Ini baru makan strawberi, kalau aiskrim, 3 kali ganda comot daripada ni. |
“Ayah, nak aiskrim ,” Humaira’ bersuara meminta aiskrim ketika kami lalu di ruangan sejuk beku yang turut memuatkan pelbagai jenis aiskrim di Pasaraya Foodland. Adik Khadijah yang sedang duduk di atas troli pula mula merengek-rengek tatkala melihat aiskrim pelbagai warna dan rasa. Petang itu, hanya saya dan anak-anak yang meronda pasaraya di hadapan rumah kami mencari beberapa barang keperluan dapur.
Namun tidak semuanya boleh dibeli memandangkan kebanyakan aiskrim di sini dihasilkan menggunakan emulsifier E471 dan gelatin yang diperbuat dari sumber haiwan seperti babi atau haiwan yang tidak disembelih menurut cara Islam menyebabkan ianya tidak halal dimakan.
“Sekejap ye ayah tengok aiskrim ini halal atau tidak.” Saya membuka peti ais dan memeriksa kandungan di belakang bungkusan aiskrim dengan teliti. Jika di Malaysia, tanda halal Jakim atau dari mana-mana badan yang diiktiraf membuatkan kami yakin untuk membeli sesuatu makanan, tetapi tidak di Australia, kerana boleh dikatakan hampir tidak ada makanan yang mempunyai logo halal dan ini menyebabkan kami harus memeriksa dengan teliti setiap kandungan bahan makanan untuk mengelakkan bahan yang haram masuk ke dalam tubuh badan.
“Oh, tak boleh lah sayang, aiskrim ni tak halal, kita cuba cari yang lain pula ye,” saya mencadangkan setelah melihat terdapat penggunaan emulsifier 471 pada bungkusan aiskrim yang saya periksa tadi.
Saya kemudiannya mengambil beberapa lagi jenis aiskrim dan memeriksa kandungannya dengan teliti, dan setiap kali itu jugalah Humaira’ akan menanti dengan penuh harap sementara rengekan Khadijah makin menjadi-jadi kerana keinginannya pada aiskrim yang semakin membuak-buak. Saya buat-buat tidak tahu sahaja, ada masanya boleh dilayan, ada masanya, biarkan sahaja.
“Hah, yang ini boleh!, dia gunakan gelatin halal,” saya memberikan berita gembira tika terjumpa satu jenis aiskrim jenama Peters yang menggunakan gelatin halal dan E471 yang berasaskan soya pada kandungannya. Saya lantas mengambil satu bekas sederhana besar untuk sama-sama dinikmati di rumah.
“Yeeeeaaaa, boleh makan aiskrim!” jerit Humaira’ penuh kegembiraan, sementara Khadijah juga telah berhenti merengek tika melihat saya meletakkan aiskrim di dalam troli.
“Humaira’ tahu tak, mengapa kita kena makan yang halal sahaja?” Saya bertanya sambil mengheret troli.
“Tidak pula, ayah tak pernah ceritakan pun,” jawab Humaira’ dengan penuh ceria kerana hajatnya untuk makan aiskrim hari itu tercapai juga. Sejak datang ke sini, inilah kali pertama kami membeli aiskrim, itupun setelah kami jelas bagaimana untuk memeriksa kandungan pada bungkusan makanan bagi membezakan antara yang halal dan yang haram.
“Ayah tak cerita sebab Humaira’ tak pernah tanya, hehehe, tapi tak mengapa, hari ini ayah akan cerita.” Perbualan kami terhenti seketika saat tiba di kaunter pembayaran.
Ketika berjalan pulang, Humaira’ mengingatkan saya akan topik yang saya janjikan tadi.
“Nantilah Humaira’, susahlah nak menerangkan dalam keadaan kita nak melintas jalan ni,” saya memohon penangguhan kerana suasana yang tidak mengizinkan dan agar penjelasan yang diberi nanti lebih berkualiti dan tidak dalam keadaan tergesa-gesa.
“Baiklah ayah!”
*****************
“Eh! Makan perlahan-lahanlah sedap sangat ke aiskrim tu?” Melihat anak-anak makan dengan lahap hingga comot mulut dan baju masing-masing seperti tidak pernah berjumpa dengan aiskrim sebelum ini menyebabkan saya menegur mereka agar memperlahankan kelajuan suapan, agar aiskrim itu tidak habis dengan segera (mahal harga aiskrim di sini) dan supaya mereka makan dengan lebih tertib.
Selesai makan, wajah keduanya kelihatan seperti calon yang baru menang pilihanraya, cukup puas dan gembira dengan nikmat yang baru dijamah.
“Hah! Puas dah?” Saya menyergah manja setelah membasuh mulut kedua-duanya.
“Puas-puas,” Humaira’ menjawab penuh kegembiraan, sementara Khadijah pula telah pun berlari-lari ke ruang tamu mengambil mainan.
“Kalau puas, ucapkan Alhamdulillah,” saya mengajar. Kalimah puji-pujian tidak harus dilupakan saat kita mendapat nikmat, tidak kira kecil atau besar.
“Alhamdulillah,” ucap Humaira’.
“Ingat lagi tak soalan ayah tadi?” Saya terus memulakan bicara untuk mengingatkannya akan topik yang dibicarakan tadi.
“Ingat-ingat, yang pasal halal tu kan ayah?” Jawab Humaira’ dengan yakin.
“Iye, jadi Humaira’ fikir, kenapa kita kena makan yang halal? Kalau kita makan yang tak halal, kita akan jatuh sakit ke?” Saya tidak terus menjawab persoalan tadi, tetapi cuba memprovokasi mindanya agar dia menjadi lebih kritikal.
“Tak tahu, tadi kata ayah nak terangkan, kenapa tanya Humaira’ balik?” Dia memulangkan kembali soalan itu, tiada idea agaknya untuk menjawab. Nampaknya, saya harus terus memulakan penerangan.
“Ok, Ok, ayah terangkan. Begini, dalam Islam, tidak semua makanan kita boleh makan, ada yang halal dan ada pula yang haram, halal ialah apa yang Allah benarkan kita makan dan haram pula adalah benda yang Allah larang kita untuk makan.” Saya memulakan dengan menerangkan konsep asas yang telah diketahuinya.
“Contohnya macam daging babi, daging anjing, kucing, harimau, buaya dan air arak. Begitu juga dengan haiwan yang masa orang sembelih, dia tak sebut nama Allah. Ini semua adalah antara makanan dan minuman yang Allah haramkan kita makan.”
“Faham tak?” saya bertanya untuk memastikan agar dia tidak hilang dalam penerangan. Seboleh mungkin saya cuba untuk merendahkan bahasa, agar dapat difahami oleh mindanya.
“Faham, faham. Tapi kenapa Allah haramkan?” tanyanya lagi, membuatkan perbincangan menjadi lebih menarik.
“Oh! bagus soalan Humaira’ tu, begini, ada benda yang haram, bila kita makan, kita akan jadi sakit. Contohnya macam arak, meminumnya boleh menyebabkan mabuk dan badan kita boleh rosak. Kalau babi pula, ada yang kata dia binatang yang pengotor, kalau makan babi nanti banyak kuman akan masuk dalam badan.”
“Jadi, makan benda yang haram akan buat kita sakit ke ayah?” sampuk Humaira’ sebelum sempat saya menyambung.
“Tidak juga, ada pula orang yang makan daging babi, daging anjing, makan ular, makan binatang yang tak disembelih dengan nama Allah, tak pula jadi sakit, bahkan bertambah sihat pula tu.”
“Jadi, maknanya tak semua benda yang haram ini akan buat tubuh manusia jadi sakit kan?” saya menguji lagi mindanya. Humaira’ mendiamkan diri, tidak tahu bagaimana hendak memberi respon.
“Sebenarnya begini, sayang, apa yang ayah cuba nak sebut adalah, apa jua yang Allah perintahkan dan larang, semua ada kebaikannya untuk manusia. Sebab Allah yang ciptakan kita dan semua benda yang ada dalam dunia ni, jadi pasti dia yang lebih tahu tentang diri kita.”
“Jadi, kita tak boleh makan makanan yang haram tu bukan hanya sebab dia kotor, tak baik dan akan menyebabkan kita jadi sakit, tapi kita tak boleh makan sebab Allah tak bagi kita makan. Walaupun makanan tu baik sekalipun, tapi jika Allah tak beri kita makan, maka tak bolehlah kita makan.”
“Bila Allah tak beri kita makan, mesti benda yang Allah haramkan tu tak baik untuk kita. Allah kan sayangkan kita, jadi Allah nak kita makan benda-benda yang baik sahaja.”
“Bila kita makan benda yang haram, Allah akan marah dan kita akan dapat dosa, bila banyak dosa, kita akan masuk neraaaaa?” saya berhenti seketika, ala-ala cikgu yang mengajar di sekolah.
“kaaaa...” Humaira’ menyambung.
Moga-moga perbualan kami petang ini akan memberikannya asas awal tentang memahami garis penting antara ketaatan dan menggunakan akal dalam bermuamalah dan menunaikan ibadah.
Ketaatan kepada suruhan dalam Islam, tidak harus menjadikan kita rigid dalam memerhatikan hikmah suruhan dan larangan serta kebesaran pada setiap ciptaan. Islam mengalu-alukan segala kajian tentang kejadian yang baik dan berfaedah dalam setiap aspek kehidupan manusia.
Namun begitu, asas kepada sesuatu suruhan dan larangan adalah kerana ketaatan, bukan kerana hikmah disebaliknya. Kita menjauhi perkara yang haram kerana Allah mengharamkan kita menyentuhnya, bukan kerana hikmah yang tersembunyi disebaliknya.
Kita harus faham bahawa kita menunaikan solat adalah kerana Allah menyuruh untuk kita solat, bukan kerana solat itu punya manfaat kesihatan padanya. Namun, kita yakin bahawa, sebagai pencipta yang maha kuasa, pasti ada rahsia agung disebalik setiap suruhan dan larangan dan umat Islam tidak dihalang untuk mencarinya. Rahsia syara’ pasti tidak akan pernah bertentangan dengan hikmah akal manusia.
No comments:
Post a Comment