Apa yang cuba dibawa oleh ISMA
dalam seruan politik yang dijenamakan sebagai Arus Baru?
Saya pasti ramai yang
tertanya-tanya, ramai juga yang kelihatan skeptik, tidak kurang juga yang
sedang berusaha untuk memahami, Alhamdulillah.
Ada yang menyebut bahawa calon-calon
ISMA melalui BERJASA hanya akan memecah undi, ada juga yang menyatakan bahawa
ISMA cenderung kepada parti pemerintah dan bakal diperkudakan UMNO dan Barisan
Nasional.
Ada juga yang menyatakan bahawa
kehadiran ISMA tidak relevan dan akan diberi kaffarah oleh Allah melalui wang
deposit pertandingan yang hangus.
Subhanallah, apa yang berada di
dalam fikiran manusia memang bukan di bawah kawalan kita. Nasihat saya kepada
ahli-ahli ISMA, terutamanya adik-adik yang masih baru, belajarlah untuk menerima
kritikan, pedas atau pahit, ia adalah asam garam dalam perjuangan.
Kita pun bukannya sempurna. Masih
banyak yang perlu diperbaiki. Jadi kita harus mendengar untuk banyak belajar.
Kritikan yang baik kita jadikan teladan, kritikan yang buruk dan penuh emosi,
kita bersabar dan jika ia melibatkan fitnah dan cercaan, jawablah dengan hujah
yang baik dan selebihnya, kita serahkan kepada Allah. Apa yang penting, jadikan
akhlaq sebagai asas dalam perjuangan.
Walau apa jua yang dikata manusia
tidak kira di alam nyata atau di alam maya, bersabarlah, kerana pada kesabaran
kita Insya Allah akan ada ganjaran yang amat besar di sisi Allah.
Baiklah, saya kembali kepada
seruan Arus Baru. Seboleh mungkin saya akan cuba untuk menjelaskan dengan
bahasa yang paling mudah. Jika ada yang boleh kita bincangkan, Insya Allah,
kita bincangkan dengan baik di ruangan komen.
Cuma saya mungkin tidak boleh
membalas dengan pantas kerana saya punya komitmen lain yang menuntut masa yang
tidak kurang banyak. Janganlah desak saya untuk menjawab segera ya.
Harus diingat, saya sendiri pun
tidak setuju sepenuhnya dengan semua yang datang dari Arus Baru, jauh sekali
dari taksub dan mempertahankan apa yang salah. Ada juga artikel dan pandangan
kepimpinan yang membuatkan saya kurang senang. Banyak yang saya yakin, boleh
diperbaiki dari masa ke semasa.
Saya juga bukan suara rasmi yang
mewakili pandangan rasmi Arus Baru. Ini adalah coretan saya sebagai ahli ISMA yang
memerhati dari jauh perkembangan-perkembangan yang berlaku di Malaysia.
Begini, apa yang saya nampak,
Arus Baru, cuba untuk membawa cara baru dalam berpolitik, secara khusus kepada
bangsa Melayu Muslim di Malaysia dan kepada kaum Muslimin yang lain di Malaysia
amnya.
Cara baru yang dimaksudkan adalah
politik berakhlaq, bebas dari cerca mencerca, fitnah memfitnah, aib mengaib dan
londeh melondeh. Kita ubah kebiasaan dalam berpolitik sebelum ini kepada cara
baru yang lebih mengutamakan kasih sayang, perdamaian dan kesepakatan sesama
Muslim, walaupun dari parti yang berbeza. Kita mesti berusaha untuk berubah ke
arah ini, walaupun jalannya sukar.
Hakikatnya, kita adalah satu
ummah, walaupun dengan warna politik dan NGO yang berbeza. Kasih sayang dan
kecintaan kita kepada sesama Muslim mesti lebih tinggi dan lebih jauh mengatasi
keintiman kita kepada golongan Musyrik.
Saya sangat ralat melihat saudara
seislam dicerca dan ditohmah secukup rasa, tapi pada masa yang sama mampu untuk
bersangka baik dan berbaik-baik dengan non-muslim dalam pakatan atau barisan
yang sama.
Bukan bermakna kita harus
memusuhi non Muslim di Malaysia, tidak, jangan salah sangka, tapi seperti yang
saya sebut di atas, ukhuwwah aqidah mesti merentasi batas politik kepartian.
Namun, seruan Arus Baru tidak
terhenti setakat itu. Arus Baru ingin mengajak agar umat Melayu Islam membuka
mata terhadap ancaman-ancaman yang jauh lebih besar dari menolak kezaliman UMNO
dan Barisan Nasional atau kerja-kerja sekadar untuk memenangkan Pakatan Rakyat.
Tidak dinafikan bahawa terdapat
budaya rasuah, kelemahan dalam tadbir urus, dan pelbagai lagi masalah yang
membarah dalam pentadbiran kerajaan pusat sedia ada. Pada masa yang sama hutang
negara meningkat dengan banyak, isu saham FELDA, begitu juga dengan masalah hedonisme
melampau yang dipromosikan dengan begitu giat.
Banyak lagi keburukan jika kita
ingin senaraikan satu persatu. Saya tidak katakan ianya sebagai normal, atau
perlu dibiarkan, ini juga adalah kemungkaran yang wajib dibanteras.
Tapi ISMA ingin umat Melayu Islam
secara khusus dan umat Islam dari bangsa lain amnya sedar bahawa selain dari
kebobrokan UMNO dan Barisan Nasional, di sana ada ancaman yang kurang diberi
perhatian mutakhir ini iaitulah Kristianisasi, liberalisasi dan pluralisasi
agama yang memusnahkan kemuliaan Islam dan kehormatan institusi Islam, pengaruh
Syi’ah yang kian menular, desakan-desakan kesamarataan yang tidak wajar dari parti dan pertubuhan bangsa lain dalam bidang
ekonomi, pendidikan (baca: tuntutan Dong Zong dalam pendidikan dan persijilan
UEC), pemerintahan (baca: lantikan bangsa Cina Non Muslim sebagai DPM) dan
pelbagai lagi.
Insya Allah, saya akan huraikan
ancaman ini dengan lebih lanjut beserta rujukan yang lebih ilmiah jika
berkesempatan. Saya telah mengumpul dan sedang mengumpul beberapa kertas kerja
akademik yang membincangkan tentang perkara ini.
Jadi di manakah jalan keluarnya?
ISMA menawarkan satu slogan
praktikal untuk pilihanraya yang mudah difahami dan bebas dari seruan sempit
politik kepartian, iaitulah UNDI CALON MUSLIM BERWIBAWA.
Apa maksud UNDI CALON MUSLIM
BERWIBAWA?
Mudah sahaja, seruan ini adalah
seruan kepada semua pengundi Muslim agar meneliti peribadi calon dari sudut
Aqidah, sahsiah, sifat amanah, keteguhan jati diri dan kekuatan kepimpinan.
Undi mesti dibuat dengan penuh tanggungjawab, bukan hanya kerana seseorang
calon itu datang dari parti-parti tertentu sahaja.
Calon Muslim berwibawa mungkin
berada di dalam PAS, mungkin juga berada di dalam UMNO, mungkin juga dari PKR,
BERJASA atau calon-calon ISMA yang bertanding melalui tiket BERJASA.
Jika pertandingan antara UMNO dan
PAS, atau UMNO dan PKR yang melibatkan kedua-dua calon Muslim, seruan Arus Baru
adalah pilihlah calon Muslim yang lebih berwibawa. Bersih aqidahnya dari
syirik, bersih dari kecenderungan kepada Syi’ah, bebas dari fahaman liberal
yang mengelirukan, teguh sahsiahnya dengan sentiasa solat berjemaah di masjid
kawasan, menjaga adab pertuturan dan kesantunan, jujur dan amanah dalam urusan
harta dan bijak dalam memimpin dan mewakili rakyat di kawasannya.
Di kawasan yang melibatkan calon
melayu antara UMNO dan PAS secara khusus, ISMA tidak akan bertanding di kawasan
ini.
Di kawasan majoriti Muslim, di
mana terdapat dua calon Non Muslim yang bertanding, seruan Arus Baru adalah
untuk menyatukan undi Muslim bagi mengundi calon Muslim yang bertanding. Insya
Allah, ditempat di mana ISMA bertanding, akan dipastikan bahawa calon yang
bertanding adalah calon Muslim yang berwibawa.
Di antara Muslim berwibawa dan
non Muslim yang bertanding, pilihlah calon Muslim yang berwibawa.
Dengan mengundi calon muslim yang
berwibawa, kita berharap agar suara Islam di Parlimen akan lebih kuat merentasi
batas parti politik. Kita berharap, mereka yang memegang jawatan-jawatan utama
dalam kerajaan adalah dari kalangan calon Muslim berwibawa yang terpilih, teguh
dalam mempertahankan ISLAM dari ancaman, mampu untuk melaksanakan amanah dan
sentiasa meletakkan ISLAM sebagai asas pertimbangan sekaligus mampu untuk
menjunjung ISLAM sebagai cara hidup dan jalan pemerintahan yang paling tinggi
di Malaysia.
Saya percaya, inilah intipati harapan Arus Baru dan inilah apa
yang diharapkan daripada seruan UNDI CALON MUSLIM BERWIBAWA!
Malangnya....ramai ahli Isma tidak mendaftar sebagai pengundi pilihanraya dengan SPRM!
ReplyDeleteYeke?
Delete