hamba kepada sesama manusia sebelumnya.

Pelbagai tamadun ilmu berkembang, penemuan demi penemuan ditemukan, tokoh demi tokoh dilahirkan, keadilan Islam melata diatas muka bumi, dunia dan seisinya beroleh rahmat apabila bumi ini dipusakai oleh hamba-hamba Allah yang soleh. Kesan ketamadunan ilmu ini masih kekal hingga hari ini, nama-nama seperti Umar Al Khattab, Muawiyah Bin Abi Sufian, Imam Nawawi, Imam Syafi’I, Imam Ghazali, Al khwawizmi, Ibn Sina, Al Khindi, Al Biruni akan terus kekal harum sepanjang ketamadunan insan.

Namun, sinaran mentari Islam ditakdirkan gerhana jua seketika, 1924, menyaksikan kejatuhan khilafah yang terakhir, bumi Uthmaniyyah bermandi air mata ummah yang menangisi pemergian khilafah. Dunia kembali gelap, peperangan demi peperangan berlaku, umat Islam dibantai dimana-mana, sistem ekonomi kapitalis berasaskan riba menjerut dunia seluruhnya, pencemaran dunia makin kritikal, bangunan makin tinggi tetapi kerohanian manusia makin runtuh. Dunia sekali lagi dirundung gerhana dek hilangnya mentari Islam.

Tabi’I gerhana ialah ianya hanya akan berlaku seketika, sinar cahaya pasti akan kembali selepasnya, hanya selepas 85 tahun kegelapan, Islam kembali menunjukkan tanda-tanda kebangkitan. Hari ini, Islam menjadi agama yang paling pantas dianuti di Eropah dan Amerika.

Para pendakwah yang ikhlas kini gigih bekerja, hanya masa yang akan menentukan bahawa Islam pasti akan bangkit kembali. Dunia ini pasti akan kembali dipusakai oleh hamba-hamba Allah yang soleh. Kawanan burung kini menyanyi riang kerana sedar saat gerhana hampir tiba dipenghujungnya.

Islam pasti bangkit kembali

Azan itu Syiar Kita


Mendengar azan dikumandangkan di Taman Tunku Sarina adalah suatu kenikmatan yang tidak terhingga. Semasa kami mula-mula berpindah disana, surau yang ada agak jauh dan tidak mempunyai speaker yang baik, jadi biasanya, waktu solat awal waktu sering juga terlepas dek kerana kelalaian menjaga waktu.

Namun kini segalanya telah berubah, jika dahulu di surau sementara, setiap solat waktu, jumlah jemaah yang hadir amatlah menyedihkan, namun kini dengan adanya surau baru dengan kelengkapan sistem P.A yang baik, laungan azan begitu jelas kedengaran sehingga ke setiap ceruk di Taman Tunku Sarina, dan kesannya jumlah jemaah yang hadir pada setiap solat fardhu berjemaah adalah amat membanggakan.

Ternyata, azan itu adalah syiar yang menyatukan setiap muslim, tidak kira bangsa dan sempadan geografi. Kalimah yang kita dengar di surau berhampiran rumah kita, kalimah itu jugalah yang akan didengari disetiap penjuru bumi yang ditegakkan solat diatasnya. Tidak kira di hujung dunia di kutub selatan, atau dalam rimbunan hutan di amazon, atau di lembah tandus padang pasir sahara, laungan azan pasti akan menyejukkan hati setiap muslim yang mendengarnya.

Azan bukan hanya laungan untuk mengajak orang bersolat, tapi ia adalah sebesar-besar syiar bagi seorang muslim yang mengandungi makna tauhid, kalimah ketaatan, seruan kearah kejayaan dan peringatan bahawa hanya Allah yang layak dibesarkan diatas muka bumi ini.

Berada dibumi yang tidak kedengaran azan padanya adalah suatu tekanan perasaan bagi muslim yang hidup hati dan jiwanya. Laungan azan yang kedengaran, ibarat lagu merdu dari syurga buat membasahkan hati dengan kalimah kebesaran dan seruan kearah kejayaan dunia dan akhirat.

Laungkanlah azan, walau dimana anda berada, bumi itu pasti akan menjadi saksi.

Jiwa Yang Beriman Itu Peka

Membaca kisah tentang Natrah, Dr. Marwa dan tragedi-tragedi lain yang menimpa umat Islam, apakah perasaan anda?

Adakah anda merasakan bahawa itu bukan urusan anda dan keluarga kerana tidak ada mengena? Apakah anda merasa sedih dan seminggu kemudian lupa dengan apa jua perkara yang berlaku, atau anda membaca berita ini dengan sebelah mata lalu meneruskan sahaja kehidupan tanpa apa-apa yang berlaku.

Jika itu adalah reaksi anda, maka anda perlu memeriksa kembali kualiti iman dan melakukan istighfar sebanyak-banyaknya. Mengapa saya menyatakan sedemikian? Lihat mafhum dari hadis ini:

“Siapa yang tidak ambil berat akan urusan umat islam, maka dia bukanlah dari golongan kami”

Hadis tersebut memberikan ancaman kepada setiap individu muslim supaya sentiasa sensitif dengan perkembangan yang menimpa umat Islam. Kepekaan ini bukanlah kepekaan yang bisu, namun kepekaan ini adalah kepekaan yang menuntut kepada tindakan.

Apakah tindakan yang harus dilakukan? Adakah dengan memboikot barangan Israel?, berpindah dan tinggal di Makkah dan Madinah hingga Dajjal muncul, mengangkat senjata dan memerangi setiap musuh yang memerangi Islam?, atau biarkan sahaja kerosakan yang berlaku?

Walau bagaimana dahsyatnya kerosakan, seorang muslim tidak boleh meninggalkan tugas hakikinya untuk menyelamatkan manusia. Usaha-usaha untuk memperbaiki urusan umat ini harus diteruskan hingga Allah memberikan keputusannya.

Bermula dari usaha memperbaiki diri, mengislahkan keluarga kemudian masyarakat sehingga terbentuknya negara dan sehingga Islam menjadi rahmat kepada seluruh alam.

Keputusan akhir hanyalah milik Allah, kita hanya dituntut untuk berusaha, dakwah nabi terdahulu juga ada yang tidak berjaya, seumpama kisah Nabi Nuh, Lut, Musa, Isa dan ramai lagi dari para rasul.

Apa yang penting setiap muslim harus kembali menjadi muslim yang sebenar dan memahami tugas dan tanggungjawabnya yang sebenar diatas muka bumi.

Seorang muslim itu hanya akan menjadi muslim yang sebenar apabila memahami apa ertinya menjadi muslim di sudut aqidah, ibadah dan dakwah bahkan menjadi muslim dalam seluruh kehidupan mereka.

Dr. Marwa El Sharbini : Tikaman yang Memalukan Umat Islam



Tragedi yang menimpa keluarga Dr. Marwa El Sharbini adalah tragedi yang sepatutnya membuka mata seluruh umat Islam. Ketika dunia masih berduka lara atas pemergian Raja Pop MJ, ramai yang tidak mengetahui kisah Dr. Marwa ini.

Ianya bermula suatu petang di sebuah taman permainan di Jerman ketika Dr. Marwa sedang bermain dengan anaknya yang berusia tiga tahun. Tiba-tiba keriangan petang dia dan anaknya direnggut dengan jeritan-jeritan penghinaan ke atas dirinya dan agamanya. Kata-kata seperti “pengganas, pelacur islam” yang ditimpakan atas dirinya oleh seorang pemuda German berketurunan Rusia bernama Axel W. tidak dapat diterima oleh dirinya.

Dr. Marwa bertindak berani dan professional, beliau melaporkan kes tersebut dan membawa pemuda keji itu ke mahkamah untuk disaman. Kemenangan pertama untuk Dr. Marwa apabila mahkamah memerintahkan pemuda tersebut membayar denda sebanyak 780 euro.
Tidak puas hati dengan keputusan mahkamah, pemuda tersebut membuat rayuan, namun kali ini pemuda tersebut mempunyai agendanya yang tersendiri.

Tiba hari rayuan dibuat, perbicaraan kes berlangsung semula, tiba-tiba pemuda tersebut meluru dengan sebilah pisau dan menikam Dr.Marwa sebanyak 18 kali. Suami Dr. Marwa yang berada disitu meluru untuk membantu, namun amat malang apabila beliau yang ditembak oleh pihak polis kerana kononnya salah sangka.

Kemenangan kedua untuk Dr. Marwa, beliau syahid bersama kandungannya yang berusia 3 bulan semasa mempertahankan maruah dirinya. Suaminya kini berada dalam keadaan kritikal.

Media barat memandang sepi isu ini, fakta bahawa tikaman itu berlaku dalam mahkamah dan ditempat yang sepatutnya paling selamat tidak langsung menarik perhatian media. Nyatalah kebencian mereka kepada Islam menyala-nyala.

Suatu ketika dahulu, ketika khilafah Islam berkuasa, maruah seorang wanita yang ternoda akan dituntut dengan ratusan ribu tentera yang bersedia untuk membela, namun malang bagi umat Islam hari ini yang hanya mampu melihat tanpa mampu berbuat apa-apa.
Dimanakah Salahuddin Al Ayyubi!