Jika bukan kita, siapa lagi? Jika bukan sekarang, bila lagi? Blogging from 2008 - ?
Salam Rahmat Buat Almarhum Ustaz Asri Rabbani
Sedih, sungguh sedih, kesedihanku begitu menusuk jiwa saat mendapat khabar berita Ustaz Asri Rabbani meninggal dunia 13 Ogos yang lalu.
Walaupun hanya pernah bersua dengannya sekali secara live, ketika dia membuat persembahan di Dewan Muadzam Shah UUM pada tahun 2001, namun suara Ustaz Asri sentiasa menjadi peneman setiaku sejak dari kecil hingga hari ini.
Lantunan suaranya yang cukup indah, asli dan penuh tawadhuk cukup menusuk jiwa ini, kenangan ketika aku bersekolah dahulu, dicelah-celah lambakan kaset Metallica dan Scorpion, terselit kaset Nadamurni yang akan ku pasang saat jiwa ini terasa resah dan gelisah. Suaranya bagaikan hujan yang membasahi jiwa yang kering kontang dari iman.
Ustaz Asri kekal menemaniku ketika di matrikulasi hingga habis pengajianku di UUM, sehingga hari ini, CD Kenangan Nadamurni sentiasa aku pasang berulang-ulang kali di dalam kereta. Aku tidak pernah jemu dan bosan mendengar suaranya melalui rintihan zikrullah, setanggi kasih, handzalah dan puluhan lagi lagu nasyid.
Melihat wajahnya yang penuh ketenangan, keceriaan sentiasa terpancar diwajahnya, suaranya lunak ketika berbicara, melihat blog beliau, hidupnya sentiasa dipenuhi agenda-agenda dakwah melalui nasyid, moga amal kebaikannya akan menjadi hujah buat dirinya.
Kini beliau tiada lagi, pemergiannya dalam usia yang sangat muda membuatkan mataku basah, tiada lagi suaranya dalam nasyid-nasyid baru selepas ini, Allah lebih menyayangi dirinya.
Sudah takdir bahawa setiap yang hidup pasti akan merasai mati, perjanjian itu tetap akan menemui setiap diri, moga Ustaz Asri akan berjumpa dengan syurga yang dicarinya selama ini
Catatan di blognya
“Aku adalah pengejar syurga akhirat,bagiku dunia ini adalah tempat mempersiapkan segala sesuatu untuk meraih syurga akhirat;aku yakin bahawa syurga akhirat tidak akan pernah dapat aku raih kecuali aku boleh menikmati syurga dunia terlebih dahulu.Maka rumah dan keluargaku adalah syurga dunia paling indah buatku. Tempat kerja syurga dunia harianku. Tetangga, masyarakat,dan bangsa adalah syurga duniaku yang lebih luas.Ke manapun dan sampai bila-bila pun syurgaku selalu bersamaku...”
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
suatu kehilangan,
ReplyDeletepatah yg tak mungkin tumbuh
hilang yg tak mungkin berganti.
al-fatihah.