Peminta Sedekah Bertubuh Tegap...

Minggu lepas ketika menyelia praktikum di Kota Melaka,aku berpeluang menelusuri jalan dan lorong-lorong kecil yang pernah dilalui oleh Hang Tuah, Hang Jebat dan kawan-kawannya, menelusuri jalan-jalan ini aku teringat akan kehebatan muslim satu ketika dahulu, menjadi peniaga, pengembara dan membina empayar yang gagah. Namun kini segalanya tinggal kenangan, peribadi-peribadi muslim yang hebat telah tiada hari ini, yang tinggal hanya angka-angka kosong yang cintakan dunia dan takutkan mati.

Singgah di Masjid Kampung Hulu berhampiran Jalan Hang Tuah, aku terkejut apabila dihampiri oleh seorang pemuda bertubuh tegap, berjubah putih dan berkopiah datang menghulurkan tangan. Sangkaku, mungkin tempat letak kereta di masjid ini berbayar, namun apabila menoleh kepada pelajar yang aku selia yang menunggu diseberang jalan, dia menunjukkan isyarat tangan tanda supaya aku tidak menghiraukan lelaki tersebut.

Bila aku bertanya kepada pelajarku selepas itu tentang lelaki tersebut, katanya, telah menjadi seakan kebiasaan di masjid itu, akan ada orang-orang yang tanpa segan silu meminta sedekah dari orang yang singgah dimasjid itu, bukan lelaki itu sahaja, tetapi ada lagi yang bukan cacat dan bukan juga tidak waras, namun tangan dihulur tanpa rasa malu. Aku agak terkejut dan sedih, tubuhnya tiada cacat walau sedikitpun tapi kerjanya meminta sedekah.

Ketika selesai urusanku di pejabat, aku kembali ke perkarangan masjid, sekali lagi lelaki itu datang dan menghulurkan tangan, hatiku menjerit mahu memaki hamun, tapi mulutku seakan terkunci, aku hanya mampu menggeleng-gelengkan kepala dan terus berlalu dari situ dengan wajah yang masam. Apakah tiada ikhtiar lain bagi dirinya dalam mencari sesuap nasi?

Sepanjang perjalanan ke tempat seliaan seterusnya, aku terfikir sendiri, apakah nasib ummah ini, hingga pemuda-pemuda yang seharusnya menjadi batu-bata ummah, hari ini tenggelam dengan pelbagai permasalahan, bilakah kita akan bangkit dari tidur yang panjang?

2 comments: