Tapi, saya tak baca nota tu...

“kita seharusnya takut pada tuhan, bukan pada manusia...”

“Buat apa nak takut pada manusia, tuhan lebih berkuasa...itu rezeki semua ditangannya..”

Itu pesanan Mr. Arsaythamby Veloo ketika aku sedang menjalani kursus PTK 3 dua tahun yang lalu. Walaupun berbeza agama, tapi Mr. Arsay telah mengutarakan antara konsep aqidah yang paling penting dalam kehidupan seorang muslim. Walaupun berbeza aqidah dan pegangan, tetapi tidak dapat tidak aku harus bersetuju dengan konsep yang diutarakan tersebut. Rasa bertuhan akan melahirkan manusia yang sentiasa berhati-hati dalam setiap tindakannya.

Minggu lepas, ketika sedang mengawas peperiksaan akhir di dewan Mas, aku dan rakan-rakan dikejutkan dengan satu kes kecurangan akademik oleh seorang pelajar. Walaupun sebelum ini telah banyak yang ditangkap ketika melakukan kecurangan dalam peperiksaan akhir namun inilah kali pertama aku terlibat secara langsung dalam kes.

Sudah menjadi lumrah, setiap pelajar ingin mendapatkan keputusan yang cemerlang, dan dalam prose situ ada yang terlibat dengan tindakan-tindakan yang tidak wajar. Dalam kes ini pelajar tersebut ditangkap ketika sedang membaca nota di dalam tandas.
Ketika ditangkap oleh pembantu pengawas, mulanya pelajar itu enggan mengaku bersalah, namun alasan yang diberikan sungguh meloyakan tekak.

“Saya tak meniru, saya bawa kertas ini untuk buat lap berak”
Kami tercengang, setelah diteliti ternyata kertas yang dibawa adalah nota yang memang ada kaitan dengan subjek peperiksaan.

“Takkan kamu takde kertas lain yang boleh digunakan, atau gunalah air atau apa saja alternatif, rendah sungguh darjat nota pelajaran hingga kamu nak jadikannya sebagai lap najis sahaja”

Aku membebel...

“Takpelah, kamu jawablah sedemikian di mahkamah akademik nanti”

Ketua pengawas malas untuk berbicara panjang.

“Tapi, saya tak baca nota tu” tegas pelajar tersebut lagi.

Namun, gambar yang dirakam jelas menunjukkan pelajar tersebut sedang membaca nota. Menyedari dirinya telah terperangkap, pelajar tersebut mendiamkan diri.

Apa yang aku kesalkan adalah alasan yang diberikan sungguh menyedihkan, kalaupun hendak menipu, carilah alasan lain yang lebih rasional.

Kecemerlangan dalam peperiksaan bukan segala-galanya, apa yang penting adalah apa yang dilalui melalui proses pembelajaran, walaupun mendapat markah yang tinggi tetapi jika akhlak dan sifat amanah tiada, tidak ada gunanya.

Walaupun mungkin ramai yang terlepas dan menggunakan pelbagai teknik yang canggih untuk meniru, ingatlah bahawa pembalasan tuhan yang jika tidak dibalas didunia, akan dibalas dengan lebih pedih diakhirat sana.

No comments:

Post a Comment