“Kalau dah melangkah ke
gelanggang politik, maka bersedialah untuk menerima kutukan dan caci maki,
malah mungkin hingga ke tahap dilondehkan segala keaiban peribadi, inilah sepak
terajang politik Malaysia. Kena tebalkan telinga dan tebalkan muka. Kalau tak
berani, duduk diam-diam dan undi sahaja waktu pilihanraya.”
Tulis seseorang di ruangan komen
dalam ‘thread’ facebook yang saya lupa berkisar tentang apa. Sekali saya
membacanya, cadangan tersebut kelihatan benar dan praktikal, namun setelah saya
berfikir beberapa kali, jelas ada kecelaruan pemikiran yang perlu
diperbetulkan.
Bagi saya, nasihat supaya
bersabar itu memang benar, kerana itulah hakikat semasa politik Malaysia,
namun, membiarkannya terus menerus dalam keadaan begitu adalah satu kezaliman
besar. Uruf (suasana semasa) yang rosak tidak boleh menjadi hujah untuk kita
meninggalkan seruan amar ma’ruf dan nahi munkar dan memperbetulkan mana yang
salah.
Siapa kata politik mesti dengan
musuh memusuhi, mesti dengan kata nista dan caci maki, mesti dengan londeh
melondeh keaiban peribadi, dendam, tuduh menuduh, korupsi tanpa henti dan mesti
dengan fitnah memfitnah?
Tidak kira di alam maya atau alam
nyata, ia amat menyedihkan untuk dilihat, apatah lagi jika ia dilakukan antara
dua kelompok Muslim yang bersaudara.
Kita mesti berusaha untuk
mengubah kebiasaan yang buruk ini. Arus baru politik Malaysia mesti diusahakan
oleh anak-anak muda hari ini. Kita mesti menjadi batu-bata generasi yang
mengasaskan arus baru politik matang, penuh kasih sayang, berakhlaq tinggi,
bersih dan bertanggungjawab.
Kita boleh bermula dengan diri
kita dan rakan-rakan terdekat. Elakkan mencaci ‘musuh’ politik kita di alam
nyata dan alam maya dengan gelaran-gelaran seperti ‘monyet’, ‘bebal’,
‘pencacai’, ‘munafiq’, ‘sesat’ dan apa jua label-label buruk yang boleh merosakkan ukhuwwah.
Biar kita berbeza parti atau
pendirian politik, tapi jangan kita berbeza pada akhlaq. Amalkan nasihat
menasihati dengan cara yang baik. Caci maki dan label melabel bukan budaya
orang-orang yang beriman.
Andai ada isu yang ingin
diketengahkan atau didebatkan, lakukan dengan cara yang paling cantik. Pastikan
setiap hujah datang dari sumber yang sahih dan dibawa dengan akhlaq yang
tinggi. Jika ingin berdebat dan berbeza pendapat, lakukan juga dengan cara yang
bermaruah.
Calon Muslim yang dipilih untuk
menjadi wakil di Parlimen dan DUN mesti dipastikan bersih dari aqidah songsang,
tinggi akhlaq dan jati diri, bebas dari salah guna kuasa dan rasuah, dan lebih
penting, mampu untuk membawa aspirasi kedaulatan Islam dalam undang-undang dan
keadilan sosial di parlimen. Ahli
politik yang korup aqidah, korup dari segi moral, korup dalam
pentadbiran dan pengurusan mesti ditolak.
Kita boleh berperanan dengan
memberi tekanan kepada parti agar hanya calon Muslim yang berwibawa sahaja yang
dipilih untuk menjadi wakil rakyat.
Kepentingan ummah mesti menjadi
tonggak utama mana-mana paksi Muslim yang berpolitik. Islam mesti memimpin dan
menjadi teras perjuangan, bukan dipimpin, dicairkan atau dikosmetikkan untuk
mencapai kekuasaan. Agenda memelihara agama Islam dan membina generasi harapan
mesti diberi perhatian serius oleh mana-mana parti atau individu Muslim yang
bertanding.
Inilah arus baru yang mesti kita
bawa. Biarpun lambat, biar apa orang kata, biarpun sukar, biarpun nampak
terlalu ideal, kita mesti berusaha.
Moga Allah menunjukkan
jalan-jalannya.
InsyaAllah.
No comments:
Post a Comment