“Alhamdulillah, bersyukur kerana kita di sini mampu berpuasa dengan tenang, dapat Solat Terawih dengan aman dan mengamalkan agama kita sepuas-puasnya. Atas nikmat ini, marilah kita bersyukur dan menambahkan lagi kualiti amal ibadah kita di bulan yang mulia ini.” Imam Salam memulakan sesi tazkirah selepas tamat lapan rakaat solat Terawih di Masjid Wandana.
Memang menjadi kelaziman di masjid ini, Imam Salam akan memberikan
sedikit pengisian selepas tamat lapan rakaat. Banyak topik dan isu yang
diulas dalam sesi yang berlangsung dalam lebih kurang dua puluh minit.
Biasanya, saya mengambil
kesempatan ini untuk berehat seketika dengan bersandar di tiang belakang masjid.
Mengumpul tenaga untuk dua belas lagi rakaat yang berbaki.
“Namun, dalam limpahan nikmat
yang kita dapat di sini, jangan kita lupa bahawa ada saudara-saudara kita di
seluruh dunia yang sedang dizalimi.” Sambung Imam Salam, saya mendengar dengan
mata yang terkebil-kebil menahan kantuk.
“Kita di sini dapat berpuasa
dengan aman, walaupun kita hidup di negara barat, tapi tahukah kita bahawa
saudara-saudara kita di East Turkistan ditekan dengan begitu hebat di bulan
Ramadhan ini?”
Mata yang mengantuk kembali cerah
bila mendengar Imam Salam bercerita tentang situasi di East Turkistan, negara
asalnya, lebih spesifik, kisah Bangsa Uighur yang dizalimi dan ditindas dengan
begitu hebat oleh pemerintah Cina dari etnik Han hanya kerana mereka beragama
Islam.
East Turkistan atau Xinjiang
adalah bumi warisan Islam yang terjajah hingga sekarang. Selepas penaklukan
Empayar Manchu dan parti komunis Cina, umat Islam di sana menerima tekanan demi
tekanan sejak zaman berzaman. Panjang jika sejarahnya ingin diulas, namun apa
yang berlaku sekarang, secara khusus di bulan Ramadhan 1434 Hijrah ini, amat
menyedihkan dan meruntun jiwa.
Dalam perkongsian semalam, Imam
Salam bercerita dengan penuh emosi tentang kisah Ramadhan di sana. Katanya, pelajar-pelajar
sekolah tidak dibenarkan berpuasa, begitu juga dengan pegawai-pegawai kerajaan.
Bahkan, pihak pentadbiran sekolah dan pejabat akan melakukan apa sahaja bagi
memastikan bahawa mereka tidak berpuasa. Jamuan akan disediakan dan semua akan
diminta (dipaksa) untuk makan. Siapa yang didapati berpuasa akan dikenakan
hukuman yang berat.
Pelajar-pelajar sekolah dan
pegawai-pegawai kerajaan juga tidak dibenarkan untuk ke masjid. Bahkan ada
papan tanda besar di masjid-masjid yang menyatakan larangan kepada beberapa
golongan yang tidak dibenarkan untuk menjejakkan kaki ke dalam rumah Allah. Di
bulan Ramadhan, larangan ini dikuatkuasakan dengan begitu hebat. Mata-mata
gelap akan berada di mana-mana untuk memantau dan siapa yang ‘kantoi’ pasti
akan dikenakan hukuman.
Banyak lagi larangan-larangan dan
peraturan-peraturan yang tidak masuk akal yang dikenakan terhadap penduduk
Muslim di sana. Di universiti dan sekolah, solat tidak dibenarkan, walaupun di
dalam dorm asrama. Ada yang ditangkap dan dipenjarakan kerana alasan-alasan
yang remeh seperti belajar Al Quran. Tidak kurang yang dibunuh dan hilang tanpa
berita.
Saya mendengar dengan penuh kesal
dan rasa sedih. Kisah penindasan terhadap umat Islam mutakhir ini seakan tidak
ada pengakhirannya. Gaza, Tebing Barat, Al Aqsa, Mesir, Tunisia, Syria, Iraq,
Kashmir, Rohingya, Mindanao dan paling dekat dengan kita, Pattani. Umat terus dizalimi
di mana-mana dan badan-badan dunia terus hipokrit dalam menangani isu yang
melibatkan umat Islam.
PBB terus gagal untuk memainkan
peranannya, dan memang begitu sifatnya, kerana antara sejarah penubuhannya sendiri
adalah untuk mengiktiraf negara haram Israel sekaligus menzalimi nasib penduduk
Islam di Palestin. Tidak guna kita terus berharap kerana hanya kekecewaan yang
akan didapati.
Tidak ada jalan lain untuk kita
menyelamatkan maruah umat ini melainkan dengan jihad dan kekuatan. Jihad untuk
melahirkan generasi Muslim yang akan membela nasib ummah seluruhnya. Jihad
untuk melahirkan generasi Muslim yang akan membawa obor cahaya dalam arus
gerhana yang sementara ini. Jihad untuk melahirkan generasi Muslim yang akan
membebaskan manusia dari perhambaan sesama manusia dan membawa manusia keluar
dari kesempitan dunia menuju keluasan akhirat yang kekal abadi.
Semuanya bermula dari diri kita
sendiri.
Hanya Allah sahaja tempat kita
bergantung dan hanya kepada NYA kita memohon pertolongan. Ayuh, kita tembak doa
kita untuk saudara-saudara kita di East Turkistan juga!
Ayuh kita cakna:
Betullah tu.tp dunia terus tulipekakbisu. Pernah kenal seorg muslim dr Turkistan yg berhijrah ke Adelaide. Menangis merintih dia bercerita terkenangkan mcmmana ditindas dlu2..allahurabbi... T.T
ReplyDeleteAl-Turkistani?... Apakehal ada sorg mamat Melayu yg pakai gelaran al-Turkistani tu?... Sekadar selingan ;)...
ReplyDeleteJom doa utk saudara2 kita yg ditindas & berjuang di seluruh dunia dgn selitkan dlm doa di dalam atau selepas solat kita, terutamanya di bulan yg penuh barakah ini...
"Allahummansuuril Islaama wal Muslimiin wal Mujahidin fi Filistiin, wa fi Misr, wa fi Suria, wa fi 'Iraq, wa fi Afghanistaan, wa fi Turkistaan, wa fi Shiishaan, wa fi Burma, wa fi Malizia, wa fi kulli makaan bi rahmatika Yaa ArhamarRaahimiin"
[*Sila baca dgn bahasa/lidah Arab yer, sy xder keyboard Arab nak taip doa ni dalam tulisan Arab]
Salam Ramadhan al-Mubarak
-Dr dari Kelantan, ex-Adelaide ;)-
Salam, ni Duwe ke ni?
DeleteTak apalah nak pakai gelar apa pun, Hisham Al Turkistani ok ke?