APA YANG ALLAH TETAPKAN, PASTI AKAN TERJADI


Saya bukanlah orang yang sistematik, tidaklah terlalu berterabur, tapi tidak juga terlalu ‘organised’. Walaupun saya selalu lupa banyak perkara sejak kebelakangan ini kerana banyaknya tugas dan amanah berat, termasuk selalu lupa di mana letaknya kunci dan telefon bimbit, namun ada satu perkara yang saya amat ‘particular’ berkenaan penjagaannya, iaitu laptop dan dokumen-dokumen penting.

Sejak dulu lagi, saya amat menjaga perkara-perkara ini. Saya cukup menjaga laptop dari diceroboh oleh pihak luar secara maya atau secara fizikal. Isteri dan teman-teman rapat saya mengetahuinya. Saya cukup menjaga aktiviti di internet dan fail-fail yang dimasukkan ke dalam laptop. Saya juga tidak akan sewenang-wenangnya membenarkan anak-anak bermain-main dengan laptop, dan mereka amat maklum dengan ‘pantang’ saya ini.

Setiap kali parkir kereta di mana-mana, jika saya membawa laptop bersama, saya tidak akan meninggalkannya di dalam kereta kerana khuatir ada orang yang akan memecah masuk ke dalam kereta dan mencurinya.

Cukuplah beberapa kes (pecah kereta untuk mencuri barang elektronik) yang saya dengar sebelum ini sebagai peringatan.

Beberapa hari yang lalu, seperti biasa, saya menyandang beg laptop ketika keluar makan di R n R Rawang bersama dengan keluarga, dengan banyak dokumen penting di dalam beg laptop tersebut, saya meningkatkan kadar kewaspadaan 2 kali ganda.

Namun entah bagaimana, kali ini saya cuai kerana meninggalkannya di bawah meja makan. 


Walaupun pada mulanya di dalam hati kecil, saya cuba menyalahkan semua pihak yang terlibat untuk menjustifikasikan kelalaian, namun akhirnya, saya terpaksa akur bahawa, apa yang terjadi adalah akibat kecuaian saya sendiri dan saya mesti menerima ia sebagai taqdir yang telah ditetapkan oleh ilahi. TIDAK ADA YANG DAPAT MENGUBAHNYA.

Syaitan cuba berbisik, meletakkan ‘kalau’ pada setiap peristiwa dan ketika sebelum ianya berlaku, namun, berkalau-kalau pada taqdir yang telah berlalu, tidak akan mengubah apa-apa melainkan hanya akan menambah rasa sesal di dalam jiwa.

Saya harus redha bahawa laptop saya telah dicuri bersama dengan data-data PhD, koleksi gambar peribadi, (termasuklah gambar Insyirah ketika sedang diangkat keluar dari perut ibunya) dan organisasi yang amat banyak, data-data pengajaran, penyelidikan dan perundingan selama 8 tahun, koleksi artikel, cerpen dan novel terbaru yang saya tulis sendiri (masih belum di back up), koleksi tazkirah, kod-kod pengaturcaraan yang bernilai puluhan ribu ringgit dan pelbagai lagi maklumat yang saya amat-amat terkilan kerana kehilangannya.

Bukan tidak ada back up, tapi hard disk external yang biasa saya gunakan untuk back up dan biasanya disimpan di tempat yang berasingan, turut sama lesap bersama iPad dan perakam Mp3 yang mengandungi data-data audio hasil temuramah dengan lebih kurang 24 badan kerajaan di sekitar Australia.

Back up yang ada hanya di Drop Box, itupun telah lama tidak di update dan hanya beberapa fail terpilih sahaja kerana limitasi saiz yang agak sederhana.

Untuk mengumpulkannya semula, ALLAHURABBI!!! Moga Allah memberikan saya kekuatan.

Semoga ‘tuan’ baru laptop DELL STUDIO model tahun 2009 saya yang berwarna ungu itu bermurah hati untuk memulangkannya kembali. Saya bersedia untuk membayar sejumlah wang yang signifikan andai laptop itu dapat dipulangkan kembali bersama dengan datanya yang lengkap sempurna. Bahkan jika tidak ingin memulangkan laptop, cukuplah jika dapat dipulangkan data-data tersebut sahaja. SAYA MERAYU ANDAI Anda yang sedang memiliki laptop tersebut TERBACA POST INI, HARAP DAPATLAH DIPULANGKAN DATA-DATA TERSEBUT kerana ia amat berharga bukan sahaja bagi diri, tetapi bagi keluarga dan beberapa organisasi yang saya beriltizam di dalamnya. Saya telah lama memaafkan mereka yang mengambilnya. Semoga ALLAH memberikan anda ganjaran syurga yang tinggi hasil kejujuran.

Satu perkara utama yang saya pelajari dari kes ini adalah, Andai ALLAH telah menetapkan sesuatu, ia PASTI akan terjadi. Walau bagaimana berwaspada pun kita, jika telah ditetapkan bahawa sesuatu perkara itu akan terjadi, TIDAK AKAN ADA YANG MAMPU UNTUK MENGUBAHNYA.

Moga sedikit ujian kehilangan ini akan dapat menjadikan saya hambanya yang lebih bersyukur, lebih bersabar dan lebih berwaspada. INSYAALLAH.

1 comment: