Dari Jenayah Kepada Ibadah


“Ada soalan lagi, mungkin soalan terakhir agaknya untuk malam ini?” Dr. Baiyah selaku moderator forum Bila Baju Melayu Bertemu Baju Kurung yang di adakan di Pelham Musolla, berhampiran University of Melbourne masih lagi memberi peluang kepada hadirin untuk bertanya.

Seorang pelajar perempuan dari barisan belakang mengangkat tangan.

“Saya bertanya bagi pihak kawan saya.” Pelajar perempuan itu memulakan soalan. Saya dan 2 lagi ahli panel forum iaitu Dr. Ihsan dan isteri saya sendiri menumpukan perhatian.

“Begini, kawan saya bertanya, apa yang perlu kita buat jika sebelum ini, kita telah pun ada hubungan ‘cinta’ dengan seseorang. Bila kita kenal Islam sikit-sikit, dan kita ingin berubah dan bertaubat dari dosa-dosa, apakah ada ruang untuk hubungan itu diteruskan? Apakah ada cara untuk kita bercinta, tapi masih dalam ruang lingkup syara’? Pelajar perempuan itu menyudahkan soalan.

Saya, Dr. Ihsan dan isteri saling pandang memandang, ternyata mereka mengisyaratkan untuk saya menjawabnya kerana beberapa soalan dari peserta sebelum ini telahpun mereka jawab.

Saya menarik nafas panjang. Walaupun soalan ini nampak mudah, tetapi tidak mudah untuk menjawabnya. Susun bicara harus ditutur dengan teliti, kerana dalam forum terbuka seperti ini dan dengan soalan seperti itu, saya harus cuba mencari keseimbangan antara syadid (keras) dan realistik.

“Pertama sekali, asas penting yang kita harus fahami adalah walaupun rasa suka antara lelaki dan wanita itu adalah fitrah sepertimana yang saya terangkan pada awal forum, namun begitu, Islam meletakkan garis panduan yang amat ketat berkenaan hubungan antara lelaki dan wanita yang bukan mahram.” Saya memulakan penerangan.

“Dalam bahasa mudahnya, secara jelas saya boleh katakan bahawa tidak ada hubungan cinta antara lelaki dan perempuan sebelum berkahwin yang dibenarkan oleh syara’. Banyak dalil dari Al Quran dan hadis yang membincangkan tentang perkara ini, namun cukuplah saya memberikan satu ayat dari surah Al Israa’ ayat 32 yang bermaksud,”

“Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.”

“Dalam ayat ini, Allah menutup serapat-rapatnya pintu terhadap hubungan antara lelaki dan wanita yang berlaku diluar batas perkahwinan kerana ingin mencegah perbuatan keji di kalangan masyarakat manusia yang natijahnya dapat kita lihat berlaku dalam masyarakat kita pada hari ini dengan amat banyak, iaitulah bayi-bayi yang dibuang tanpa rasa belas kasihan.”

“Jika tidak pun sampai ke peringkat membuang bayi, maka perbuatan-perbuatan kita seperti keluar menonton wayang bersama, saling bertukar sms dan panggilan setiap hari, berjalan-jalan di taman atau makan dan ‘shopping bersama’, setidak-tidaknya kita akan terlibat dengan zina mata, telinga dan hati yang dosanya mungkin tidaklah sebesar zina kemaluan, tetapi ia tetap adalah dosa yang akan menghitamkan jiwa dan akan menjauhkan kita dari Allah.”

“Bila kita sentiasa dalam keadaan berdosa, maka doa kita pastinya akan sukar dimakbulkan, ilmu juga akan susah untuk masuk ke dalam dada, dan amalan-amalan yang lain juga kita dikhuatiri bermasalah bila kita terjebak dalam dosa kecil secara berterusan tanpa ada usaha untuk kita keluar darinya.”

“Jangan kita lihat saiz dosa yang kita lakukan, tapi lihatlah kepada siapa dosa itu kita pamerkan.”

“Ibarat kita menampar nyamuk, pasti berbeza jika kita menamparnya di muka kawan atau kita menamparnya di wajah Sultan.”

“Jangan sesekali meremehkan dosa kecil, kerana antara sifat orang beriman adalah memandang setiap dosa seperti gunung yang akan datang untuk menghempap.”

“Apatah lagi bila mengingatkan bahawa ajal itu datang tidak diundang, bimbang kalau-kalau Allah tarik nyawa dalam keadaan su’ul khatimah (penghujung yang buruk), ditarik nyawa ketika dalam bermaksiat kepadanya, na’uzubillahiminzalik.

“Cumanya....” saya berhenti seketika. Melihat respon hadirin. Semuanya menumpukan perhatian. Sejak dari tadi, tidak ada hadirin yang tidur, fokus sungguh anak-anak muda bila berbincang tentang topik begini.

“Dalam kes yang saudari tadi bertanya, tidak ada satu jawapan pasti yang boleh saya beri, cuma apa yang boleh saya katakan kepadanya adalah tanya pada diri, tanya pada hati, sejauh mana kita jujur dengan Allah dalam hubungan tersebut.”

“Tanya juga pada diri, atas asas apa perhubungan tersebut  ingin diteruskan dan jika ingin diteruskan sehingga ke gerbang perkahwinan, apakah benar-benar diyakini kebaikan agamanya jika dia masih belum berubah dan apakah benar-benar dapat  dipastikan bahawa dia adalah calon terbaik untuk menjadi teman hidup dan pendidik kepada cahaya mata yang kita lahirkan sepanjang melayari kehidupan sehingga penghujung usia.”

“Fikir-fikirkan, banyakkan istikharah dan istisyarah (perbincangan) sehingga keputusan yang bulat dapat dicapai dan agar tidak akan menyesal di kemudian hari nanti.”

“Jika pertimbangan nafsu telah diketepikan dan semua jawapan kepada soalan-soalan di atas adalah ye, ye dan ye dan hati juga telah terasa tenang hasil istikharah dan istisyarah, maka usahakanlah untuk ‘upgrade’ hubungan tersebut kepada perkahwinan sesegera yang boleh, dari jenayah kepada Allah, kepada ibadah yang akan membibitkan mawaddah dan rahmah.”

“Faham ya?” Saya bertanya kepada hadirin untuk mendapatkan respon. Ada yang kelihatan mengangguk-angguk dan tidak kurang juga yang tertunduk dan merah wajahnya. Kemudian saya menyambung.

“Kepada lelaki, saya berpesan, jika kita tidak suka adik perempuan atau anak kita suatu hari nanti diusung ke sana dan ke mari oleh lelaki yang tidak ada hubungan mahram dengannya, maka janganlah melakukan perkara yang kita sendiri tidak menyukainya.”

“Khuatir nanti Allah balas ‘cash’ atas muka dunia dengan menghantar seorang lelaki yang akan mengusung anak kita ke sana dan ke mari seperti mana kita mengusung anak orang lain pada hari ini.”

“Begitu juga kepada wanita, jika sayangkan ayah anda, dan tidak ingin ayah anda termasuk dalam golongan orang yang dikatakan dayus oleh Rasulullah, maka janganlah lacurkan kehormatan anda dengan membiarkan diri larut dalam nafsu atas nama kasih sayang dan pengorbanan.”

“Kesimpulannya, cinta yang dibolehkan antara lelaki dan wanita dalam Islam hanyalah selepas perkahwinan.”

“Ketika itu, bercintalah dengan bersungguh-sungguh, kerana pada setiap kuntuman ros yang kita hadiahkan, pada senyuman dan tatapan pada wajah isteri, pada ayat-ayat manis yang kita ungkapkan pada pasangan yang halal, bahkan pada saat kita berdua-duaan dan ‘bersama’ dengannya, setiap satunya akan dikira sebagai ganjaran pahala yang akan memberatkan timbangan amal di akhirat nanti.” 

"Harap terjawab soalan ye, wallahua'lam." Saya menyudahkan penerangan dan kemudian menyerahkan kembali mikrofon kepada moderator.

Semoga jawapan yang saya berikan ini akan memberikan sedikit panduan kepada anak muda dalam menghadapi alam percintaan. Kita boleh memilih untuk berkahwin dengan orang yang kita cintai, tapi pastikan juga bahawa kita mencintai orang yang kita kahwini, sehingga mati, Insyaallah.


No comments:

Post a Comment