SUNNAH DALAM MENYAYANGI KANAK-KANAK


“Ahmad focus Ahmad, focussssss….,” Jenuh saya cuba mengawal anak murid yang seorang ini dan memastikannya fokus dalam bacaan Iqra’.

“Noooo, come and play Batman with me….Iqra’ is boooooooooring…..” balas Ahmad dengan selamba dan kemudian meninggalkan meja belajar dan terus ke sudut mainan sambil melompat-lompat.

Saya menggaru kepala sambil beristighfar. Walaupun telah berusia 7 tahun, tapi telatahnya seperti kanak-kanak berusia 4 atau 5 tahun. Dia bijak, tapi untuk menyuruhnya duduk dan fokus, Subhanallah. Satu cabaran yang agak besar bagi saya.

Jika sebelum ini di rumah, saya hanya berdepan dengan anak-anak perempuan yang walaupun banyak juga akalnya, namun masih mudah dikawal. Tapi, berdepan dengan cabaran mengajar anak-anak lelaki ‘local muslims’ dari bangsa yang berbeza membuatkan saya terpaksa mengubah suai sedikit meter kesabaran dalam mendidik.

Tika saya menyuruhnya membaca Iqra’, diajaknya saya bermain. Tika saya memintanya menghafal, pelbagai alasan diberikan. Tika ingin mengajar wudhu’, bising bajunya basah dan tidak menumpukan perhatian. Kadang-kadang panas juga telinga bila dia mempersoalkan pelbagai perkara dan menolak untuk membaca bila disuruh.

Setelah beberapa minggu mengajar, kesabaran saya teruji sedikit hari ini. Mungkin kerana saya juga penat setelah berhempas pulas berfikir tentang pengajian sepanjang hari. Mujurlah masih mampu menekan butang ‘pause’ dan berfikir dengan rasional. Cuba mencari penyelesaian agar dia mampu fokus semula.

“Ahmad, come here…” panggil saya dengan lembut.

Perlahan-lahan Ahmad datang dengan wajah selamba. Bila dia telah cukup hampir, saya merangkul tubuhnya dan memeluknya erat.

Ahmad tergamam.


Perlahan saya berbisik di telinganya sambil mengusap rambutnya perlahan. “Ahmad, you’re a brilliant boy, now, let’s read Iqra’ together, after we finish this page, we will play together, okay.”

Saya mendukung tubuhnya yang kurus dan meletakkan dia di atas riba. Saya melihat wajahnya dan merenung tepat pada matanya, ternyata dia masih tergamam.

Perlahan-lahan saya menyuruhnya membaca dan Alhamdulillah, dia membaca dengan tenang sehingga habis. Kami kemudian meneruskan aktiviti hafazan diikuti dengan solat dan ternyata, fokus Ahmad selepas dipeluk kemas, amat luar biasa.

Sebelum ini banyak juga saya terbaca kesan positif pelukan ibu bapa terhadap anak-anak dan saya juga sering memeluk anak-anak di rumah sebelum mereka tidur dan sebelum saya keluar bekerja.

Isteri saya juga sering menceritakan bagaimana dia sering memeluk anak-anak yang nakal di tadika untuk menenangkan, namun bagi saya, melakukannya kepada anak orang lain adalah agak asing.

Melihat kesannya sendiri hari ini, saya semakin yakin bahawa pelukan adalah antara hadiah kasih sayang yang mudah, tapi cukup berharga yang boleh diberikan kepada anak-anak (juga kepada pasangan yang sah).

Dalam beberapa kajian barat, dinyatakan bahawa pelukan boleh memberikan kesan tenaga positif dengan mengurangkan tekanan dan meredakan perasaan ketakutan. Pelukan juga boleh meningkatkan keintiman hubungan antara suami isteri dan antara ibu bapa dan anak-anak.

Agama kita juga amat menganjurkannya. Bahkan contoh dari kehidupan Rasulullah dan interaksinya bersama kanak-kanak amat banyak untuk diteladani oleh ibu bapa.

Dalam sebuah hadis sahih riwayat Abu Hurairah dinyatakan bahawa “Sesungguhnya al-Aqra’ bin Habis pernah melihat Nabi memeluk Hasan. Lalu al-Aqra’ berkata: Sesungguhnya aku mempunyai 10 anak, namun aku tidak pernah memeluk seorang pun daripada mereka. “Kemudian Rasulullah bersabda: Sesungguhnya sesiapa yang tidak menyayangi, nescaya dia tidak akan disayangi.”(Hadis Riwayat Bukhari)

Banyak pelajaran yang boleh kita ambil dari hadis di atas. Pertama sekali, kita lihat bagaimana Rasulullah, walaupun dengan martabatnya yang tinggi sebagai Rasul, ketua negara, panglima perang, Imam Masjid dan selaku manusia yang paling betaqwa kepada Allah, namun tetap lemah lembut dan menzahirkan kasih sayangnya kepada anak-anak.

Kemudian lihat bagaimana Rasulullah menzahirkan kasih sayangnya. Baginda tidak segan untuk memeluk anak-anak kecil bahkan baginda menegur sahabat tersebut yang menyatakan bahawa beliau tidak pernah memeluk walau seorang pun dari mereka. Rasulullah juga pernah menegur seorang lelaki Badwi yang menyatakan bahawa beliau tidak mencium anak-anak lelaki.

“Seorang Badwi datang kepada Nabi dan berkata, “Kamu mencium anak-anak lelaki! Kami tidak mencium mereka.” Kemudian baginda berkata, “Aku tidak boleh meletakkan kasih sayang dalam hatimu selepas Allah mengambilnya.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Dalam beberapa hadis lain, kita dapat lihat bahawa Rasulullah pernah mendukung anak kecil ketika solat dan memendekkan solatnya ketika mendengar anak kecil menangis.

Rasulullah juga sering menegur (bertegur mesra, bukan teguran akibat melakukan kesalahan) anak-anak kecil yang sedang bermain di jalanan dan berdoa kepada anak-anak. Pernah satu hari, ketika Rasulullah sedang mendukung Hassan, baginda berdoa “Ya Allah, sesungguhnya aku mencintainya, maka sayangilah dia”. (Riwayat Bukhari)

Masyaallah, betapa penyayang dan prihatinnya Rasulullah terhadap anak-anak kecil.

Sebenarnya, banyak lagi kisah daripada perjalanan hidup Rasulullah sebagai panduan kepada kita untuk menyayangi dan menzahirkan kasih sayang kepada anak-anak melalui tindakan seperti doa, pelukan dan berlemah lembut terhadap mereka.

Sayangilah anak-anak agar nanti kita disayangi. Cintailah anak-anak kecil dan layanilah mereka dengan penuh rasa kasih sayang. Peluk dan doakanlah anak-anak sebagai satu usaha untuk menuruti sunnah Rasulullah dan sebagai salah satu cara untuk kita menunjukkan kasih sayang kepada anak-anak. Jangan malu untuk sering memeluk dan mencium anak-anak kerana mereka adalah antara anugerah Allah paling berharga buat ibu bapa.

Moga Allah memberikan kita petunjuk dalam mendidik anak-anak dan memberikan kita kekuatan untuk membangunkan mereka sebagai pewaris generasi harapan.

InsyaAllah.

2 comments: