Rahsia Tarikh Mati


“Ayah, hari Kiamat bila?” Tanya Humaira’ pada suatu petang selepas kami berdua pulang dari membeli belah barang keperluan rumah dari K-Mart di Firle Plaza.

Entah apa yang bermain difikirannya hingga tiba-tiba dia bertanya soalan sebegitu.

“Ayah tak tahu sayang, bahkan tiada siapa yang tahu, Rasulullah pun tak tahu, tarikh hari Kiamat hanya diketahui oleh Allah sahaja. Tidak ada yang lain yang mengetahuinya kecuali Allah sahaja.” Jelas saya berdasarkan kepada makna dari sebuah hadis.

Dalam sebuah hadis sahih yang saya baca dari kitab hadis 40 susunan Imam Nawawi, diriwayatkan bahawa Jibril pernah datang berjumpa dengan Nabi dan bertanya tentang tarikh hari kiamat. Lalu jawab Rasulullah.

“Tidaklah yang bertanya lebih tahu dari yang ditanya.”

Bermaksud, keduanya iaitu Rasulullah dan malaikat Jibril penghulu segala malaikat pun tidak mengetahui akan tarikh kedatangan hari agung tersebut.

“Kenapa ayah? Kenapa Rasulullah tak tahu? Kenapa Allah tak beritahu dia?” Tanya Humaira’ lagi membuatkan saya berdehem-dehem beberapa kali mencari idea untuk menjawab.

“Humaira’, ada perkara-perkara yang memang Allah sengaja tidak beritahu untuk menguji kita.” Saya menjelaskan dengan perlahan-lahan.

“Sebagai contoh, semua manusia akan mati, tapi tiada siapa pun yang tahu bila tarikh dia akan mati.” Saya memberi contoh yang lebih dekat dan relevan dengannya berbanding mengisahkan tentang rahsia tarikh hari kiamat, kerana ia satu misteri besar yang hanya diketahui oleh pencipta alam ini.

Dengan kemajuan teknologi, para Doktor boleh menduga bila tarikh seorang bayi itu akan dilahirkan berdasarkan kepada gambaran-gambaran tertentu melalui teknologi ultrasound yang canggih, tapi secanggih mana teknologi manusia, tidak akan ada yang mampu meneka atau menunda tarikh kematian walau seorang manusia sekalipun di atas muka bumi ini.

Betapa lemahnya kita sebagai hamba Allah yang maha perkasa urusannya atas segala sesuatu.

“Kematian ini, Allah rahsiakan dari kita supaya kita boleh buat banyak amal kebaikan sepanjang hidup sampai kita mati, bukan bila kita tahu yang kita hampir mati.” Saya menyambung penjelasan.

“Allah nak supaya kita semua bersedia untuk mati pada bila-bila masa sahaja.”

Menjelaskan perkara ini, berdebar-debar juga hati saya dibuatnya kerana teringat akan tarikh kematian sendiri yang tidak akan dicepatkan atau dilambatkan walau sesaat bila telah tiba masanya.

Tua, muda, miskin atau kaya, terkenal atau tidak terkenal, berjawatan penting atau tidak penting, bila tiba masa ajal menjemput, maka kita semua pasti akan pergi.

“Sebab itu, kita kena buat baik sepanjang masa sayang, supaya bila kita mati, kita akan mati dalam keadaan kita berbuat kebaikan.”

Sesekali berbicara tentang perkara sebegini, membuatkan diri terasa begitu hampir dengan kematian. Rasa gerun kerana sememangnya diri ini belum cukup bersedia untuk menghadapinya. Benarlah sabda Rasulullah bahawa mereka yang paling bijak adalah mereka yang banyak mengingat mati.

Orang yang sentiasa ingat kepada hari kematian akan sentiasa menghisab setiap amalan dirinya dan cuba menjadikan setiap pekerjaannya sebagai yang terbaik kerana baginya hari esok mungkin tiada lagi dan akan ada perhitungan besar yang bakal menanti.

Tapi orang yang jauh dari ingatan kepada kuburan, biasanya mereka ini akan hidup bagai tiada hari esok, menikmati kehidupan bagai binatang yang tiada tanggungjawab. Hidup hanya untuk memenuhkan tembolok sendiri tanpa pernah runsing akan destinasi pasti bernama mati.

“Sebenarnya Humaira’, kita tak perlu tahu tentang bilakah akan tibanya hari kiamat atau bilakah kita akan mati, tapi apa yang kita perlu tahu ialah apa yang kita sediakan untuk menghadapi keduanya.” Saya menjelaskan lagi dengan bahasa yang agak tinggi, juga sebagai peringatan kepada diri ini yang sering lalai dalam menghadapi kehidupan.

Ketika kita runsing dengan pelbagai urusan dunia yang tidak akan pernah selesai dan ketika ramai juga para konspirator yang berkira-kira tentang tarikh kiamat bagi bumi dan bilakah Dajjal akan tiba, pernahkah kita runsing dengan persediaan untuk menghadapi kiamat kecil yang akan datang pada bila-bila masa. 

Telah bebaskah kita dari dosa yang bersarang selama ini?, 

Telah banyakkah sedekah jariah yang kita hulurkan? 

Jika yang mempunyai anak, sudahkah anak itu dididik untuk menjadi benteng kepada kita buat menahan dari siksaan yang tidak terperi sakitnya?

Masyaallah, Masyaallah...benarlah ingatan terhadap kematian itu akan menghapuskan segala kelazatan.

“Ya Allah, akhirkanlah kehidupan kami dengan sebaik-baik pengakhiran dan jauhkanlah kami dari siksa kubur yang menyakitkan.”

No comments:

Post a Comment