Brother Muhammad, Khadijah dan Gula-Gula


Ingat lagi tak kisah ‘Brother’ Muhammad dan gula-gula yang pernah saya ceritakan dulu? Hari ini saya berjumpa lagi dengan beliau, seperti biasa, wajahnya tenang, bercahaya dan tidak lekang dari senyuman. 

Memang benar-benar wajah orang yang soleh.

Dr Zaki pernah menceritakan kepada saya bahawa Brother Muhammad ini khatam Al Quran setiap tiga hari dan kalau tidak silap saya, beliau tidak pernah meninggalkan solat berjemaah di masjid kecuali ketika sakit teruk.

Kali ini saya berjumpa dengannya di City Mosque selepas selesai Solat Maghrib, ketika itu, Khadijah ada bersama. Melihat Khadijah yang sedang muncung (selepas terjatuh di tempat wudhu’), terus dia menghampiri dan meghulurkan gula-gula. Ketika poketnya diseluk, bunyi bungkusan gula-gula yang amat banyak dalam koceknya. 

Dia menghulurkan gula-gula, mengucup tangan Khadijah dan tersenyum manis. Khadijah juga kelihatan amat senang dengannya. Seorang anak kecil yang ada di sebelah saya juga menerima gula-gula darinya.

Keluar dari pintu masjid, dia memanggil dan meminta untuk saya dan Khadijah untuk menurutinya. Tanpa banyak soal, saya menuruti hingga ke skuter miliknya. Dia membuka but skuter yang agak dhaif dan kemudian mencapai sebuah kereta mainan dan kemudian kereta mainan itu dihulurkan kepada Khadijah.

Khadijah mengambilnya dengan gembira. Muncung akibat jatuh di tempat wudhu’ hilang bersama sebiji gula-gula dan sebuah kereta mainan. Brother Muhammad kemudian berkata,

“When I meet you again, I will give you more….”

Dia kemudian mengucapkan salam dan berlalu pergi. Saya terpana di dalam hati. Rupanya masih wujud manusia begini. Hati terasa amat sejuk melihat wajah dan akhlaqnya. Mungkin sekuntum senyum yang tidak pernah lekang dari wajah, setiap bungkusan gula-gula dan mainan-mainan yang diberikan kepada setiap anak yang ditemuinya akan menjadi hujah buatnya di hadapan Allah nanti.

Pulang dari masjid, tidak berhenti Khadijah bercerita kepada kakaknya tentang mainan dan gula-gula yang didapatinya. Gembira sungguh nampaknya dia. 

Saya kagum dengan akhlaq yang dimiliki Brother Muhammad. Beliau tidak banyak bicaranya, tapi amalnya istiqamah, membuat orang muda seperti saya terasa malu. Nilainya mungkin kelihatan kecil di sisi manusia yang menyumbang wang berjuta-juta, tapi nilaian langit pada gula-gula yang diberi mungkin jauh lebih besar dari segala amal yang pernah kita lakukan.

Brother ‘Muhammad’, terima kasih atas tazkirah akhlaq yang diberikan. Saya berdoa, agar Allah mengampunkan segala dosanya dan memasukkannya ke dalam syurga.

Insya Allah.

No comments:

Post a Comment