Humaira: 1 – Ayah: 0


Petang tadi aku yakin semua bangga menyaksikan kemenangan Malaysia dalam sukan bolasepak di sukan sea. Permainan yang menghiburkan dan tersusun terutama di separuh masa kedua mengubat luka dan memberi harapan akan sinar baru kepada wajah bolasepak Malaysia yang telah lama suram.

Namun, sedikit kekesalan kerana perlawanan berlangsung pada ketika umat Islam sedang menanti kedatangan tahun baru hijrah dan berlangsung pula melewati waktu maghrib. Aku harap disebalik kegembiraan meraikan kemenangan pemain-pemain tidak lupa akan tanggungjawab kepada tuhan, begitu juga penyokong-penyokong terutamanya yang berada di tanahair. Tidak ada alasan untuk menjamakkan solat apatah lagi jika jamak yang dilakukan adalah jama’ takdan ataupun jama’ takyah.

Dalam kekalutan waktu maghrib, aku sempat juga untuk menunaikan solat maghrib berjemaah disurau berhampiran rumahku, terasa bersalah jika meninggalkan jemaah hanya untuk satu perlawanan bolasepak. Tambahan pula azan kedengaran agak jelas.

Maghrib itu seperti biasa Humaira akan mengikutku ke surau.

Seusai solat ketika imam dan para jemaah lain berzikir, aku terus berdoa ringkas dan terus bergegas pulang ke rumah. Humaira kehairanan melihat rutinku tidak seperti biasa hari ini, ketika aku sedang menghidupkan enjin motor di luar surau, Humaira mengungkapkan apa yang terbuku dihatinya...

“Ayah, kenapa ayah tak tunggu zikir...”

Aku terkesima, tidak mampu menjawab soalan itu...kata-kata seterusnya lebih padu lagi...

“Ayah nak balik tengok bola eeeeehhhhh....hahaaaa” Humaira memberi satu rembatan tepat menembusi gawang dihatiku...

Tanpa membuang masa, aku terus menghidupkan enjin dan bergerak pantas pulang ke rumah sebelum Humaira mengeluarkan rembatan-rembatan seterusnya.

Aku hanya mampu menelan air liur sambil isu itu berlalu dibawa deruan angin ketika kami menaiki motorsikal...

“allahuakbar, allahuakbar, allahuakbar...” sayup-sayup kedengaran suara zikir dari surau....

Selamat Tahun Baru Hijrah, semoga amal bertambah seiring usia...

3 comments:

  1. Itulah yg dikatakan anak-anak yang bersih bak kain putih yang perlu dicorakkan dengan warna-warna ISLAM yang sebenar...Tahniah Malaysia, Tahniah En. Hisham

    ReplyDelete
  2. Bro Hisham, kdg2 kita belajar dari anak-anak dan bukan sebaliknya....

    PS. saya pun hampir kantoi jemaah gak.....saya sangka baik team kita bole jamak kot....hahahhaa.....

    ReplyDelete
  3. bukan kadang2..tapi selalunya..hehe, yelah depa jama' ta'khir kot, musafir kan, tapi penyokong kat malaysia, apa kesahnya?

    ReplyDelete