Jika bukan kita, siapa lagi? Jika bukan sekarang, bila lagi? Blogging from 2008 - ?
Layang-layang putus tali...
Setelah membaca artikel terbaru ustaz zaharuddin diblog peribadi beliau yang bertajuk tolong fikirkan wahai ibubapa, aku merenung kembali hubunganku dengan anak-anakku. Kadang-kadang ada rajuknya yang tidak diberi perhatian, ada janji yang tidak tertunaikan, ada kata-kata yang kadang-kadang mengguris rasa hati si kecil yang baru berusia 5 tahun.
Petang itu aku teringatkan janji untuk membelikan anakku layang-layang, telah berhari-hari aku menangguhkannya kerana ada sahaja alasan untuk tidak menunaikannya. Mulai hari ini, aku cuba untuk berazam tidak lagi memungkiri sebarang janji dengan anak-anak.
Pulang dari kerja dengan berbekalkan lollypop kegemaran, aku terus mengambilnya di tadika dan terus membawanya ke tasik. Wajahnya penuh ceria kerana mendapat lollypop dan bakal mendapat laying-layang yang telah lama diidam-idamkan.
Sampai sahaja ditasik, kami terus menuju ke gerai menjual layang-layang...
Berapa ni dik...? aku menunjuk kearah layang-layang yang kelihatan agak gah berbanding yang lain.
“Yang tu 10 ringgit bang..” penjual layang-layang itu menjawab sambil memegang layang-layang yang aku tunjukkan.
“ala, mahalnya, yang murah sikit takde ke” kali ini aku bertukar fikiran untuk mencari layang-layang yang agak basic, berpadanan dengan kami yang tiada pengalaman bermain layang-layang.
Seingat aku, kali terakhir aku bermain layang-layang adalah di padang taman permata 11 ketika usiaku 10 tahun, dan seingat aku juga, layang-layang itu gagal diterbangkan dan itulah kali terakhir aku bermain layang-layang sehinggalah hari ini.
Duit dan layang-layang bertukar tangan, akad dilafazkan tanda layang-layang bertukar hakmilik. Humaira kelihatan ceria tidak terkata.
Mulanya aku agak ragu-ragu bagaimana hendak menerbangkan layang-layang itu, melihat orang disekeliling layang-layang mereka telah terbang tinggi, aku terus melemparkannya ke atas dan Alhamdulillah angin bertiup kencang ketika itu, layang-
layang itu terus terbang tinggi.
Tidak berapa lama selepas itu angin berhenti bertiup, layang-layang kami jatuh tersangkut diatas pokok. “Alamak, sudah...” aku mendengus didalam hati. Mujurlah dengan 3 kali rentap sahaja, layang-layang itu kembali jatuh ke tanah. Ketika aku sedang menarik tali layang-layang itu, entah bagaimana, talinya tersimpul dengan sebuah layang-layang milik seorang kanak-kanak.
Aku bukanlah pakar dalam meleraikan simpulan, berpeluh jugalah hendak meleraikannya, kontrol macho jugalah...sedang aku cuba meleraikan simpulan, Humaira teringat kepada lollypopnya tadi yang aku simpan di dalam poket.
Dia terus merengek dan mendesak agar aku membuka bungkusan lollypop tersebut, sedang tumpuanku masih untuk membuka simpulan. Dalam kekalutan itu, simpulan bertambah kusut dan terlekat pula pada akar pokok. Rengekan Humaira semakin kuat “cepatlah ayah” diulang berpuluh-puluh kali, budak itu pula makin mendesak agar layang-layangnya dilepaskan segera.
Aku semakin hilang sabar, entah bagaimana tiba-tiba simpulan itu terlerai sendiri, lega sebentar. Setelah memberi layang-layang milik budak itu, aku terus mencapai lollypop tadi dan membuka bungkusannya.
Setelah lollypop tersemat kemas dimulutnya, barulah wajahnya yang kelat kembali cerah.
Kami menyambung lagi permainan layang-layang, kali ini aku menyuruhnya memegang kemudi layang-layang sambil aku memegang layang-layang tersebut.
Kami berlari dan terus berlari, namun layang-layang tidak juga terbang. Malu juga rasanya ketika melihat orang lain selamba sahaja menerbangkan layang-layang dengan begitu bergaya.
Sedang aku mengelamun, Humaira berlari tanpa aku sedari dan ... “pap” putuslah talinya dari layang-layang tersebut.
“Ayaaaah...,kenapa ayah tak lari, haa kan dah putus...” aduh, kita pula yang disalahkannya, sudahlah di khalayak ramai, tiba-tiba telefonku berdering pula...
“Abang kat mana ni...Khadijah menangis, syifa tak leh nak masak ni...” kedengaran sayup-sayup dari corong telefon suara khadijah sedang menangis dengan gayanya yang tersendiri...
Aduh...
Dari Abu Hurairah radhiallahuanhu sesungguhnya seseorang bertanya kepada Rasulullah sholallohu ‘alaihi wa sallam : (Ya Rasulullah) nasihatilah saya. Beliau bersabda : Jangan kamu marah. Beliau menanyakan hal itu berkali-kali. Maka beliau bersabda : Jangan engkau marah.
(Riwayat Bukhari )
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment