Monyet yang tertewas



Ujian terhadap orang yang beriman boleh datang dalam pelbagai bentuk, apa yang pasti, setiap ujian itu sesuai dengan kemampuan diri masing-masing. Ada yang diuji dengan kemiskinan harta, ada yang diuji dengan kesakitan dan penderitaan fizikal, ada juga yang diuji dengan masalah dalam keluarga.

Namun dalam banyak ujian-ujian yang mendepani orang beriman, ujian kesenangan itulah yang paling bahaya dan mengelirukan. Rasulullah sendiri sering mengingatkan tentang bahaya apabila dibukanya pintu-pintu dunia, bahkan Rasulullah berkata bahawa kedudukan sahabat ketika dalam keadaan susah adalah lebih baik berbanding ketika mendapat kekuasaan dan harta.

Terdapat satu kisah berkenaan seekor monyet yang sedang bergayut pada sebatang pokok, tiba-tiba datang hujan ribut yang kuat, air dibawah pokok telah mula naik, jika dia melepaskan pegangannya pada dahan pastilah dia akan mati lemas atau dihanyutkan air bah yang deras.

Ketika angin bertiup makin kencang, monyet tersebut terus mengenggam erat dahan pokok tersebut, pelbagai teknik digunakan untuk memastikan dirinya tidak jatuh ke bawah. Angin masih tidak reda, kali ini datang pula ribut taufan, monyet tersebut semakin cemas, namun pegangannya tetap erat, monyet masih terselamat.

Akhirnya angin semakin reda, monyet pun lega, kali ini hanya angin sepoi-sepoi bahasa yang bertiup, keletihan memegang dahan ketika ribut ditambah belaian angin sepoi-sepoi bahasa membuatkan monyet jadi leka hingga dia terlena seketika, ketika itulah pegangannya terlepas dan akhirnya terjatuhlah monyet ke bawah dan dihanyutkan air bah yang masih belum surut, akhirnya monyet mati dalam lena, dek terbuai oleh kedamaian angin sepoi-sepoi bahasa.

Berapa ramai dari kita yang senasib dengan si monyet, ketika susah, pergantungan kita kepada Allah amat erat namun ketika dibuai kesenangan, jatuh ke jurang yang akhirnya menghanyutkan kita ke neraka.

Wallahua’lam

No comments:

Post a Comment