Sedapnya epal, nak letak gambar anjing kat sini, macam tak best pula, letak ajelah gambar Humaira' gigit epal. |
“Ayah cuba teka, apa yang Humaira’ pegang di sekolah tadi,” isteri saya bertanya saat kami selesai solat Maghrib berjemaah bersama-sama di rumah.
Tidak semena-mena Wajah Humaira’ bertukar merah, sesuai dengan namanya, kepalanya pula ditundukkan dan kakinya dihentakkan sedikit, jika begitulah responnya, pasti ada sesuatu yang tidak kena.
“Humaira’ pegang apa sayang?” saya bertanya, walaupun sebenarnya saya telah dapat mengagak apa yang dipegangnya di sekolah.
Humaira’ diam membisu, badannya dikeraskan di satu sudut di hadapan televisyen, kepalanya masih ditundukkan dengan wajah yang muncung.
“Apa yang Humaira’ pegang tadi di sekolah?” saya bertanya lagi, memujuknya untuk memberitahu sebelum saya mula meneka.
“Beritahulah ayah, bukannya ayah akan marah Humaira’ pun.” Isteri saya menyampuk, setelah melihat Humaira’ mendiamkan diri.
“Humaira’ pegang anjing lah ayah” isteri saya menjawab bagi pihak Humaira’ setelah melihat tidak ada tanda-tanda yang dia akan bercakap.
“Oooo, pegang anjing,” saya mengawal reaksi, walaupun saya tidak setuju dengannya, tapi ia bukanlah satu perkara besar dan saya tidak ingin Humaira’ membina persepsi yang negatif terhadap guru dan sekolahnya kerana peristiwa itu. Ada jalan penyelesaian yang lebih harmoni selain dari marah-marah yang tidak akan menyelesaikan sebarang masalah.
Sebenarnya, saya sendiri tidak mengetahui dari mana datangnya persepsi dalam dirinya bahawa memegang anjing adalah satu kesalahan, cuma sebelum ini kami ada memberitahunya yang sebagai muslim, dia tidak boleh memegang anjing dan babi.
“Mari sini Humaira’,” saya memanggilnya untuk datang ke arah saya yang sedang duduk bersandar di dinding, perlahan dia berjalan ke arah saya sambil menundukkan kepala.
“Tak mengapa, Humaira’ tak sengaja kan” saya memujuknya agar perasaan bersalah tidak ditanggungnya dan di bawa hingga tidur, mencetuskan persepsi negatif yang mungkin akan menyebabkan dia akan bertambah liat untuk ke sekolah keesokan harinya.
“Humaira’ tak nak pegang, tapi cikgu suruh pegang juga.” Dia mula bersuara, perlahan dan dengan penuh nada kesal.
“Humaira’ dukung ke anjing tu?” saya cuba meneka.
“Taklah, Humaira’ usap-usap sahaja.” Dia menerangkan sambil menggayakan tangan bagaimana dia memegang anjing di sekolah siang tadi.
“Sebenarnya, pegang anjing memanglah tak boleh, tapi kalau dah terpegang atau terpaksa pegang kenalah samak lepas tu.” jelas saya, menunjukkan jalan keluar. Islam itu bukanlah agama yang rigid, tetapi ia agama fleksibel yang punya jalan keluar untuk segala masalah dan maslahah manusia.
“Samak tu apa ayah?” tanya Humaira’, wajahnya kembali cerah. Sedikit.
“Samak tu, kita basuh tangan kita dengan air 6 kali, kali yang ke 7 kita basuh dengan air tanah, mesti ibu dah buat dah tadi kan? Itu sahaja, tak ada masalah pun.” Jelas saya lagi, agar gundah dihatinya hilang sama sekali. Dia mengangguk, menepati tekaan saya. Pasti isteri saya tidak akan membiarkan tangan Humaira’ tidak bersamak setelah dia mengetahui Humaira’ memegang anjing.
“Sebenarnya Humaira’, dalam Islam, kita tak dibenarkan bela anjing dan rapat dengannya macam kebanyakan orang di Australia ni, tapi jika kita pegang atau terpegang, bukanlah berdosa, cuma kena samak tangan kita sahaja. Selain dari anjing, binatang yang tak boleh kita pegang adalah babi. Kalau kita pegang babi pun kena samak juga.
“Selain dari anjing dan babi, binatang lain semua kita boleh pegang.” Saya mengingatkan kembali akan binatang yang tidak boleh dipegangnya, cuma kali ini dengan tambahan apa yang perlu dilakukan jika memegangnya.
“Mengapa kita tak boleh pegang anjing dan babi, dan kena samak selepas memegangnya, ada orang kata ianya kotor, ayah pun tak pasti, cuma ayah yakin apa yang Rasulullah ajar pada kita pasti ada kebaikannya kepada kita.” Panjang lebar saya menjelaskan, setiap apa yang diajarkan oleh Rasulullah, walaupun belum dapat dibuktikan secara saintifik pasti ada kebaikannya untuk umat manusia kerana kata-kata Rasulullah bukanlah mengikut hawa nafsunya, tetapi diilhamkan oleh Allah yang mengetahui segala-galanya tentang hakikat penciptaan manusia.
“Humaira’ nak dengar tak kisah seorang lelaki yang Allah ampunkan dosa dia kerana seekor anjing?” saya teringat pada satu kisah dalam hadis sahih, riwayat Muslim yang menceritakan bagaimana seorang lelaki diampunkan dosanya kerana memberi anjing minum. Walaupun riwayat yang saya dengar sebelum ini adalah pelacur, namun seingat saya, riwayat yang saya baca lengkap dengan matannya adalah berkenaan seorang lelaki. Pelacur itu mungkin dalam hadis lain agaknya. Kisah ini saya ingin ceritakan untuk mengubat hatinya yang mungkin masih ada rasa bersalah.
“Nak-nak,” sejak kecil, tawaran untuk mendengar kisah yang saya ceritakan setakat ini tidak pernah ditolaknya. Anak-anak amat suka bila kita bercerita padanya.
“Kisah ini Rasulullah yang cerita tau, jadi dengar betul-betul ye. Begini, pada satu masa, ada seorang lelaki, dia berjalan di padang pasir. Mungkin dia hendak balik ke rumah dia agaknya. Cuaca sangat panas hingga lelaki tu berasa sangat dahaga.” Cerita bermula.
“Kemudian, lelaki itu terjumpa sebuah telaga, lalu dia pun turun dalam telaga untuk minum airnya.”
“Bila dah puas minum dan dahaganya telah hilang, lelaki ini pun naik ke atas untuk sambung perjalanan dia balik ke rumah. Tapi bila dia naik, ada seekor anjing menunggu di tepi telaga, menjelir-jelirkan lidah dia tanda kehausan.” Sambil saya membuat gaya lidah anjing yang sedang terjelir-jelir.
“Lelaki ini pun fikir, “mungkin anjing ini haus agaknya”, lalu dia pun turun semula ke dalam telaga dan mengambil air yang diletakkan ke dalam kasutnya untuk diberinya kepada anjing yang kehausan tadi.
“Kemudian dia naik semula, dan diletakkan kasutnya yang berisi air untuk anjing itu minum.”
“Anjing itu pun minum dengan puas dan dahaganya pun hilang.” Saya menghabiskan cerita, dan kini masuk pula ke bahagian pengajarannya pula. Setiap cerita tidak akan ada makna tanpa diselitkan dengan pengajaran berguna.
“Humaira’ tahu tak, yang Allah sangat suka akan perbuatan lelaki ini, dan kemudian Allah ampunkan dosanya. ” itu adalah pengajaran pertama.
“Humaira’, sebagai seorang muslim, kita kena tunjukkan kasih sayang kita pada semua makhluk yang Allah ciptakan, manusia atau binatang. Termasuklah anjing.” Diikuti dengan pengajaran kedua yang lebih relevan dengan situasi yang sedang dialaminya hari ini.
“Kalau kita buat kebaikan, walaupun terhadap seekor anjing, membantu semut yang sedang lemas di dalam air atau memberi kucing yang kelaparan makan kepala ikan, Insyaallah Allah akan beri kita pahala.” Saya menyambung lagi dengan pengajaran ketiga yang lebih bersifat praktikal, dalam skala amal yang boleh dilakukan oleh kanak-kanak sebesarnya.
“Kalau kita tolong binatang yang sedang haus pun Allah ampunkan dosa lelaki itu, apatah lagi kalau kita bantu sesama manusia, pasti lebih besar dan banyak pahala yang Allah berikan pada kita kan?” saya mengakhiri dengan pengajaran kelima yang lebih penting, iaitu jika dengan binatang pun kita dituntut untuk berbuat baik, apatah lagi sesama manusia. Sungguh Islam ini agama yang sangat indah dan universal.
“Jadi, apa yang Humaira’ faham dan boleh ambil pelajaran dari kisah hari ini?” saya mengujinya, cuba menduga kefahaman.
“Kalau jumpa anjing haus, kena bagi minum.” Dia menyimpulkan dengan lurus, membuatkan saya dan isteri yang turut sama mendengar terasa ingin ketawa.
“Aisey, bukanlah, kena buat baik pada semua manusia dan binatang lah.” Kesimpulan yang dibuatnya tidak salah, tetapi saya membetulkan agar ia lebih sesuai dengan konteks.
“Cuma, kenalah tengok keadaan juga, kalau tengok anjing tu besar atau garang sangat, biarkan ajelah, nanti kalau kita bagi dia minum, digigitnya pula kita macam ni”, lantas saya menggigit tangannya perlahan.
“Ayaaaahhhhh!” Humaira’ menjerit.
“Hahaha, tapi lepas ini kan, Humaira’ kena beritahu Mr. Johnson kalau dia suruh pegang anjing lagi macam ni.”
“Sorry, Mr. Johnson, i love dogs, but i can’t hold it because my father won’t allow me. Maksudnya, ayah tak bagi Humaira’ pegang. Kalau dia tanya kenapa, Humaira’ kata, “I don’t know, you have to ask my father,” boleh macam tu?” cadang saya, dan dia mengangguk perlahan. Nanti saya akan melatihnya lagi.
“Ayah yakin dia pasti faham, dan nanti kalau ayah jumpa dia di sekolah, ayah juga akan beritahu dia dan Miss Tracy. Humaira’ jangan risau, Mr. Johnson tu baik, Insyaallah dia tidak akan marah.” Saya memujuknya lagi, memberinya jalan keluar. Syukur pada Allah, walaupun dengan satu peristiwa kecil di sekolah, banyak tarbiah yang kami sekeluarga dapat darinya. Benarlah kata pepatah, banyak berjalan, luaslah pengalaman.
No comments:
Post a Comment