Kawan, Sahabat dan Teman



Sesiapa yang Allah menghendaki kebaikan untuknya, maka akan direzqikannya dengan sahabat yang soleh, ketika dia lupa dia akan mengingatkannya, ketika dia beramal, dia akan membantunya(Maksud Hadis)

Berbicara tentang sahabat, terdapat banyak hadis-hadis yang menunjukkan keutamaan dan kepentingan sahabat dalam kehidupan seorang muslim. Sahabat itu adalah ibarat cermin pada diri kita, siapa kita akan dapat digambarkan dengan melihat dengan siapa kita bersahabat.

Sahabat yang baik itu bukanlah sahabat yang sentiasa bergelak ketawa dengan kita, ataupun sahabat yang menangis bersama, bukan juga sahabat yang sudi menemankan kita makan atau melancong tidak kira masa, akan tetapi sahabat yang baik itu adalah sahabat sentiasa mengingatkan kita dalam rangka iman dan ukhuwwah kepada Allah.

Ketika mana kita lupa untuk beramal kepada Allah, lalai dalam kehidupan, larut dengan dunia, maka sahabat yang baik ini akan mengingatkan kita agar kembali ke jalan yang lurus, begitu juga dalam beramal kebaikan, sahabat yang baik ini akan membantu dengan sepenuh hati, malahan akan menguatkan kita dengan bantuannya. Itulah hakikat sebenar sahabat yang baik.

Lihatlah kiri dan kanan kita, adakah terdapat di sekeliling kita sahabat yang baik, kawan mungkin ramai, kenalan juga mungkin lebih ramai, akan tetapi sahabat ini perlu dicari, bak kata Saidina Umar, hendaklah kamu mencari sahabat – sahabat yang baik dan hidup dalam lingkungannya.

Marilah kita berpesan-pesan dengan kebaikan dan bersama kearah kehidupan yang lebih baik di dunia dan akhirat.

Mohd Hisham Mohd Sharif

Bila-Bila Masa...

"Akh Zulhelmie Pahang kemalangan, adiknya meninggal dunia dan seorang lagi masih koma, sedang dia dan maknya cedera parah"

Itu berita yang mengejutkan aku hari ini sebaik saja aku membuka e-mail hari ini, tika mana sahabat-sahabat Pembina masih lagi dibuai kemanisan kejayaan seminar KBAZ, tidak langsung tersangka bahawa kami akan dikejutkan dengan berita kemalangan seorang akh yang begitu dasyat.

Moga-moga Allah menggantikan kehilangannya dengan ganjaran yang lebih baik, dan menetapkan untuknya kesabaran dan kebaikan di dunia dan di akhirat.

"Abang, tadi Annur kemalangan, kena langgar motor masa turun bas", Annur adalah anak jiran kami, transit di tadika isteri ku, berita kemalangannya benar-benar mengejutkan, walaupun hanya mengalami luka-luka di kepala dan terseliuh bahu, namun berita kemalangan itu benar-benar menginsafkan.

Tua atau muda bukan ukuran untuk kita ditimpa sebarang musibah atau ditarik nikmat kesihatan. Ia boleh datang bila-bila masa,tidak kira masa, tidak kira dimana. Musibah itu tidak mengenal usia.

Bersegeralah untuk berbuat kebaikan, kerana kita tidak akan pasti bilakah masanya giliran kita....

Siri 8 : Masjid Quba Asasnya Taqwa



“Janganlah kamu bersembahyang dalam mesjid itu selama-lamanya. Sesungguhnya mesjid yang didirikan atas dasar takwa (mesjid Quba), sejak hari pertama adalah lebih patut kamu bersembahyang di dalamnya. Di dalamnya ada orang-orang yang ingin membersihkan diri. Dan Allah menyukai orang-orang yang bersih.”

Quba’ mencatat nama yang harum didalam lipatan sejarah apabila mekar namanya disebut didalam al Quran sebagai masjid pertama yang didirikan diatas asas taqwa. Barangsiapa yang berwudhu dan kemudian bersolat di masjid Quba, maka akan dicatatkan pahala menunaikan umrah baginya, itulah kehebatan masjid Quba, masjid pertama yang didirikan oleh Rasulullah ketika peristiwa hijrah.

Masjid Quba, seharum namanya di dalam Quran, tidak putus-putus dengan kunjungan umat muslimin dari serata pelusuk dunia yang ingin bersolat didalamnya. Pagi itu, aku merasa cukup bertuah kerana diberikan kesempatan untuk solat di dalam masjid Quba yang dimuliakan namanya didalam Al Quran.

Kehebatan sesebuah masjid itu bukanlah terletak pada cantik dan indah binaannya, ataupun kehebatan dan kemerduan suara muazzin dan imamnya atau banyaknya dana, tapi kehebatan sesebuah masjid itu adalah pada asasnya dan orang-orang yang beribadah didalamnya.

Hari ini kita lihat banyak masjid yang cukup indah binaannya, tapi sepi dan sunyi dari kunjungan manusia, seharusnya setiap masjid yang ingin didirikan perlulah diasaskan diatas asas taqwa dan iman, kerana masjid yang dibina bukan diatas asas ini akan kosong dari rahmat Allah.

Siri 7 : Malam Pertama



Malam pertama ku di Madinah amat mengujakan, ibarat malam pertama di alam perkahwinan. Setelah berpeluang menziarah Rasul di pagi harinya, bertamu di Raudhah dan berziarah ke Baqi pada petangnya, malam itu malam yang luarbiasa, luarbiasa suasananya, masjid dipenuhi dengan manusia yang berbondong-bondong untuk mendekatkan hati kepada tuhannya.

Aku duduk di suatu sudut berhampiran Raudhah, terbayang para sahabat yang mulia sedang sibuk dengan zikir dan tahmid sementara menunggu waktu solat. Terbayang kelibat saidina Abu Bakar, Saidina Umar, Saidina Uthman dan seluruh sahabat yang utama di saf pertama, oh alangkah mulianya mereka

“Allahuakbar, Allahuakbar…..” Azan maghrib mengejutkan aku dari lamunan, terasa begitu merdu suara muazzin melaungkan azan, seolah Saidina Bilal sedang khusyuk melaungkan kalimah kebesaran mengajak manusia kearah kejayaan.
Solat Maghrib dan Isya pertamaku di Madinah cukup indah, walau dihimpit keletihan dek perjalanan yang panjang dan melelahkan tapi kemuliaan masjid nabi dan penghuni-penghuninya mengubat kelelahan, memberiku kekuatan.

Malam itu, aku tertidur dalam senyuman dan hatiku berbunga-bunga, kerana disempatkan aku ke sini, setiap kali teringatkan suasana itu, pasti hati ini akan menangis, mengenangkan betapa hebatnya nabi, mengenangkan betapa mulianya sahabat dan betapa kerdilnya aku.

Kekalutan Politik yang Memualkan

Tarbaru, Mahkamah rayuan memihak kembali kepada Dr. Zambry dan menangguhkan keputusan mahkamah tinggi semalam yang memihak kepada Dato Seri Nizar.

Krisis yang entah bila akan berkesudahan ini akan hanya menyusahkan dan memeningkan malah memualkan rakyat negeri Perak yang sudah bosan dengan segala sandiwara, drama dan badai politik yang menonjolkan sisi hodoh dari pelakon-pelakonnya.

Dengan krisis sosial, ekonomi malah krisis kesihatan yang makin meruncing dewasa ini, kelompok-kelompok tidak tahu malu ini masih gila berebut jawatan dan kuasa dari memikirkan nasib rakyat yang makin lama makin tersepit dan terhimpit.

Walau apa jua keputusan mahkamah, walau kepada siapa ia memihak, yang kalah tetap penjawat awam dan rakyat-rakyat Perak.

Begitulah hodohnya politik apabila tidak didasarkan atas dasar islam dan hanya berlandaskan kepada kegilaan kepada pangkat dan kuasa. Bertaqwalah kepada Allah wahai sekalian manusia.