Nanti Allah Nampak


Masuk hari ke 5 Ramadhan.

Humaira’ sedang melalui saat-saat mencabar untuk cuba berpuasa penuh buat pertama kalinya Ramadhan tahun ini.

“Bila nak berbuka ayah? Lambat lagi ke?” Humaira’ bertanya buat kali yang entah ke berapa. 

Soalan yang sama yang ditanyanya sejak jam 10 pagi.

“Ada 2 jam lagi.” Saya menjawab ringkas. hilang punca untuk memujuk dan kata-kata yang positif.

Jam menunjukkan pukul 3 petang, di Australia, waktu berbuka pada musim sejuk begini adalah sekitar jam 5.30 petang. Cukup melegakan berbanding rakan-rakan di hemisfera utara seperti di Scotland dan Ireland yang berpuasa pada musim panas dan khabarnya mereka berpuasa sekitar 18 ke 20 jam sehari.

Saya berfikir seketika, memikirkan kaedah lain untuk memujuknya agar bersabar.

“Ayah, ibu letihlah, ibu nak masuk bilik sebentar untuk berehat ye.” Laung isteri saya dari dapur. Memang sejak pagi dia tidak berhenti mengemas dan membersihkan rumah. Dengan keadaannya yang berbadan dua, mungkin keletihannya berganda-ganda.

Saya melihat Humaira’ yang sedang merengek-rengek sejak tadi. Laungan isteri saya tadi mencetuskan sedikit idea.

“Ibu dah masuk bilik untuk berehat Humaira’. Apa kata kita berbuka sekarang.” Saya mencadangkan kepada Humaira’ yang sedang merengek.

Rengekannya berhenti seketika. Mungkin tergamam dengan cadangan saya yang agak luarbiasa.

“Tak mengapa, ayah tak akan beritahu ibu yang Humaira’ minum dan makan sedikit. Kita buat senyap-senyap sahajalah.” Saya memprovokasi lagi. Lebih ekstrem.

Humaira’ merenung wajah saya kehairanan dan kemudian berkata sambil mencekak pinggang.

“Tak boleh, kan Humaira’ puasa.”

Alhamdulillah, taktik hampir menjadi.

“Alaa, tak mengapa, tiada siapa pun yang akan nampak dan tahu. Ayah tak akan beritahu ibu pun.” Saya memprovokasi lagi, kali ini dengan justifikasi. ingin menguji sejauh mana sifat ihsan yang ada pada dirinya.

Tapi nanti Allah nampak macamana?” Humaira’ menjawab tegas. Jawapannya mengingatkan saya kepada dialog yang berlaku antara seorang ibu dan anaknya pada zaman Saidina Umar.

Ketegasan dan sifat amanah wanita tersebut dalam berniaga telah menarik minat Saidina Umar untuk menjadikannya menantu dan akhirnya dari zuriat wanita solehah itu, lahir mujaddid Islam yang terkenal sepanjang zaman. Itulah Umar Bin Abdul Aziz.

Alhamdulillah. Moga sifat amanah dengan ibadah akan terus kekal dalam dirinya hingga ke penghujung hayatnya.

Tips Pendidikan Anak-Anak:

Mendidik anak-anak dengan sifat ihsan, cukup penting untuk melahirkan anak-anak yang sentiasa amanah dengan ibadah iaitu merasai bahawa diri mereka sentiasa dibawah pemerhatian Allah ketika beribadah.

Bulan Ramadhan dan latihan berpuasa adalah medan terbaik untuk melahirkan sifat ihsan ini kerana puasa adalah ibadah yang hanya diketahui oleh Allah akan perlaksanaannya oleh setiap individu. Jangan lepaskan peluang dalam bulan Ramadhan untuk mendidik anak-anak dengan sifat ihsan dan taqwa kepada Allah.

3 comments:

  1. Mat.. hang hebat bila menulis cerita-cerita begini... ur msg deliverd so well... in IT.. hmmm hehehe

    ReplyDelete
  2. Macam mana Hisham didik anak hingga dia boleh berfikir cam tu

    ReplyDelete
  3. salam,
    biasa-biasa je, banyak juga kelemahan di sana sini, cuma apa yang penting, sejak awal anak-anak kita dan boleh mula mengenal benda, kenalkan mereka kepada konsep tauhid dan kebersamaan bersama dengan Allah. Dain ia perlu berlaku berterusan. Boleh baca beberapa kaedah yang saya dan isteri coretkan dalam buku begini sayang terbitan Galeri Ilmu.

    ReplyDelete