2 Sudu Sekali Makan, 3 Kali Sehari

“Anak kita panas badannya ni, jom kita gi klinik” Ibu Khadijah menyapa suaminya Ahmad yang baru sahaja pulang dari kerja.

Ahmad meletakkan tangannya pada dahi si kecil, ternyata badannya agak panas, tanpa membuang masa, Ahmad menyuruh isterinya bersiap untuk ke klinik sesegera yang mungkin.

Tiba di klinik, ibu Khadijah membuat pendaftaran di kaunter, tidak berapa lama selepas itu, nama Khadijah dipanggil.

“Anak puan ni demam, jadi saya akan bagi ubat demam yang namanya Paracetamol, makan 2 sudu 3 kali sehari ye” doktor memberi arahan sambil menarik stetoskop dari dada si kecil Khadijah.

Ubat dan duit bertukar tangan, terlihat riak-riak kelegaan di wajah ibu Khadijah kerana anak kesayangannya telah mendapat penawar mujarab dari doktor.

Tiba di rumah, ibu Khadijah terus membuka plastik ubat, kemudian membaca nama ubat dan arahannya didepan anaknya yang demam

“Paracetamol, 2 sudu sekali makan 3 kali sehari”
“Paracetamol, 2 sudu sekali makan 3 kali sehari”

setelah mengulangkan ayat yang sama sebanyak 3 kali, ubat itu terus disimpan di almari. Keesokan harinya, ibu Khadijah mengambil ubat dari para almari dan terus membaca nama ubat serta arahannya, sama seperti perlakuannya semalam.
Namun wajahnya sedikit resah kerana demam anaknya kelihatan semakin teruk

Pulang dari kerja, Ahmad terlihat perlakuan pelik isterinya lalu menegur...

“Eh, buat apa lagu tu, mana ada anak tu nak sembuh kalau setakat dengar nama ubat dan arahannya aje, ubat tu untuk dimakan la...”

Ibu Khadijah terpinga-pinga melihat ubat dan anaknya yang sakit, padanlah demam anaknya tidak kebah-kebah, salah cara amalkan ubat rupanya...

Situasi diatas mungkin hanya khayalan, namun itulah yang terjadi kepada kebanyakan umat Islam hari ini. Walaupun mempunyai Al-Quran sebagai penawar mujarab, namun ia hanya dibaca dan dilagukan namun tidak diamalkan dalam kehidupan.

Al-Quran turun sebagai penawar kepada segala masalah manusia, namun sekadar membacanya sahaja tidak mencukupi, ia harus difahami dan diamalkan dalam seluruh aspek kehidupan.

Al-Quran juga tidak akan memberi kesan apa-apa jika hanya digantungkan di dinding-dinding dengan tulisan khat yang indah-indah, ibarat menggantungkan ubat di leher pesakit, sampai sudah pun pesakit pasti tidak akan mendapat manfaat dari ubat tersebut, tetapi Al-Quran mesti di sematkan di dalam hati sanubari, bukan hanya dihafal tetapi dilaksanakan setiap perintahnya dalam kehidupan.

Dan Kami turunkan dari Al Qur'an suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan Al Qur'an itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang lalim selain kerugian. 17:82

2 comments:

  1. ingat citer lawak tadi.. mmg benar seperti cerita tersebut

    ReplyDelete
  2. hehe...mmg lawakpun, tapi itulah hakikatnya, situasi ni pernah dinukilkan oleh Abul A'la Maududi dalam kitab Asas-Asas Islam. Aku hanya buat dalam bentuk yg berbeza je

    ReplyDelete