Rancang, Usaha, Doa, Tawakkal.

saya tewas dalam lumba lari di sekolah Humaira' baru-baru ini, namun sukan akan datang saya akan usaha lagi dan berdoa untuk mendapat kemenangan.



“Anak-anak harus kita ajar mereka untuk berdoa,” saya memulakan bicara ramah mesra setelah selesai makan tengahari. Sesi rehat ketika program seminar dakwah anjuran ISMA Australia itu saya gunakan untuk berbual dan berbincang bersama rakan-rakan yang baru saya kenali. Peluang berjumpa dengan ramai pelajar-pelajar melayu muslim yang hadir dari seluruh Australia amat saya hargai dan lebih menarik, ramai yang usianya dalam lingkungan hujung 20 an dan mempunyai anak kecil yang usianya 3-6 tahun. Banyak yang kami saling bincangkan tentang pendidikan anak-anak.

“Memang benar Sham, saya juga begitu, mengajarkan Umayr untuk berdoa. Walaupun baru berusia 5 tahun, tapi dia sentiasa berdoa, ketika makan juga selepas solat bersama kami. Kadang-kadang dia yang mengingatkan bila kami terlupa.” Aizat menyampuk sebelum sempat saya menghabiskan kenyataan.

“Oh, iye, bagus sangat, Alhamdulillah.” Saya mengiyakan dan memuji atas didikan mulianya.

“Anak saya Afifi, apa jua perkara, saya akan ajarkannya untuk memohon bantuan Allah.” Naim, juga sahabat yang baru saya kenali menambah. Saya mengangguk-anggukkan kepala dan tersenyum. Rakan-rakan yang lain juga kelihatannya turut sama mendengar dengan penuh minat.

“Saya memberitahunya bahawa apa jua yang dipintanya dari Allah, pasti akan di dapatinya,” ujar Naim dengan cukup yakin. Namun, kenyataannya yang ini menyebabkan saya merasa ada sesuatu yang tidak kena. Setiap doa pastinya akan di dengari oleh Allah, tapi belum pasti ia akan dimakbulkan dengan cara yang kita harapkan.

“Hmmm,” saya menarik nafas.

“Naim, rasanya saya tak dapat nak bersetuju dengan ayat yang terakhir tadi.”Naim kelihatan tersentak sedikit dengan kata-kata saya tadi, begitu juga dengan beberapa teman yang sama-sama berada berdekatan.

“Bagus bila Naim mengajarkan anak-anak berdoa, saya amat menyukainya kerana saya juga mengajarkan anak-anak untuk berdoa dalam apa jua keadaan.”

“Cuma, bila kita meletakkan kefahaman bahawa apa jua yang dipohonkan akan dimakbulkan, bayangkan bagaimanakah perasaannya saat ada permohonannya yang tidak dimakbulkan seperti mana yang dia inginkan?”

“Saya rasa kita semua memahaminya, bahawa dengan berdoa, Allah akan memakbulkan doa itu dengan cara yang terbaik untuk kita, bukan dengan cara yang kita rasa adalah terbaik untuk kita. Neraca Allah amat berbeza dengan neraca manusia.”

“Kadang-kadang juga, Allah akan memakbulkan doa kita di akhirat, dan diujinya kita di dunia, benarkan begitu?”

“Iye, benar juga” sampuk Aizat dan Naim bersama-sama.

“Saya rasa, jika kita hendak mengajarkan doa kepada anak-anak, ajar juga kepada mereka akan hakikat kekuasaan Allah dalam urus tadbir manusia. Mereka perlu berdoa, tapi Allah akan mengkabulkan doa mereka tidak dalam cara yang mereka harapkan.” Ihsan mencelah, pengerusi ISMA Melbourne yang berdiam sejak tadi memberikan bicara yang amat bernas.

“Saya bimbang, perasaan mereka akan tercedera, keyakinan mereka akan tergugat dan akan timbul sangkaan yang kurang baik terhadap Allah apabila apa yang mereka doakan tidak dimakbulkan.” Ihsan menambah lagi.
“Bagus apa yang dikatakan tu Ihsan, saya amat setuju. Anak-anak ini jiwanya masih rapuh, ia ibarat span dan pada masa sama boleh juga seperti kaca halus,” saya pula menyampuk tanda menyetujuinya.

“Sebagai contoh, katalah anak kita inginkan mainan, kemudian dia berdoa kepada Allah agar dia mendapat mainan atau apa sahaja yang sangat dikehendakinya. Namun, setelah menunggu dan terus menunggu, mainan yang dipinta tidak juga kunjung tiba. Dia terus berdoa dan berdoa, tapi tidak juga mainan itu dapat dimilikinya. Bagaimana perasaannya nanti, bukankah akan hancur dan akan terhakis nanti harapannya kepada Allah jika kita tidak menjelaskan sebenarnya bagaimana tuhan memakbulkan doa.” Saya memberikan contoh dan menimbulkan persoalan.

“Sebagai mu’min, kita diajar untuk merancang dan melaksanakan dengan sepenuh usaha, yakin dan percaya, kemudian berdoa mengharapkan kejayaan, tapi andai kita tidak berjaya setelah merancang, berusaha keras dan bertawakkal, apakah Allah sedang menzalimi kita?” sekali lagi saya mengakhiri kenyataan dengan persoalan.

“Tidak bukan? Kita semua tahu bahawa samada Allah akan menggantikannya dengan sesuatu yang lebih baik atau ditangguhkannya untuk dibayar dengan balasan yang lebih hakiki di akhirat sana.” Soalan yang saya tinggalkan, saya jawab sendiri dengan hakikat balasan yang lebih kekal di akhirat sana.

Naim dan Aizat tersenyum, sementara yang lain kelihatan mengangguk-angguk.

“Benar Sham apa yang dikatakan, saya akan jelaskan kepadanya kembali nanti. Terima kasih kerana mengingatkan.” Ujar Naim, nada suaranya seperti sedikit bersalah.

“Sunnatullah adalah sunnatullah, siapa yang berusaha Allah akan menjanjikan kepadanya kejayaan, tetapi sentiasalah letakkan diri kita sebagai hamba dibawah urus tadbir yang maha kuasa itu. Sesungguhnya Nabi Musa berusaha keras dan akhirnya Allah memenangkannya saat harapan dalam bentuk usaha logik manusia telah tiada lagi.” Ihsan menambah lagi, bagaikan memberi konklusi kepada sebuah forum.

“Benar Ihsan, menjadi mu’min, kita harus bijak, tangkas dan kuat, bukan tawadhuk dan zuhud yang tidak bertempat. Namun beza kita dengan golongan yang tidak beriman ialah, kita sentiasa yakin bahawa Allah adalah penentu segalanya. Kita berusaha, andai berjaya kita bersyukur, tapi jika gagal kita redha dan terus berusaha memperbaiki kelemahan diri agar mencapai kejayaan pada masa akan datang.” Saya menambah kesimpulan Ihsan tadi.

 “Eh, jom kita masuk dewan, dah nak mula dah.” Saya menamatkan perbualan saat melihat Nizam memanggil kami untuk masuk ke dewan bagi sesi yang seterusnya.

Dalam perjalanan ke dewan, saya teringat pada Humaira’, sejak kecil saya mengajarkannya tentang doa, tapi perbualan hari ini mengingatkan saya bahawa saya perlu mengajarkannya konsep Qada’ dan Qadr iaitu apa yang kita rancang, apa yang kita laksanakan tidak semestinya membuahkan hasil seperti mana yang kita harapkan, kerana ketentuan Allah sentiasa berada di atas segala usaha manusia.

Namun begitu, janji Allah kepada orang-orang yang sentiasa berbuat baik adalah mereka ini akan dibalasi dengan ganjaran syurga yang mahal harganya. Balasan sebenar bagi seorang mu’min adalah di syurga, bukan di dunia.

2 comments:

  1. dari jauh ana nampak kasut belang hijau tu... ;) - org melbourne

    ReplyDelete