Tapi, ayah tak menangis pun...


"Ayah, kenapa orang tu menangis ayah?"

Humaira bertanya dengan ikhlas tatkala melihat pemandangan orang yang berwukuf di Arafah bersolat kemudian berdoa sambil menangis di kaca televisyen.

"Ye la, kita bila kita banyak buat salah dan dosa, kita kena minta maaf dengan Allah, sama macam Humaira bila terkencing atas katil, lepas kencing tu Humaira nangis kan sambil minta maaf..."

"Sebab tu la kita bila kita banyak buat dosa, kita rasa sedih, kita menangis sebab takut Allah tak maafkan kita..."

Aku menerangkan konsep taubat dengan begitu berkeyakinan sekali...

"Tapi Ayah..." wajahnya kelihatan hairan

"Tapi apa Humaira"...aku cuba mencungkil apa yang terbuku dihatinya...

"Humaira tengok Ayah dengan ibu masa solat tak nangis pun..."

"mmmm...gulp...Ayah sakit perut la, Ayah nak gi tandas jap ek...Humaira tanya ibu na..."

Selamat Hari Raya Aidil Adha :)
Hisham, Syifa
Humaira, Khadijah

Rezqi itu bukan urusan kita...

Dan janganlah kamu membunuh anak-anakmu karena takut kemiskinan. Kami lah yang akan memberi rezeki kepada mereka dan juga kepadamu. Sesungguhnya membunuh mereka adalah suatu dosa yang besar.
[17:31]

Dan kawinkanlah orang-orang yang sendirian di antara kamu, dan orang-orang yang layak (berkawin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui.
[24:32]

“Eh, ni Saiful kan, apa khabar? Lama tak jumpa? Kerja dimana sekarang?”

“Alhamdulillah sihat En Hisham, la saya kerja di Kolej Komuniti, pembantu tadbir je...”

Saiful adalah antara bekas pelajarku yang terawak, ketika aku mula masuk mengajar di UUM pada hujung tahun 2003, berjumpa dengannya kembali setelah 6 tahun amat mengimbau memori.

Antara pelajar yang masih aku ingat hingga sekarang antaranya Zulfikri, pengaturcara yang kreatif, Saiful Nizam yang menjadi penyampai utama dalam bulletin utama TV3, Jalwati Nadirah, pelajar paling rajin dalam kelas, Radin, Islahudin dan ramai lagi.

“Kamu dah kahwin ke? Anak berapa dah?”

Itu soalan pertama yang terpacul dari mulutku

“saya anak 2 dah, en hisham pula berapa?”

“Wah, lajunya” aku tersengih, tidak pula menjawab soalan...

“Saya kahwin awal en hisham, tahun akhir tu saya kahwin dah, anak sulung pun tahun depan nak masuk tadika dah”

“Bagus tu, kahwin awal...ermmm, kamu tak rasa susah ke, masa kahwin kerja belum ada?”

“Tak juga en sham, saya pun hairan, rezeki kadang-kadang datang dari arah yang tidak disangka-sangka, tambah pula bila dah ada anak ni, saya memang rasa, setiap kali anak saya lahir, pendapatan saya pasti bertambah”

“Kalau ikut logik, pendapatan bulanan saya takkan cukup punya, kalau saya kira-kira, memang tak cukup, tapi belanja nak beli pampers, susu, makan pakai semuanya cukup-cukup je, walaupun taklah mewah, tapi cukup...”

“Hmm, yelah, memang betul cakap Saiful tu, setiap anak yang lahir, telah ditentukan rezekinya, kita ni hanya tukang bedak je”

“mmm, betul en hisham, sebab tu saya tak risau pun kalau nak dapat anak lagi, insyaallah rezeki untuk diaorang ada”

Malam itu, aku beroleh keyakinan baru, walaupun mungkin sebelum ini telah mengetahuinya, tapi malam itu aku bertambah yakin bahawa perkahwinan yang diberkati akan mengundang redha dan rezqi.

Berkahwinlah wahai pemuda, usahlah risau dengan urusan rezqi, kerana urusan itu bukan urusan kita...

Arghh...Terlepas Lagi!


arghhh...terlepas lagi! tensen betul

Tapi, saya tak baca nota tu...

“kita seharusnya takut pada tuhan, bukan pada manusia...”

“Buat apa nak takut pada manusia, tuhan lebih berkuasa...itu rezeki semua ditangannya..”

Itu pesanan Mr. Arsaythamby Veloo ketika aku sedang menjalani kursus PTK 3 dua tahun yang lalu. Walaupun berbeza agama, tapi Mr. Arsay telah mengutarakan antara konsep aqidah yang paling penting dalam kehidupan seorang muslim. Walaupun berbeza aqidah dan pegangan, tetapi tidak dapat tidak aku harus bersetuju dengan konsep yang diutarakan tersebut. Rasa bertuhan akan melahirkan manusia yang sentiasa berhati-hati dalam setiap tindakannya.

Minggu lepas, ketika sedang mengawas peperiksaan akhir di dewan Mas, aku dan rakan-rakan dikejutkan dengan satu kes kecurangan akademik oleh seorang pelajar. Walaupun sebelum ini telah banyak yang ditangkap ketika melakukan kecurangan dalam peperiksaan akhir namun inilah kali pertama aku terlibat secara langsung dalam kes.

Sudah menjadi lumrah, setiap pelajar ingin mendapatkan keputusan yang cemerlang, dan dalam prose situ ada yang terlibat dengan tindakan-tindakan yang tidak wajar. Dalam kes ini pelajar tersebut ditangkap ketika sedang membaca nota di dalam tandas.
Ketika ditangkap oleh pembantu pengawas, mulanya pelajar itu enggan mengaku bersalah, namun alasan yang diberikan sungguh meloyakan tekak.

“Saya tak meniru, saya bawa kertas ini untuk buat lap berak”
Kami tercengang, setelah diteliti ternyata kertas yang dibawa adalah nota yang memang ada kaitan dengan subjek peperiksaan.

“Takkan kamu takde kertas lain yang boleh digunakan, atau gunalah air atau apa saja alternatif, rendah sungguh darjat nota pelajaran hingga kamu nak jadikannya sebagai lap najis sahaja”

Aku membebel...

“Takpelah, kamu jawablah sedemikian di mahkamah akademik nanti”

Ketua pengawas malas untuk berbicara panjang.

“Tapi, saya tak baca nota tu” tegas pelajar tersebut lagi.

Namun, gambar yang dirakam jelas menunjukkan pelajar tersebut sedang membaca nota. Menyedari dirinya telah terperangkap, pelajar tersebut mendiamkan diri.

Apa yang aku kesalkan adalah alasan yang diberikan sungguh menyedihkan, kalaupun hendak menipu, carilah alasan lain yang lebih rasional.

Kecemerlangan dalam peperiksaan bukan segala-galanya, apa yang penting adalah apa yang dilalui melalui proses pembelajaran, walaupun mendapat markah yang tinggi tetapi jika akhlak dan sifat amanah tiada, tidak ada gunanya.

Walaupun mungkin ramai yang terlepas dan menggunakan pelbagai teknik yang canggih untuk meniru, ingatlah bahawa pembalasan tuhan yang jika tidak dibalas didunia, akan dibalas dengan lebih pedih diakhirat sana.

Pejamkan Mata Seketika



Saat runtuhnya khilafah Uthmaniah pada 1924, malapetaka demi malapetaka menimpa umat ini, dimamah dan dijajah dimana-mana. Walaupun era penjajahan fizikal lama telah berakhir kecuali di Iraq dan Afghan yang dijajah semula, tetapi agenda serangan halus yang membunuh minda umat Islam, menukarkannya dari singa yang garang kepada kijang yang pengecut terus berjalan dengan sistematik direncanakan oleh tangan-tangan iblis dibantu oleh pembantu yang setia dari kalangan musuh kepada keamanan dan kedamaian.

Akibat dari serangan ini, kita telah bertukar dari menjadi umat yang menang kepada umat yang kalah, dari umat pencipta kepada umat pengguna, dari umat yang maju kepada umat yang mundur serba segalanya. Jika kita pejamkan mata seketika dan gambarkan senario umat islam yang ada pada hari ini kita akan merasai betapa parahnya kedudukan umat ini dimana-mana negara sekalipun.

Pejamkan mata seketika, bayangkan apa yang ada disekeliling kita, makanan, minuman, pakaian, komputer, cip pemproses, telefon bimbit, internet, kertas, jurnal, sistem pendidikan, sistem perundangan bahkan apa sahaja yang terlintas di fikiran kita, 99% daripadanya umat islam hanyalah pengguna.

Kemudian lihatlah pula apa yang terjadi kepada umat ini, selak helaian berita, lihat siapa jaguh dalam penagihan dadah, rempit rempitan, buang bayi, merusuh di padang bola, gagal dalam pelajaran, berpeleseran di konsert-konsert, siapa lagi kalau bukan umat ini.

Kemudian lihat pula apa pengisian anak-anak muda umat yang bertuah ini, pasang radio, lihat televisyen, lihat majalah dan novel-novel yang ada ; berapa peratus rancangan yang mengajak kepada agenda pembangunan umat dan yang lebih kritikal, berapa banyak rancangan yang mengajak manusia untuk mengingati Allah.

Seterusnya lihat pula masa depan umat ini, lihat anak-anak mudanya, lihat graduan dan siswazahnya, apa keutamaan mereka, bagaimana mereka menghabiskan masa mereka, apa yang mereka ingin tuju dalam kehidupan mereka.

Tidak perlu dibentangkan dengan statistik, cukup hanya dengan melihat dengan mata kasar akan realiti umat ini, nescaya kita akan dapati bahawa bila-bila masa sahaja bala Allah boleh menimpa.

Dan jika Kami hendak membinasakan suatu negeri, maka Kami perintahkan kepada orang-orang yang hidup mewah di negeri itu (supaya menaati Allah) tetapi mereka melakukan kedurhakaan dalam negeri itu, maka sudah sepantasnya berlaku terhadapnya perkataan (ketentuan Kami), kemudian Kami hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya. Al Isra:16

Dan apabila bala Allah menimpa, ia tidak akan hanya mengenai orang-orang yang zalim dan derhaka, bahkan semua akan terlibat dalam kanun pembalasan tersebut.

Dan peliharalah dirimu daripada siksaan yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim saja di antara kamu. Dan ketahuilah bahwa Allah amat keras siksaan-Nya.Al Anfaal:25

Amat wajar sekali, diketika musim bumi ini kian meledakkan amarahnya dengan amaran amaran dari tuhannya dengan gegak gempa, putting beliung, perubahan cuaca dan sebagainya kita menggolongkan diri kita dalam kelompok berikut :

Dan (ingatlah) ketika suatu umat di antara mereka berkata: "Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazab mereka dengan azab yang amat keras?" Mereka menjawab: "Agar kami mempunyai alasan (pelepas tanggung jawab) kepada Tuhanmu, dan supaya mereka bertakwa". Al A’raaf:164

Nasihat bermula untuk diri sendiri, keluarga, tetangga yang dekat. Jika setiap dari kita dapat berperanan dalam menjadi duta-duta kebaikan, walaupun hanya untuk diri dan keluarga, mungkin apabila tiba masanya, kita akan mempunyai hujah ketika berhadapan dengan Allah pada hari yang tidak ada gunanya jawatan, kereta, wang dan segalanya kecuali sekeping hati yang sejahtera.

Kita tidak akan ditanya tentang apakah kita berjaya mengubah dunia, tetapi kita akan ditanya, apakah kita telah bekerja?

Bersediakah kita untuk hari yang besar itu?