Salam buat semua,
Semenjak dua menjak ini, mood menulis agak merudum. Bukan tiada idea, bukan tiada isu yang mahu diulas,banyak sekali rasanya. Tapi entah bagaimana, hati terasa berat dan lesu untuk menterjemahkan bait bait kata fikiran kepada bit bit perkataan di papan kekunci. Jiwa terasa lemah dan longlai, bukanlah jari itu yang tidak bermaya, tetapi ruhani yang kelaparan menyebabkan minda ibarat terkunci dan jari jemari enggan menari.
Bila perkara sebegini terjadi, saya terpaksa berehat seketika dan banyak mengingati Allah bagi mengumpul kekuatan. Membaca terjemahan Al Quran dan merujuk kembali tulisan-tulisan dari Murabbi dakwah seperti Sheikh Hassan Al Banna, Sheikh Mustafa Masyhur dan Muhammad Ahmad Ar Rasyid banyak membantu melembutkan hati yang kering kontang dan hitam pekat akibat banyaknya noda dan dosa yang bertempekan.
Harap agar situasi ini akan kembali pulih secepatnya, kerana saya ingin segera keluar dari zon hitam kemalasan yang akhirnya akan membawa kepada bergugurannya iman bagai bergugurannya daun kering tika ditiup angin kencang. Doakan saya teman-teman semua dan salam Aidil Adha 1431 H buat semua. Moga pengorbanan Nabi Ibrahim menjadi contoh buat kita untuk mengorbankan apa yang kita cintai bagi menggapai redho ilahi.
No comments:
Post a Comment