PILIHAN HARI INI, MASA DEPAN KITA NANTI: IBRAH DARI PENERBANGAN 611 CHINA AIRLINES

Gambar hiasan: Pesawat China Airlines
Beberapa hari yang lepas, saya berkesempatan menonton rancangan Air Crash Investigation di YouTube, antara rancangan kegemaran yang sering saya cuba cari masa untuk menontonnya. Kali ini, episod yang saya tonton adalah berkenaan kemalangan yang menimpa sebuah pesawat China Air yang sedang dalam perjalanan dari Taiwan ke Hong Kong.

Pesawat malang berusia 22 tahun ini pecah di udara dan terhempas ke laut hanya selepas 20 minit berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Taiwan dan mengorbankan kesemua 225 penumpang dan anak kapal. Pelbagai teori dibangkitkan oleh media untuk mengenalpasti punca kapal terbang ini terputus dua dan relai di udara, antaranya adalah serangan bom oleh penyerang berani mati dan tembakan peluru berpandu oleh tentera Cina yang sedang menjalankan latihan di kawasan berhampiran pada hari pesawat malang tersebut terhempas.

Namun data dari kotak hitam pesawat dan maklumat radar menolak teori tembakan peluru berpandu, begitu juga pemeriksaan ke atas mayat-mayat yang ditemui menolak teori pesawat ini dibom oleh penyerang berani mati. Lebih memeningkan penyiasat, langsung tidak ada tanda-tanda yang menunjukkan kegagalan elektronik dalam sistem pesawat atau kesilapan juruterbang. Perbualan dan bunyi dalam kokpit pesawat juga tidak dapat memberikan apa-apa petunjuk.

Jadi apa punca sebenar?

Bila Anak Bertanya Tentang Syiah

“Itu bangunan apa ayah? Masjid ke?” Tanya Humaira’ ketika kami melintasi sebuah ‘hauzah’ Syiah di Regency Road.

Saya memandang ke kiri jalan. Tersergam sebuah bangunan umpama masjid. Ada bendera hitam yang saya tidak pasti apa yang ditulis di atasnya. Paling jelas adalah tulisan ‘Ya Hussain’ di bendera merah besar yang berkibar megah di masjid tersebut. Kelambu-kelambu hijau menutupi tingkap dan kelihatan ada beberapa kereta di tempat parkir.

Di South Australia, setahu saya, inilah hauzah Syiah yang paling besar. Kebanyakan mereka adalah dari Iran dan Afghanistan dan telah berada di sini berpuluh-puluh tahun, ada yang bekerja dan tidak kurang ramai juga yang mempunyai pasaraya sendiri untuk menjual pelbagai rempah ratus dan daging halal di Prospect Road.

Dari kalangan pelajar universiti juga tidak kurang, paling mudah untuk mengecam mereka adalah dengan melihat cara mereka solat dengan meletakkan batu di hadapan. Biasanya mereka akan datang agak lewat dan solat di bahagian belakang.

“Hmmm…” Panjang saya berfikir, kompleks juga untuk dimudahkan dan diceritakan, apatah lagi bila hakikat yang ingin diceritakan adalah berkenaan krisis aqidah, kemelut darah dan perbezaan yang telah berlalu dengan amat panjang dalam sejarah.

INSYIRAH BAKAL DAPAT ADIK?

Alhamdulillah, tsumma Alhamdulillah.

Tidak ada kata yang mampu diucapkan selain Alhamdulillah, segala puji untuk dia yang telah mengurniakan kepada kami anugerah anak-anak yang cukup menyejukkan mata.

Teringat ketika baru berkahwin dulu, kami menanti lebih 6 bulan sebelum berita gembira itu hadir, dan penantian selama 6 bulan itu dirasakan terlalu lama hingga kami ke klinik kesuburan berjumpa Dr Murizah untuk membuat pemeriksaan.

Tika menanti berita gembira yang kedua, hampir 4 tahun kami menunggu, resah gelisah dibuatnya. Humaira' sering bertanya bilakah masanya dia akan punya teman bermain dan bergembira bersama. Kami sering tidak ada jawapan kepada soalan cepu emasnya.

Pertemuan demi pertemuan, usaha, demi usaha, pelbagai kaedah dan ubat yang diambil dan doa demi doa kami lafazkan hingga beberapa hari sebelum kami menjalani prosedur IVF, berita gembira itu hadir. Memang terasa satu keajaiban dan keberkatan doa Ramadhan yang sebelumnya.

Berita gembira yang ketiga hadir ketika kami di Australia, tidaklah terlalu lama menunggu masa, dan ia hadir tepat pada masanya, walaupun serasa saya, inilah proses kehamilan yang paling mencabar, tapi kemanisannya tetap luar biasa.

Berita gembira yang keempat hadir tanpa disangka-sangka, Insyirah juga baru mencecah setahun 6 bulan dan masih menyusu. Ubat kawalan telah diambil dan kami juga tidak merancang untuk mendapatkan khabar dalam tempoh terdekat. Memang mengejutkan, tapi ia tetap satu kegembiraan kerana Humaira', Khadijah dan Insyirah bakal beroleh seorang lagi saudara yang akan keluar 8 bulan lagi.

Syukur padamu Ya Allah, moga dipermudahkan proses kelahiran kali ini dan harap-harapnya, kali ini anak lelaki pula yang akan keluar. Inshaallah.

ISNIN KEMBALI

Isnin, cepatnya masa berlalu, rasa baru sahaja Isnin lepas datang menyapa dan pergi, kini hadir pula Isnin yang baru datang menyapa dan sebentar lagi ia akan berlalu pergi.

Begitulah masa, ia akan terus berjalan meninggalkan kita dalam kelalaian, kecuali kita iltizamkan diri dengan amal soleh. Anak-anak semakin besar dan kita juga semakin tua, setiap saat masa yang berlalu, makin hampir kita dengan hari kematian yang ditaqdirkan.

Tinggal seminggu sahaja lagi sebelum annual review, terlalu banyak yang perlu disiapkan, tapi tanggungjawab lain juga tidak boleh diabaikan. Moga Allah menunjukkan jalan dan memberikan kemudahan.

Tahniah Rusman Toni atas kelahiran anak yang pertama semalam. Moga menjadi anak yang soleh.

ANWAR IBRAHIM DI ADELAIDE

Inshaallah esok tokoh pembangkang Malaysia penuh kontroversi akan berada di Adelaide. Memberi syarahan di Elder Hall pada 530 pm - 630 pm. Beliau juga dijadualkan untuk memberi khutbah di Masjid Wandana pada jam 130 tengahari esok. Walaupun ada arahan mengarut supaya pelajar tajaan tidak hadir, namun saya tetap akan hadir untuk mencambah fikiran dan melihat karisma beliau dalam berucap secara live. Walaupun banyak idea beliau yang sentiasa kontroversi, tapi Anwar Ibrahim tetap adalah tokoh yang mempunyai karismanya yang tersendiri. Rugi jika peluang sebegini tidak dapat dimanfaatkan.

Ustaz Fathul Bari juga akan ke sini hujung minggu ini untuk beberapa program ilmu anjuran Kelab UMNO Adelaide. Walaupun terlibat dalam UMNO dan sekarang sedang berkempen untuk jawatan dalam pergerakan pemuda, namun UFB adalah tokoh yang amat saya hormati kesarjanaannya. Beliau juga sangat matang dalam berhujah dan tidak menggunakan bahasa kasar dan menghina dalam kuliahnya. Cuma mungkin ada beberapa pendapatnya yang kontroversi.

Saya akan cuba menyusun masa untuk bersama dengan dua tokoh besar ini. Bukan selalu kesempatan begini hadir dalam hidup.