Haji: Utamakanlah yang Lebih Utama


Musim Haji tahun ini baru sahaja melabuhkan tirai. Jemaah yang membanciri 2 kota suci kini mula perlahan-perlahan pulang ke kampung halaman masing-masing. Kerinduan kepada keluarga yang ditinggalkan semakin menebal, namun pastinya apabila pulang ke kampung halaman, kerinduan kepada 2 kota yang bercahaya ini akan terus menggamit.

Siapa yang pernah bertandang ke sana pasti akan jatuh cinta, ibarat cinta pandang pertama. Cinta ini akan terus melambai-lambai setiap jiwa untuk kembali ke sana bagi melunaskan rindu.

Atas sebab cinta inilah maka akan ada di kalangan jemaah yang bercita-cita untuk menunaikan umrah saban tahun dan haji 5 tahun sekali. Bahkan tidak mustahil jika ada yang bercita-cita untuk ke sana pada setiap musim Ramadhan dan pada setiap musim haji. Namun harus diingat, cinta dan kerinduan kepada 2 kota suci ini bukanlah cinta buta.

Setiap tahun pasti kita akan dengar akan kisah indah mereka yang menunaikan haji, dan tidak kurang juga kesedihan bagi mereka yang gagal mendapat tempat walaupun telah mendaftar bertahun-tahun.

Ada juga yang kelihatannya saban tahun berpeluang untuk menunaikan haji, duduk di hotel yang paling hampir hingga apabila dibuka tingkap bilik maka akan kelihatanlah Kaabah.

Namun ada juga yang kisahnya berbeza, saban tahun mendapat status “standby” dan akhirnya dikhabarkan berita dukacita kerana tidak terpilih bukan kerana simpanan tidak cukup, tetapi dikhabarkan wujudnya masalah kuota. 

Ketika ini ramailah yang menenangkan perasaan dengan memberikan hujah-hujah seperti “tidak ada rezqi”, “belum terpilih lagi”, “perancangan Allah mengatasi usaha manusia” dan berbagai lagi hingga akhirnya pada jiwanya akan timbul redha.

Namun redha tidak harus buta. Ia harus disusuli dengan “post mortem” agar masalah yang sama tidak berlaku berulang kali. Bukankah orang mu’min itu tidak akan jatuh ke dalam lubang yang sama sebanyak 2 kali.

Tabung Haji Malaysia harus memikirkan dengan serius isu pembahagian kuota ini, bagaimana ada yang dapat menunaikan haji berulang-ulang kali sedang pada masa yang sama ada yang saban tahun namanya tercicir walaupun telah mendapat status “standby”. Proses pembahagian kuota ini harus dilicinkan agar lebih ramai rakyat Malaysia khususnya warga tua yang tidak mempunyai wang yang banyak untuk mendaftar dengan pakej dan tidak mempunyai “kabel” pada peringkat atasan juga mendapat peluang yang setara untuk menunaikan haji.

Setiap tahun juga kita pasti akan dapat melihat ramai dari mereka yang berada atau ditaja oleh mereka yang berada berpeluang untuk menunaikan haji, sedangkan disatu sudut yang berbeza kita akan dapat lihat ramainya mereka yang telah menabung berpuluh-puluh tahun-tahun namun masih belum cukup simpanan untuk menunaikan haji.

Mereka ini hanya dapat menitiskan air mata melihat berita ditelevisyen dan suratkhabar tentang kisah indah mereka yang menunaikan haji, dan hati mereka pasti akan robek tatkala melihat adanya mereka yang saban tahun berpeluang ditaja untuk menunaikan haji sedang mereka terpaksa mengikat perut dan mengawal belanja berpuluh-puluh tahun untuk menyimpan wang bagi menunaikan haji.

Bukankah lebih baik bagi mereka yang mempunyai wang yang berlebihan menaja orang-orang kampung yang miskin yang masih tidak berpeluang untuk menunaikan haji kerana tidak mampu dari segi kewangan berbanding menaja tokoh-tokoh masyarakat atau ahli-ahli politik yang pastinya telah beberapa kali menunaikan haji.

Dan pastinya lebih baik lagi jika mereka yang berkelebihan dari segi kewangan ini membantu rakyat Malaysia yang dilanda kemiskinan dan kesusahan atau memerlukan belanja untuk rawatan perubatan. Amat cantik juga jika wang yang digunakan untuk menunaikan umrah dan haji setiap tahun dan untuk menaja ahli-ahli politik dan tokoh masyarakat yang telah banyak kali menunaikan haji digunakan untuk membantu rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat yang masih terkepung dan tertindas oleh rejim Zionis. Utamakanlah yang lebih utama.
Pernah diriwayatkan dalam sebuah kisah bahawa suatu ketika Abdullah Bin Mubarak dan rombongannya dalam perjalanan untuk menunaikan haji, dipertengahan jalan mereka berjumpa dengan seorang wanita miskin yang terpaksa memakan bangkai bagi menahan kelaparan. Maka Abdullah Bin Mubarak membatalkan perjalanan hajinya tahun itu kerana wang belanja hajinya digunakan untuk membantu wanita miskin itu membina kehidupannya.

Menunaikan haji itu memang perkara yang utama, namun ada perkara-perkara yang lebih utama terutamanya bagi mereka yang telah menunaikannya berkali-kali. Kenalilah dan hayatilah fiqh keutamaan ini bagi mendapat ganjaran pahala yang lebih hebat mengikut keutamaannya.

No comments:

Post a Comment