Sebagai manusia, hidup kita tidak akan pernah sunyi dari kesilapan dan kesalahan yang kita lakukan terhadap Allah dan manusia lainnya. Tidak ada manusia yang bersih dari dosa dan bebas dari kesalahan melainkan Rasululllah s.a.w.
Orang yang beruntung bukanlah orang yang tidak pernah melakukan kesilapan, tetapi orang yang beruntung ialah orang yang apabila melakukan kesilapan segera memohon keampunan kepada Allah.
Begitu juga mereka yang melakukan kesalahan kepada manusia lainnya, perkara terbaik yang kita harus lakukan saat kita sedar bahawa kita melakukan kesalahan kepada orang lain adalah memohon kemaafan dengan segera, dan sebaiknya bagi orang yang dipinta kemaafan itu, berilah kemaafan kerana itulah sikap yang mulia dan terbaik. Lihat ayat ini 3: 133 - 136
Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada surga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa, |
(yaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang maupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan. |
Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui. |
Mereka itu balasannya ialah ampunan dari Tuhan mereka dan surga yang di dalamnya mengalir sungai-sungai, sedang mereka kekal di dalamnya; dan itulah sebaik-baik pahala orang-orang yang beramal. |
Sejarah para sahabat dan orang-orang yang soleh juga dipenuhi dengan pelbagai warna yang menunjukkan bahawa mereka juga adalah manusia biasa yang tidak pernah lepas dari melakukan kesalahan sesama mereka. Pada kisah Abu Dzar yang ditegur oleh Rasulullah akibat penghinaannya terhadap Bilal ada teladan yang baik yang harus kita contohi.
Dalam sebuah hadis (Muslim) disebutkan bahawa Rasulullah pernah menegur Abu Dzar kerana memanggil Bilal dengan gelaran “Ibnus-Sauda’ (anak dari perempuan hitam)”. Maka tatkala Abu Dzar ditegur oleh Rasulullah dengan ungkapan “Engkau masih melekat dalam dirimu sifat Jahiliyah” lantas Abu Dzar terus mencari Bilal untuk memohon kemaafan.
Maka ketika mereka berdua telah berjumpa dan Abu Dzar mengakui kesalahannya, Saidina Bilal dengan lapang dada telah memaafkannya.
Walaupun telah dimaafkan, Abu Dzar tetap tidak berpuas hati dan menyuruh Bilal memijak mukanya yang diletakkan di atas tanah untuk mengeluarkan ego yang bersarang di dalam hatinya.
Masyaallah! Inilah sikap yang harus kita contohi, iaitu sikap pemaaf yang ditunjukkan oleh Bilal dan sifat tawadhu’ (merendahkan ego) Abu Dzar yang memohon maaf dengan penuh keikhlasan.
Ini hanyalah secebis kisah dari lautan kisah teladan yang ditunjukkan oleh generasi Al Quran yang unik. Jika ditelusuri Sirah Baginda dan kisah kehidupan para Sahabat, maka kita akan temui di sana pelajaran-pelajaran yang menakjubkan tentang sikap memberi maaf yang ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W dan para sahabat baginda.
Jika tidak cukup kisah ini sebagai pelajaran buat kita, maka lihat pula kalam Allah dan nasihat dari Rasulullah kepada orang Mu’min yang bersaudara.
“Sesungguhnya, orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu, dan bertaqwalah kamu kepada Allah s.w.t supaya kamu beroleh rahmat.” (Al Hujuraat: 10)
“Jangan bersifat dendam, jangan dengki mendengki, jangan bermusuh-musuhan. Hendaklah kamu jadi Hamba Allah s.w.t yang bersaudara. Dan tidak dihalalkan bagi seorang Islam meninggalkan saudaranya (tidak menegurnya) lebih dari 3 hari.” (HR Muslim)
Tidak ada nasihat yang lebih baik untuk kita ambil sebagai pedoman selain dari nasihat dari Al Quran dan hadis Rasulullah S.A.W. Rendahkanlah ego kepada kalam Allah dan Hadis Rasulullah, jangan biarkan ego kita lebih tinggi dari dua nasihat ini hingga kita terus bermasam muka, tidak bertegur sapa, enggan memohon maaf dan memberi maaf.
Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula orang-orang yang beriman, namun bukankah hubungan antara orang beriman itu adalah seperti air yang dicincang? Tidak akan putus walaupun dihunus oleh pedang samurai yang tajam.
Pohonlah kemaafan, berilah maaf dan bertaqwalah kepada Allah, Insyaallah, kita akan masuk kedalam golongan mereka yang berjaya. Insyaallah.
No comments:
Post a Comment