Semalam, dalam perjalanan ke masjid untuk solat Jumaat, aku terlihat 2 pekerja kontrak taman baru berdekatan dengan rumahku sedang berjalan kaki, berpakaian seperti hendak ke masjid juga untuk ke solat Jumaat.
Aku memberhentikan kereta dan menumpangkan mereka ke masjid Darulaman yang jaraknya lebih 10 minit perjalanan dengan menaiki kereta. Dalam perjalanan, aku berbual-bual dengan mereka.
Aku : Assalamualaikum, dari mana saudara berdua
Mereka : Waalaikumussalam, kami dari Sulawesi, Indonesia, bekerja buruh binaan di sana (sambil menunjuk kepada taman baru yang belum siap dibina berdekatan rumahku)
Aku : Lama dah tinggal di sini?
Mereka : Hampir setahun lebih dah bang (dengan loghat Indonesia yang pekat)
Aku : Kerja macamana? Berapa gaji yang dibayar?
Mereka : “Kerja ok la bang, mula pukul 8, habis pukul 5, kerja setiap hari kecuali hari Jumaat setengah hari je, mereka bayar RM 36 sehari, makan tidur semuanya di rumah kongsi, Alhamdulillah, boleh la bang nak simpan sikit-sikit, kalau di Indonesia susah nak cari makan bang.”
Dialog itu menyebabkan terdiam, kepala ku mula mencongak, RM 36 x 30, maka gaji mereka lebih kurang RM 1080. Tinggal di rumah kongsi tanpa bayaran sewa atau bayaran sewa yang sangat minimum, kos makan-minum yang dikongsi bersama dan ala kadar sahaja dan sudah tentu mereka ini tidak akan berbelanja sewenang-wenangnya dan tidak akan berjalan-jalan tanpa tujuan. Jika mereka hanya berbelanja lebih kurang RM 400 sebulan, maka mereka boleh menyimpan lebih kurang RM 600 sebulan. Jika setahun maka 600 x 12, simpanan mereka lebih kurang 7200 setahun, jika 2 tahun maka 14400, 3 tahun, hah, kira lah sendiri.
Aku yang gaji 4000 sebulan pun tak dapat menyimpan sebanyak itu, bahkan setelah bekerja selama 6 tahun, simpanan ku tidaklah sebanyak mana. Hutang jauh lebih banyak dari simpanan. Secara relatifnya, pekerja buruh Indonesia di Malaysia ni, mungkin jauh lebih kaya dari kebanyakan rakyat Malaysia, kalau mereka lebih kaya dari aku yang kononnya kumpulan professional dan pengurusan, maka tentu mereka lebih kaya dari rakyat Malaysia yang berkerja sebagai kerani, penolong pegawai dan sebagainya.
Aku berfikir sendirian, membiarkan situasi dalam kereta kesunyian, kedua-duanya ku lihat amat selesa dalam kedinginan pendingin hawa kereta ku setelah berpeluh-peluh berjalan kaki sebentar tadi.
Aku mengelamun dan dalam lamunan itu aku terbayang keadaan kegawatan ekonomi yang seolah-olahnya tiada kesudahan. Pada fikiranku, sudah tiba masanya untuk setiap dari kita mempunyai multiple stream income atau pendapatan dari pelbagai sumber, supaya lebihan pendapatan kita dapat dijadikan tabungan di masa-masa susah, setiap dari kita harus berusaha untuk bekerja dengan tangan sendiri atau lebih tepatnya berniaga walaupun secara kecil-kecilan. Binalah kemahiran-kemahiran baru, jangan hanya terhad kepada satu kemahiran sahaja. Usah malu walau hanya menjual goreng pisang di tepi jalan.
Begitu juga pelaburan, sudah tiba masanya untuk kita mula melabur, tapi bukan dalam pelaburan berbentuk bon, debenture, saham dan produk-produk yang penuh dengan 1001 kesangsian, tetapi melaburlah dalam pembelian aset seperti tanah yang memungkinkan kita untuk bercucuk tanam ketika keadaan terburuk mungkin menimpa. Belajarlah untuk berbudi kepada tanah, nescaya anda tidak akan rugi.
Begitu juga dengan persediaan mental dan fizikal, latihlah diri dengan sedikit kepayahan untuk persediaan jika hari-hari mendatang penuh dengan kesukaran. Belajarlah untuk berpuasa dan ajarlah anak-anak dengan sedikit kesusahan. Aku kagum dengan kisah Nik Nur Madihah, pelajar cemerlang SPM 2008 yang hanya tinggal di pondok buruk, tapi masih mampu mencapai kecemerlangan, beliau berpuasa ketika tiada makanan di rumahnya, tapi rupanya kelaparan itu mendidik dirinya untuk menjadi manusia yang lebih baik.
“Allahuakbar, Allahuakbaaaaaar….” Laungan azan pertama setibanya aku di pintu pagar masjid mematikan lamunanku, menandakan aku harus fokus menafikan kebesaran-kebesaran yang lain fokus pada kebesaran Allah semata-mata, supaya hati ini kembali tunduk, kembali khusyuk dalam laungan ketaqwaan oleh khatib di atas mimbar.
Jika bukan kita, siapa lagi? Jika bukan sekarang, bila lagi? Blogging from 2008 - ?
Sunnah ada dimana-mana

Salam Maulidurrasul untuk semua
Isnin lepas adalah hari ulangtahun kelahiran Rasulullah s.a.w yang tercinta. Cinta yang akan menyempurnakan keimanan dan membawa kita ke syurga.
Pada aku, cinta pada nabi bukanlah dengan berarak dan berselawat hanya pada hari Maulid sahaja, tetapi pada aku, cinta pada Rasulullah adalah dengan menjadi pengikutnya yang setia. Setia dengan sunnahnya dalam seluruh aspek kehidupan, bukan hanya sunnah yang kecil-kecil, tapi sunnah perjuangan yang membawa keadilan Islam ke seluruh pelusuk dunia.
Isnin lepas aku memilih untuk tidak berarak ke stadium atau ke mana-mana majlis Maulid, sebaliknya menyertai satu perlawanan bolasepak persahabatan di Pulau Pinang. Dalam bolasepak juga ada sunnah, sunnah dalam kesabaran, sunnah dalam kejujuran, sunnah dalam ketelitian, sunnah dalam kesungguhan, sunnah dalam berpasukan, ye sunnah itu ada dalam segala-galanya dari masjid hingga ke padang bola.
Mengamalkan sunnah, bermakna anda beriltizam dengan Islam, cinta pada Nabi, bererti cinta pada Islam...
Usah sempitkan Islam hanya pada ritual ibadah semata-mata, Islam itu adalah sistem kehidupan, Islam bukan sekadar nama, tapi Islam itu adalah isi dan kulit, Islam bukan hanya solat, puasa, zakat, haji dan pakaian sahaja, Islam meliputi segala-galanya, kewangan, politik, sukan, hiburan, hubungan antarabangsa, kaunseling, motivasi, penyelidikan bahkan namakan apa jua bidang, Islam pasti ada penyelesaiannya.
Marilah sempena Maulid Nabi ini, kita perkukuhkan iltizam kita dengan Islam, kerana hanya dengan Islam, kita akan beroleh kedamaian di dunia dan di akhirat.
Jangan Pandang Rendah Fitnah Dajjal

"Sejak terciptanya manusia hingga hari kiamat, tidak ada fitnah yang lebih besar selain dari fitnah dajjal"
(Riwayat Muslim)
Fitnah dajjal adalah fitnah terbesar yang akan menimpa umat manusia, tentera-tentera Dajjal yang terdiri dari kumpulan Freemasonry, Illuminati yang menyembah Lucifer (Iblis) sedang mempersiapkan dunia untuk menerima kedatangan Dajjal.
Fitnah yang akan dibawa olehnya amat dasyat dan hampir tidak mampu ditanggung oleh umat-umat yang beriman di zaman ini.
Selalulah kita mohon pertolongan dari Allah dilindungkan dari fitnah Masih Dajjal dan ajarlah anak-anak kita tentang bahana fitnahnya, kedatangannya kian hampir, bersediakah kita untuk berjuang menentangnya?
Berikut adalah Khutbah Rasulullah berkenaan Dajjal :
Dari Abi Umamah Al-Bahiliy, beliau berkata: “Rasululah s.a.w telah berkhutbah di hadapan kami. Dalam khutbahnya itu Baginda banyak menyentuh masalah Dajjal.
Baginda telah bersabda: “Sesungguhnya tidak ada fitnah kerosakan) di muka bumi yang paling hebat selain daripada fitnah yang dibawa oleh Dajjal.
Setiap Nabi yang diutus oleh Allah SWT ada mengingatkan kaumnya tentang Dajjal. Aku adalah nabi yang terakhir sedangkan kamu adalahumat yang terakhir. Dajjal itu tidak mustahil datang pada generasi(angkatan) kamu. Seandainya dia datang sedangkan aku masih ada di tengah-tengah kamu, maka aku adalah sebagai pembela bagi setiap mukmin.
Kalau dia datang sesudah kematianku, maka setiap orang menjaga dirinya.Dan sebenarnya Allah SWT akan menjaga orang-orang mukmin.
“Dajjal itu akan datang nanti dari satu tempat antara Syam dan Irak. Dan mempengaruhi manusia dengan begitu cepat sekali. Wahai hamba Allah, wahai manusia, tetaplah kamu. Di sini akan saya terangkan kepada kamu
ciri-ciri Dajjal, yang belum diterangkan oleh nabi-nabi sebelumku kepada umatnya.
“Pada mulanya nanti Dajjal itu mengaku dirinya sebagai nabi. Ingatlah, tidak ada lagi nabi sesudah aku.
Setelah itu nanti dia mengaku sebagai Tuhan. Ingatlah bahawa Tuhan yang benar tidak mungkin kamu lihat sebelum kamu mati.
Dajjal itu cacat matanya sedangkan Allah SWT tidak cacat, bahkan tidak sama dengan baharu. Dan juga di antara dua mata Dajjal itu tertulis KAFIR, yang dapat dibaca oleh setiap mukmin yang pandai membaca atau buta huruf.
“Di antara fitnah Dajjal itu juga dia membawa syurga dan neraka.
Nerakanya itu sebenarnya syurganya sedangkan syurganya itu neraka, yakni panas.
Sesiapa di antara kamu yang disiksanya dengan nerakanya, hendaklah dia meminta pertolongan kepada Allah dan hendaklah dia membaca pangkal surah Al-Kahfi, maka nerakanya itu akan sejuk sebagaimana api yang membakar Nabi Ibrahim itu menjadi sejuk.
“Di antara tipu dayanya itu juga dia berkata kepada orang Arab:
“Seandainya aku sanggup menghidupkan ayah atau ibumu yang sudah lama meninggal dunia itu, apakah engkau mengaku aku sebagai Tuhanmu?” Orang Arab itu akan berkata: “Tentu.” Maka syaitan pun datang menyamar seperti
ayah atau ibunya. Rupanya sama, sifat-sifatnya sama dan suaranya pun sama. Ibu-bapanya berkata adanya: “Wahai anakku, ikutilah dia, sesungguhnya dialah Tuhanmu.”
“Di antara tipu dayanya juga dia tipu seseorang, yakni dia bunuh dan dia belah dua. Setelah itu dia katakan kepada orang ramai: “Lihatlah apa yang akan kulakukan terhadap hambaku ini, sekarang akan kuhidupkan dia semula. Dengan izin Allah orang mati tadi hidup semula.
Kemudian Laknatullah Alaih itu bertanya: “Siapa Tuhanmu?” Orang yang dia bunuh itu, yang kebetulan orang beriman, menjawab: “Tuhanku adalah Allah, sedangkan engkau adalah musuh Allah.” Orang itu bererti lulus dalam ujian Allah dan dia termasuk orang yang paling tinggi darjatnya di syurga.”
Kata Rasulullah s.a.w lagi: “Di antara tipu dayanya juga dia suruh langit supaya menurunkan hujan tiba-tiba hujan pun turun. Dia suruh bumi supaya mengeluarkan tumbuh-tumbuhannya tiba-tiba tumbuh. Dan termasuk ujian yang paling berat bagi manusia, Dajjal itu datang ke perkampungan orang-orang baik dan mereka tidak mengakunya sebagai Tuhan, maka disebabkan yang demikian itu tanam-tanaman dan ternakan mereka tidak menjadi.
“Dajjal itu datang ke tempat orang-orang yang percaya kepadanya dan penduduk kampung itu mengakunya sebagai Tuhan. Disebabkan yang demikian hujan turun di tempat mereka dan tanam-tanaman mereka pun menjadi. “Tidak ada kampung atau daerah di dunia ini yang tidak didatangi Dajjal kecuali Makkah dan Madinah. Kedua-dua kota itu tidak dapat ditembusi oleh Dajjal kerana dikawal oleh Malaikat. Dia hanya berani menginjak pinggiran Makkah dan Madinah. Namun demikian ketika Dajjal datang ke pergunungan di luar kota Madinah, kota Madinah bergoncang seperti gempa bumi. Ketika itu orang-orang munafik kepanasan seperti cacing dan tidak tahan lagi tinggal di Madinah. Mereka keluar dan pergi bergabung dengan orang-orang yang sudah menjadi pengikut Dajjal. Inilah yang dikatakan hari pembersihan kota Madinah.
The Choice is Yours:Scenes From The Arrivals
Salam, this is scenes taken from the documentary, The Arrivals, an exclusive documentary about the truth of an secret society that rules the world and created the foundation for the arrival of Al Masih Dajjal
Wake up!
Wake up!
Polemik Pakaian dan Aurat : Kefahaman yang Perlu Diperbetulkan

Sejarah menceritakan bahawa tujuan manusia berpakaian sejak dahulu lagi adalah untuk melindungi tubuh dari pelbagai ancaman luaran seperti kesejukan, gigitan serangga dan ancaman-ancaman lain. Pakaian juga satu simbol kebesaran, kemuliaan dan menunjukkan peribadi si pemakainya.
Dari ruang lingkup Islam, etika berpakaian adalah sesuatu yang cukup penting dan ada kaitannya dengan dosa dan pahala. Sah atau tidak ibadah khusus seperti solat dan haji bergantung kepada pakaian yang dipakai. Allah bahkan menyeru hamba-hambanya agar berpakaian yang indah-indah secara khusus apabila pergi ke masjid.
Perbincangan tentang pakaian dalam Islam tidak akan dapat dipisahkan dari masalah menutup aurat, kerana itu adalah antara objektif utama pemakaian dalam Islam. Bagi lelaki dan wanita, masing-masing mempunyai aurat tersendiri yang perlu ditutup kerana Allah.
Bagi lelaki, masalah menutup aurat biasanya jarang timbul, namun apabila membicarakan tentang aurat wanita yang secara teorinya cukup mudah iaitu wanita perlu memakai pakaian yang menutup seluruh tubuh kecuali muka dan tapak tangan seperti mana ketika solat, perlaksanaannya banyak yang pincang dan membawa kepada jenayah berpakaian di sisi Allah.
Wanita sememangnya telah dicipta oleh Allah fitrahnya suka kepada perhiasan, terutama dalam berpakaian. Kerana itulah, hari ini di seluruh dunia, terdapat jutaan jenis fesyen pakaian wanita pelbagai jenis dan rupa bentuk. Fesyen yang menutup aurat, kita katakan alhamdulillah, tapi masalahnya trend fesyen hari ini lebih banyak yang melonggarkan masalah menutup aurat.
Antara komponen yang paling penting dalam aurat wanita adalah rambutnya, wanita bukan sahaja perlu menutup rambut, bahkan melabuhkan tudung sehingga ke dada.
Hari ini, trend pemakaian tudung dikalangan wanita muslimah secara khusus di Malaysia amatlah cacamarba. Pelbagai jenis fesyen tudung diperkenalkan, namun amat sedikit yang mematuhi syariat. Berikut antara beberapa trend terkini yang popular di pasaran tetapi menyalahi syariat :
1. Tudung jarang hingga menampakkan sanggul dan leher.
2. Tudung jambul yang hanya menutup sebahagian sahaja dari rambut.
3. Tudung yang hanya menutup rambut sahaja, tetapi menampakkan leher.
Begitu juga dengan trend yang digambarkan dalam gambarajah diatas, semuanya pincang dalam perlaksanaannya.
Menutup aurat, secara khusus wanita muslimah adalah satu tuntutan yang sangat diberatkan, ia bukan perkara yang boleh dibuat main-main kerana ia melibatkan dosa pahala.
Ramai yang menangguhkan pemakaian tudung dengan alasan belum sampai seru, namun sehingga bila seru itu akan tiba, adakah menunggu jemputan malaikat maut baru hendak bertaubat?
Ada juga yang berkata, “alaa, yang pakai tudung pun ramai yang buat maksiat, yang penting hati, tak pakai tudung pun kalau hati baik tak mengapa…”
Bagi yang berpendirian sedemikian, mereka perlu memahami bahawa manifestasi dari mempunyai sekeping hati yang baik akan mempunyai kesan terhadap penampilan luaran seseorang. Hati yang baik adalah hati yang takut kepada Allah dan takut juga untuk melanggar perintahnya. Bagi yang memakai tudung tapi terlibat dengan maksiat, urusan dosa mereka tidak ada kaitan dengan tudung yang dipakai, namun bagi yang enggan memakai tudung, terus terang mereka telah berbuat jenayah terhadap Allah yang sememangnya layak untuk diberi hukuman dan memberatkan timbangan dosa.
Tudung adalah lambang wanita muslimah yang taat, pemakaiannya yang sempurna akan dikurniakan ganjaran pahala dan diberikan ketenangan hati yang hakiki. Tidak salah untuk berfesyen, asalkan aurat ditutup dengan sempurna.
Subscribe to:
Posts (Atom)