Humaira’ nak jadi PIRATE!


“Ayah, bila besar nanti Humaira’ nak jadi Doktor lah.” Kata Humaira’ ketika kami berdua berjalan keluar dari Women’s and Children Hospital menuju ke tempat parkir kereta.

Malam ini isteri saya ditahan di wad kerana mengalami muntah-muntah yang amat teruk hingga setiap apa yang dimakan dan diminumnya pasti akan keluar semula.

Khuatir dengan keadaan diri dan kandungannya, saya membawanya ke hospital untuk dimasukkan air melalui tiub dan diberi ubat tahan muntah yang lebih kuat.

Sementara menunggu segala urusan selesai, saya menghantar Humaira’ ke rumah akhawat yang berdekatan kerana waktu sudah lewat dan tidak dapat dipastikan jam berapa dia akan dibenarkan keluar.

“Baguslah, tapi kenapa Humaira’ nak jadi Doktor?” Tanya saya kembali.

“Nanti, kalau ibu mengandung lagi, Humaira nak cucuk ubat dan ambik darah ibu juga.” Jelas Humaira’. Mungkin selepas melihat ibunya dicucuk beberapa kali termasuk malam ini membuatkan dia rasa bertanggungjawab untuk ‘menyelamatkan’ ibunya.

“Oh! Sebab itu itu ke?”  saya bertanya sambil menahan tawa.

“Ye lah!” Humaira’ menjawab tegas.

“Hmmm...bagus nak jadi Doktor, tapi kalau Humaira jadi Doktor, bukan kena rawat ibu sahaja, tapi kena rawat....”

“...semua orang. Itu Humaira’ tahu la ayah” Jelas saya dan kemudian disambung oleh Humaira’ sebelum sempat saya menghabiskan ayat.

“Jadi Doktor juga kena rawat orang sakit yang bermacam-macam jenis, kena berani bila tengok darah dan kerja juga dari pagi hingga malam.” Tambah saya lagi. Bukan ingin menakutkan, tapi menceritakan realiti. Bukan ingin memusnahkan semangat, tapi supaya dia tahu, apa yang tersedia di hadapannya.

“Yeke ayah? Kalau macam tu, Humaira’ nak jadi nurse lah.” Tiba-tiba, cita-citanya bertukar pula.

“Pulak dah. Jadi nurse pun sama juga sayang. Kena juga rawat orang yang luka, kerja tak tentu masa dan kena juga berani.” Sekali lagi saya menceritakan realiti. Sengaja ingin mengusik dan menguji.

“Alaaa...” keluhnya seketika.

“Kalau begitu, Humaira’ nak jadi Pirate lah!” Cita-citanya yang seterusnya sedikit mengejutkan.

“Pirate??? Kenapa Humaira’ nak jadi pirate???” Saya bertanya.

“Sebab Humaira’ nak bawa kapalterbang lah.” Jelasnya, menceritakan kedudukan sebenar. Oh! 
Kecewanya ayah ini kalau anak perempuannya membesar menjadi lanun.

“Oh, itu bukan pirate, itu pilot lah sayang.” Jelas saya, membetulkan sebutan kata.

“Pirate itu lanun, yang mencuri harta dan duit orang lain di lautan.” Tambah saya lagi. Waduh! Terbayang pula lanun-lanun di perairan Somalia yang sering merampas kapal-kapal yang sedang berdagang.

“Ok, jadi kenapa Humaira’ nak jadi pilot?” Tanya saya.

“Sebab bawa kapalterbang ‘best’ dan senang.” Jawabnya. Oh! Rupanya pilihan kerjanya adalah kerana senang. Satu konsep salah dalam pemilihan pekerjaan dan antara factor yang menyebabkan ramai graduan hari ini menganggur.

Walaupun Humaira’ masih kanak-kanak, tapi tidak salah jika dirinya dibiasakan dengan mempunyai cita-cita. Berlalunya masa, cita-citanya akan bertukar, tapi mereka yang biasa hidup dengan cita-cita, tidak akan membiarkan waktunya berlalu sia-sia.

“Oh! Tak juga, jadi pilot pun ada susahnya juga.” Saya menjelaskan. Memulakan langkah untuk menjelaskan tentang cita-cita dengan pemahaman yang sepatutnya.

“Kena kawal kapalterbang yang besar, kalau kena bawa kapalterbang malam tak boleh tidur nanti dan kena selalu pergi jauh dari keluarga.” Saya menerangkan bahagian-bahagian yang saya rasakan sukar dalam kerjaya seorang ‘pilot’.

“Alaaa, tak jadilah kalau macam tu.” Wah! Bertukar lagi cita-citanya.

“Cuba Humaira’ fikir baik-baik, apa yang Humaira’ nak jadi sebenarnya?” Kali ini saya meminta dia berfikir sebaiknya.

“Humaira’ nak jadi cikgu lah ayah.” Jawabnya spontan.

“Ok, bagus tu, tapi kenapa Humaira’ nak jadi cikgu?”

“Sebab Humaira’ suka mengajar dan mengajar tu senang.” Jawapannya kali ini masih lagi dalam kepompong ‘senang’. Cuba lagi sayang!

“Mengajar orang bukan satu tugas yang senang sayang. Jauh lagi susah dari bawa kapalterbang.” Sekali lagi saya menerangkan.

“Iye, tapi Humaira’ sabarlah dan Humaira’ bagi nasihat lah dekat budak-budak nakal dan yang tak faham tu. Humaira’ takkan marah.” Kali ini jawapannya lebih kemas. Ada peningkatan.

“Betulke Humaira’ boleh sabar mengajar walaupun susah dan senang?” saya meminta pengesahan.

“Betul, betul!” tegas kali ini jawapannya.

“Ayah, bila besar nanti ayah nak jadi apa?” Kali ini dia pula yang bertanya. Wah! Nampaknya saya masih lagi belum ‘besar’ pada pandangannya.

“Haa, ayah dah besar dah pun, sekarang kan ayah dah jadi pensyarah, ayah mengajar juga.” Jawab saya, kemudian saya menyambung dengan nasihat sepatah dua. Untuk dirinya, untuk saya dan untuk pembaca semua.

 “Humaira’, apa sahaja yang kita nak jadi bila besar nanti, mestilah bukan kerana senang atau susah ye. Tapi kerana kita suka dengan apa yang kita buat, walaupun susah.”

“Apa sahaja yang kita lakukan, mestilah kita buat dengan bersungguh-sungguh, dengan tertib, teliti dan dengan penuh usaha. Barulah Allah suka”

Dalam dunia hari ini, ramai yang cenderung memilih kerjaya hanya sekadar tangkap muat dan kerana untuk mendapatkan upah semata-mata. Tidak salah, tetapi bukankah lebih baik jika kerjaya yang dipilih adalah kerjaya yang sememangnya disukai.

Cinta pada kerjaya itu akan menghilangkan sebahagian besar dari lelah dan malas tika menjalankan tugas.

“Tidak ada kerja yang susah jika kita niatkan semuanya kerana Allah. Sebab semua kesusahan dan usaha kita Allah akan bayar dengan syurga di akhirat nanti.”

“Apa jua kerja yang kita lakukan, mesti ada sumbangan untuk Islam. Maksudnya, apa sahaja yang kita buat atas dunia ini mesti sesuatu yang boleh memberi manfaat kepada Islam. Faham tak?”

Saya menyudahkan nasihat ketika kami hampir sampai ke kereta. Kali ini saya mengaitkan pula kerjaya dengan kehidupan akhirat. Malanglah kita jika setiap saat dan hela nafas kita di pejabat tidak dihitung sebagai pemberat timbangan amal.

Sebagai muslim, kita harus punya cita-cita untuk menjadi yang terbaik dalam apa jua bidang yang diceburi kerana Islam mengajar kita begitu, dan lebih cantik jika kita mampu untuk menyumbang kepada umat dalam apa jua tugas yang kita lakukan. Ayuh kita sama-sama jadi duta yang baik kepada agama ini!

Fastabiqulkhairat!


Dimana Rasulullah?

Di bawah kubah hijau inilah bersemadi jasad yang paling mulia.


“Ayah, Rasulullah duduk di mana?” tanya Humaira’ pada suatu malam setelah kami selesai solat Maghrib.

“Rasulullah? Err...Rasulullah sekarang duduk di Madinah,” saya memberikan jawapan spontan.

“Ooo, tempat yang ayah pergi haritu dengan ibu kan?” tanya Humaira’, mengimbas kembali kenangan 2 tahun lalu ketika kami mengerjakan umrah.

“Ye sayang, tempatnya di Masjid Nabawi. Maksud ayah, Rasulullah dah tiada, maksudnya Rasulullah dah wafat. Wafat itu maknanya dah mati. Cuma bila kita menyebut Rasulullah, kita tak sebut Rasulullah dah mati, tidak beradab, kita sebut dah wafat.” Saya menjelaskan perkara sebenar dan juga tentang istilah wafat sebelum dia bertanya lanjut.

“Ooo, tapi ayah, kalau Rasulullah dah mati...”

“Wafat la,” saya memintas, terus membetulkan.

“Ok ok, kalau Rasulullah dah wafat, macamana ayah jumpa Rasulullah?” tanya Humaira’ lagi. Membetulkan soalannya tadi.

Logik juga soalannya. Mungkin sebelum ini dia membayangkan yang Rasulullah masih lagi hidup kerana sering saya ceritakan tentang kebaikan dan kehebatan Rasulullah kepadanya.

“Ayah dan ibu pergi ziarah ke kuburnya di Masjid Nabawi, dan beri salam kepadanya. Bila kita beri salam kepadanya, Insyaallah Rasulullah dengar dan jawab salam kita.”

“Tapi ayah, macamana ayah belajar dengan Rasulullah kalau Rasulullah dah mati?” Tanya Humaira’ penuh hairan. Langsung mengabaikan penjelasan saya tentang memberi salam kepada Rasulullah.

“Belajar?” Saya menggaru kepala yang tidak gatal memikirkan maksud di sebalik soalannya.

“Yela ayah, macamana ayah tahu Rasulullah suruh kita minum duduk, makan dengan tangan kanan, baca doa sebelum tidur...” balas Humaira’, mengingatkan saya kepada sunnah-sunnah yang pernah saya ajar kepadanya.

Menarik. Tidak pula saya pernah terfikir hingga ke situ akalnya berlari.

“Oh, sebenarnya begini, Rasulullah hidup dah lama dulu, seribu empat ratus tiga puluh tahun yang lalu.”

“Semasa Rasulullah hidup, Rasulullah ada kawan-kawan yang dipanggil sahabat-sahabat Rasulullah. Sahabat Rasulullah ni ada ramai, ada 10000 orang semuanya.”

“Rasulullah mengajarkan Islam kepada sahabat-sahabatnya yang ramai ini. Bila Rasulullah wafat, sahabat-sahabat Rasulullah ini pula mengajarkan Islam kepada kawan-kawan mereka pula.”

“Kawan-kawan mereka yang belajar tentang Islam dari sahabat-sahabat Rasulullah, mengajarkan apa yang diajarkan oleh Rasulullah kepada orang lain pula dan begitulah seterusnya hingga hari ini, hingga akhirnya apa yang Rasulullah ajar sampai pada kita hari ini melalui Ustaz dan guru yang mengajar ayah dahulu.”

Salah satu komponen penting dalam ajaran Islam adalah menyampaikan atau dengan kata mudahnya, dakwah. Islam tidak akan berkembang tanpa sifat ini dan umat hari ini, lesu kerana kurangnya sifat ini.

Islam mampu sampai ke seluruh pelusuk dunia kerana umat terdahulu cukup memahami akan tanggungjawab setiap umat sebagai penyambung risalah para nabi. Menyampaikan Islam bukan hanya tugas Ulama, Ustaz dan Ustazah, tetapi ia adalah beban yang harus setiap muslim laksanakan semampunya.

“Hari ini, Humaira’ belajar tentang Islam dari ayah, ibu dan guru-guru yang mengajar Humaira’ tentang Islam. Bila Humaira’ dah tahu tentang Islam, Humaira’ kenalah ajar orang lain pula.”

“Paling mudah, Humaira’ ajarkan pada adik Khadijah dan kawan-kawan Humaira’ juga.” Saya menjelaskan dengan bahasa yang mudah. Tetapi penuh makna.

Pada peringkat usia ini, saya ingin memberitahu kepadanya bahawa Islam bukanlah agama menjadi milik dan amalan sendiri sahaja. Tetapi ia adalah agama yang perlu diceritakan dan disebarkan keindahannya kepada orang lain melalui apa jua medium.

Semoga Humaira’ akan menjadi pendakwah dan duta kepada Islam dalam apa jua bidang yang diceburinya suatu hari nanti. Insyaallah.




Semangkuk rendang, sepinggan nasi, selautan kasih sayang

Alhamdulillah,

Sebelum keluar rumah pagi tadi, saya berjaya menyiapkan bekal Humaira’ untuk ke sekolah dan menyuapkannya sarapan. Khadijah juga saya suapkan sepinggan nasi berlaukkan ayam panggang hingga hampir licin sambil menonton Wurrawhy, kemudian dia minum sebotol susu panas dan sebiji epal hingga tersandar.

Isteri yang sedang terbaring juga akhirnya makan dengan berselera rendang tok yang saya suapkan bersama nasi putih.

Terasa puas dan bahagia melihat ahli keluarga kenyang dengan suapan tangan sendiri walaupun sedikit gundah dan bimbang dengan sesi mempertahankan kertas cadangan yang akan berlangsung esok tengahari.
Ketika berjalan menaiki bas untuk ke pejabat, saya teringatkan hadis ini,

Sesungguhnya apapun yang kamu nafkahkan, maka hal itu adalah sedekah hingga suapan yang kamu suapkan ke mulut isterimu (hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Benarlah bahawa perkahwinan itu akan memberi ribuan ruang kepada kita untuk mengumpul pahala, asal sahaja niat kita tulus dan suci hanya kerananya. Bahkan ‘bersama’ isteri pun punya pahalanya yang tersendiri. 

Subhanallah!

Rumahtangga, jika dilihat sebagai medan untuk menerima, akan sentiasa mencetus gundah gulana ahli-ahlinya, tapi jika ia dianggap sebagai medan untuk berbudi dan mengumpul pahala, maka segala kesusahan, segala kepayahan yang dilalui adalah penghapus dosa dan pemberat timbangan amal di sana nanti.

Fastabiqul Khairat!

Ianya sesuatu yang misteri...

Kita boleh memilih cara untuk kita hidup, tapi kita tidak akan dapat memilih cara untuk kita mati. Bila, di mana dan sebabnya akan kekal sebagai sesuatu yang misteri.

Ketika Allayarham Noramfaizul selamat dikebumikan, masih berbunyi suara-suara sumbang yang mempertikaikan banyak perkara.

Tidak salah mempertikai untuk mencari kebenaran dan menambahbaik misi-misi selepas ini, tapi satu perkara yang kita perlu fahami sebagai manusia dan sebagai hamba Allah yang maha perkasa adalah kematian adalah sesuatu yang diluar jangkauan dan kuasa kita untuk mengawalnya.

Jika ditakdirkan pada hari kejadian Arwah memakai jaket kalis peluru dan menaiki kereta kebal sekalipun, jika telah tertulis ajalnya pada hari dan di tempat tersebut, tidak akan lambat atau cepat walau sesaat malaikat maut yang datang menjemput.

Renungi ayat ini:

Di mana saja kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu, kendati pun kamu di dalam benteng yang tinggi lagi kokoh, dan jika mereka memperoleh kebaikan, mereka mengatakan: "Ini adalah dari sisi Allah", dan kalau mereka ditimpa sesuatu bencana mereka mengatakan: "Ini (datangnya) dari sisi kamu (Muhammad)". Katakanlah: "Semuanya (datang) dari sisi Allah". Maka mengapa orang-orang itu (orang munafik) hampir-hampir tidak memahami pembicaraan sedikit pun? (4:78)


Dan jika ditakdirkan pada hari kejadian, arwah berada di tengah-tengah zon perang dengan ratusan peluru yang bersimpang siur sekalipun, jika ajalnya masih belum tertulis, maka tidak akan ada yang akan mengenainya. Seperti mana yang telah difirmankan oleh Allah dalam ayat berikut:

Katakanlah: "Sekali-kali tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kami. Dialah Pelindung kami, dan hanyalah kepada Allah orang-orang yang beriman harus bertawakal." (9:51)


Itulah hakikat kematian, semua akan merasainya satu hari nanti. Bila, dimana dan mengapa, itu adalah urusan langit, urusan kita adalah menyediakan diri untuk berhadapan dengan saat tersebut.

Kiraan amal bagi Allayarham Noramfaizul telah terhenti, tapi bagi saya dan kita semua, ia masih berjalan, dan jika anda masih mampu membaca bait-bait kalimah ini, bermakna hayat kita masih berbaki, cuma kita tidak akan tahu hingga bila.

Tanyalah pada diri,

“Apakah aku telah bersedia?”

Semuanya adalah ujian

Tinggal 2 hari lagi sebelum tarikh pembentangan kertas cadangan PhD saya sedang slaid pembentangan masih belum bersentuh dan ada bahagian dalam kaedah kajian yang saya masih belum menguasainya dengan sempurna.Beberapa jadual juga harus dikemaskini lagi dengan sorotan literatur yang lebih komprehensif.

Minggu ini juga saya harus mempersiapkan segala kelengkapan Malaysian Carnival yang akan berlangsung Ahad ini.

Tidak dilupakan persiapan untuk Ceramah Bahaya Humanisme yang akan disampaikan oleh Ustazah Norsaleha di Adelaide juga pada hujung minggu ini.

Pada masa yang sama, isteri saya masih lagi bertarung hebat dengan alahan mengandungnya, menyebabkan saya terpaksa menggalas sementara tugas-tugas yang disandangnya sebelum itu termasuklah menjadi jururawat tidak bertauliah untuk menguruskan makan minum dan sakit peningnya.

Juga menguruskan Humaira’ di waktu pagi sebelum ke sekolah, menyelesaikan segala urusan pakaian ahli rumah dari membasuh, menyidai dan mengutipnya kembali. Untuk melipat banjaran kain itu saya tidak punya upaya lagi.

Kemudian membersihkan dapur, mengemas rumah, menyiapkan sarapan, makan tengahari dan kadangkala makan malam (selalunya ada akhawat yang baik hati yang sudi menghantar makanan), bercerita kepada Humaira’ dan Khadijah, membacakan kepada mereka buku dan melayan mereka bermain tali skipping, one two som dan pelbagai lagi (selalunya saya mengalah dan terpaksa memanggil Upin dan Ipin meneman mereka bermain. Terima kasih Les Copaque).

Kemudian masa yang berbaki, saya harus lapangkan untuk melihat-lihat laman web MyPSA dan mengemaskininya sekadar termampu.

Ditambah pula dengan kerisauan terhadap kesihatan kedua orang tua saya yang kadangkala membuatkan saya ingin terbang pulang segera.

Allahuakbar.

Alhamdulillah, disebalik kesibukan-kesibukan dan rutin yang menyebabkan pada masa ini waktu lapang saya menjadi amat sedikit, saya bersyukur kerana masih dikurniakan Allah kesihatan yang baik untuk menggalas segala bebanan ini. Alhamdulillah.

Sesungguhnya, kesenangan atau kesusahan, waktu sibuk atau lapang, kaya atau miskin, semuanya adalah ujian untuk melihat sama ada kita ini akan menjadi hamba yang bersyukur atau hamba yang kufur.