Kelate Keno Gomo

Kecewa, itu sahajalah perkataan yang mampu aku ungkapkan selepas menyaksikan sendiri kekalahan The Red Warrior semalam, seperti budak yang baru bermain bolasepak, pertahanan bermain dengan begitu melulu sekali, hantaran entah kemana, kesilapan mudah yang tidak setaraf pemain profesional dan gerakan yang langsung tidak ada aturannya. Negeri Sembilan berhak menang.

Walaubagaimanapun, aku lebih kecewa dengan sikap penonton pasukan Kelantan yang menunjukkan gedebenya tidak kena tempat, (gedebe = kerek(gedebe dari perkataan arab ghadaba yang bermaksud marah), bukankah menang dan kalah itu adat permainan, sikap membaling botol, mercun dan entah apa-apa lagi yang dipekong (lempar) menunjukkan keangkuhan dan kebodohan sikap penyokong pasukan Kelantan. Walaupun hanya segelintir yang melakukannya, tapi habis semua penyokong Kelantan telah terpalit lumpur.

Melihat sikap penyokong Kelantan semalam, aku melihat bahawa masadepan dakwah di negara ini masih lagi jauh, jika penyokong dari negeri yang mendapat jolokan serambi mekkah pun masih berkelakuan demikian, apalah yang boleh diharapkan dari umat melayu yang ramai bilangan tapi tidak berkualiti ini.

Rata-rata masalah sosial adalah dari kaum yang satu ini, yang memenuhi stadium adalah dari kaum ini juga, yang sering memenuhi pesta dan konsert, menjadi mat rempit handalan dan juara buang bayi juga dari kaum yang satu ini.

Pendakwah harus lebih serius dalam mendepani realiti, tidak ada gunanya jika kita hebat ber ana anta sesama kita sedang masyarakat masih jauh dari iman. Tidak ada gunanya bersengketa mendabik dada, fikrah akulah yang paling asolah (asli) sedang realiti umat semakin lama semakin parah. Ayuh bekerja, kerana Allah hanya akan melihat amal kita, bukan sorak dan kata-kata yang tidak ada ertinya.

Gomo Kelate Gomo!



Sudah lama aku tidak menanti-nanti perlawanan akhir Piala Malaysia dengan begitu teruja sekali, dalam tempoh 4-5 tahun kebelakangan, aku tidak berapa peduli, dan mungkin juga liputan media tentang bolasepak Malaysia tinggal suam-suam kuku je.

Tapi malam ini berbeza, kerana pasukan yang aku minati sejak kecil masuk perlawanan akhir, darah Kelantan yang mengalir dalam tubuh ini tidak dapat menolak perasaan gembira dengan kejayaan pasukan bolasepak Kelantan mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia.

Aku pasti,setiap warga Kelantan sedikit sebanyak pasti akan merasai kehangatan ini, kehangatan yang tidak pernah dirasakan sejak berpuluh-puluh tahun yang lampau, kini the Red Warrior kembali gah, Gomo Kelate Gomo!

Buat penyokong-penyokong tegar pasukan Kelantan, walaupun kita semua ghairah, tapi ini hanyalah satu permainan yang akan berakhir selepas 90 minit, jaga akhlak,jaga solat, pandulah dengan berhati-hati dan terima apa saja keputusan perlawanan, jika kalah, musim depan masih ada untuk Kelate kembali menggegar!

Evolusi Khadijah Hanan Tanda Keajaiban



Melihat anak-anakku membesar adalah satu anugerah yang cukup istimewa. Sejak dari dalam kandungan hingga kelahiran dan seterusnya proses perkembangannya, setiap detik adalah keajaiban yang menunjukkan tanda-tanda kebesaran.
Ketika melihat Khadijah Hanan yang berusia 3 bulan kini dapat memberi reaksi dan cuba untuk meniarap, aku merasa amat takjub, kami tidak pernah mengajarnya untuk meniarap, ketika keluar dari perut ibunya, bukan aku yang mengajarnya untuk menangis, ketika kali pertama menyusu, bukan isteriku yang mengajarnya untuk mengenal puting susu itu.

Sungguh, ini adalah kebesaran tuhan yang tiada taranya, rezekinya dijamin ketika didalam kandungan lagi, diilhamkan kepada setiap bayi untuk meniarap merangkak dan seterusnya berjalan, maha besarlah tuhan yang telah memelihara dan mengaturkan segalanya. Setiap hidupan telah dijamin rezekinya disusun jalan kehidupannya walau cacing dicelahan batu atau anak ikan dimata air yang terpencil.

Namun amat malang bagi manusia yang apabila telah dewasa mula melupakan hakikat ini, manusia lupa akan hakikat pemberi rezeki, sanggup melanggar perintah hanya untuk memuaskan nafsu, sanggup berbuat apa sahaja untuk memenuhi kehendak serakah yang tidak pernah puas.

Setiap apa yang ada didepan mata kita sebenarnya adalah keajaiban yang seharusnya mendatangkan keinsafan akan kebesaran tuhan, bagaimana pepohonan menghijau melakukan proses fotosintesis, bagaimana lebah boleh tahu bunga yang terbaik, bagaimana lembu boleh tahu makanannya adalah rumput dan bukan manusia, segalanya adalah keajaiban.

Lawak Antarabangsa...



Membaca berita tentang penahanan Dr. Asri semalam, aku kehairanan, cukup takjub dan hairan dengan kehebatan JAIS dibantu oleh pasukan polis untuk menahan Dr. Asri atas tuduhan mengajar tanpa tauliah.

Walaupun banyak pandangan beliau yang agak kontroversi dan mungkin ramai yang tidak berapa gemar dengan tindakan dan pandangannya, namun tindakan menahan beliau dalam keadaan yang memalukan agak keterlaluan, harus diingat beliau adalah bekas mufti, ilmuan terkemuka dan banyak juga jasanya pada Islam.

Pihak berkuasa harus lebih teliti dalam isu-isu seperti ini, khuatir ia hanya akan menambahkan persepsi buruk masyarakat terhadap pasukan keselamatan dan penguatkuasa agama.

Apapun buat Dr. Asri, mungkin peristiwa hitam ini adalah suatu peringatan untuk muhasabah diri dan melihat kembali sikapnya yang kadang-kadang melulu terhadap institusi agama negeri - negeri lain.

Dalam kebejatan sosial yang melanda ummah hari ini, tatkala pendokong kebatilan tersusun rapi dalam urusannya, pendokong agama berpecah belah membuatkan syaitan tertawa terbahak-bahak melihat kita semua...

Selamat Berjaya



Salam buat semua pelajar-pelajar A091

Selamat berjaya saya ucapkan dalam menempuh peperiksaan, moga dikurniakan ketenangan, kesabaran dan kelapangan dada untuk menjawab soalan-soalan peperiksaan. Ingatlah kejayaan akan menjadi milik orang-orang yang berusaha dan betawakkal dengan teguh pada tuhannya.

Kejayaan mungkin juga bukan milik kita disini, tapi moga kita semua berjaya disana nanti...

p/s:-carry mark kas1013,kas2043 dan kas3073 tak sempat saya nak keluarkan dek banyaknya timbunan tugasan yang perlu diperiksa, tunggu ajelah result nanti ye...