“Tidak
ada paksaan dalam agama (Islam); sesungguhnya telah jelas jalan yang benar
daripada jalan yang sesat. Karena itu barang siapa yang ingkar kepada Thaghut
dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada buhul
tali yang amat kuat yang tidak akan putus. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha
Mengetahui.”
Menurut pendapat ulama tafsir yang
muktabar seperti Ibnu Kathir dan Imam Thabari, ayat ini bermaksud tidak boleh memaksa
manusia untuk memeluk agama Islam setelah seruan dakwah sampai padanya.
Ia sama sekali tidak bermaksud
bahawa seorang Muslim boleh keluar masuk dalam mana-mana agama secara bebas,
kerana keluar dari Islam setelah memeluknya adalah satu dosa yang amat besar di
sisi Allah.
Menurut para ulama tafsir juga, ayat
ini juga secara keseluruhannya adalah penegasan tentang kebenaran Islam
berbanding agama-agama lain. Ayat ini juga adalah ayat yang menjelaskan tentang
kemuliaan Islam berbanding agama-agama lain dan satu panduan agar setiap Muslim
merasa mulia dengan agamanya sahaja.
Ayat ini tidak sekadar berbicara
tentang tiada paksaan untuk memilih agama, tapi yang lebih utama, ayat ini
berbicara tentang kemuliaan dan kedudukan Islam sebagai satu-satunya agama yang
benar. Ayat ini tidak sama sekali menyatakan bahawa Islam sama dengan
agama-agama lain.
Setiap individu Muslim mesti memahami
dan merasai di dalam jiwanya dengan penuh mulia bahawa Islam adalah
satu-satunya agama yang diiktiraf di sisi Allah dan setiap Muslim sama sekali
tidak boleh redha kepada kepercayaan-kepercayaan lain selain daripada Islam.
Ayat ini dan banyak lagi ayat
lain adalah hujahnya. Sebagai contoh:
“Agama yang diredhai oleh Allah adalah Islam” (Al
Imran: 19)
Allah Ta’ala juga
berfirman,
“Barangsiapa mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali
tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk
orang-orang yang merugi” (Al Imran: 85)
Adapun hubungan yang baik dan
muamalah dengan penganut agama yang berbeza, itu adalah perkara lain. Jangan campur
adukkannya di dalam satu mangkuk.
Menggunakan ayat ini sebagai hujah
untuk menyatakan bahawa semua agama adalah benar dan Muslim bebas untuk keluar
masuk dalam mana-mana agama adalah satu penyimpangan kefahaman yang amat dahsyat!
Dalam konteks Malaysia, di mana
bangsa Melayu ditakrifkan sebagai mereka yang beragama Islam dan bertutur dalam
bahasa Melayu, ayat ini atau mana-mana ayat di dalam Al Quran sama sekali tidak
wajar digunakan sebagai hujah bahawa bangsa Melayu di Malaysia bebas untuk memilih
agama lain sebagai anutan setelah dididik dan dibesarkan sebagai seorang Muslim oleh ibu bapanya,
dengan kata lain memilih untuk MURTAD.
Kita mesti lebih cermat untuk
melihat perkara ini sesuai dengan konteksnya. Jangan arus globalisasi dan
perbandingan dengan negara-negara maju yang lain menjadikan pandangan kita
kabur dan menjadikan kita naïf terhadap realiti umat Islam di negara kita.
Lebih malang bila kebebasan
beragama dan kesempatan luas untuk menyampaikan dakwah Islam di negara-negara
maju dijadikan hujah untuk mewajarkan dakyah dan kesesatan agama lain disebarkan
dengan seluas-luasnya di negara kita sendiri tanpa melihat kepada realiti dan
suasana semasa umat Islam di Malaysia.
Iman kita mungkin cukup kuat
untuk dijadikan perisai, tapi lihatlah realiti kefahaman agama kebanyakan anak
muda hari ini. Apakah yang menjamin generasi X dan Y tidak akan goyah aqidahnya
bila pintu kebebasan menyampaikan agama atas nama keadilan dan kesaksamaan
dibuka seluas-luasnya?
20 tahun akan datang, kita
tentunya tidak mahu anak-anak yang kita besarkan sebagai seorang Muslim datang
dan menyatakan pada kita akan kebebasan haknya untuk memilih mana-mana agama
atas dasar perundangan negara yang mengizinkannya!
Lebih pedih bila dibelakangnya
ada barisan peguam dan sistem kehakiman yang siap berbaris untuk melindungi ‘haknya’.
Pendidikan adalah perkara lain,
polisi dan undang-undang adalah perkara yang berbeza. Umat Islam tanpa mengira warna parti dan blok politik mesti sepakat untuk memelihara perkara ini (kebebasan memilih agama untuk bangsa melayu dan pembukaan pintu-pintu untuk menyebarkan agama selain dari Islam) dan menyatakan penolakan yang tegas pada sesiapa sahaja yang memperjuang dan menyokongnya.
Jangan bila telah terhantuk, baru
terhegeh-hegeh hendak terngadah.
Moga Allah memelihara iman kita
semua.
Dari seorang ayah yang bimbang.
sangat membimbangkan..
ReplyDelete