Jika bukan kita, siapa lagi? Jika bukan sekarang, bila lagi? Blogging from 2008 - ?
Dimana Wawasan Akhiratmu
Dalam dunia yang serba maju hari ni, semua orang bercakap tentang kehebatan dunia. Kehebatan dalam penyelidikan, kehebatan dalam penulisan, kehebatan dalam mencari harta, kehebatan dalam berpolitik dan pelbagai lagi kehebatan yang semuanya berkaitan dengan dunia semata-mata.
Jika bercakap tentang dunia, ramai yang pastinya akan mempunyai wawasannya masing-masing, ingin menjadi perdana menteri sebelum umur 40 tahun, ingin menjadi jutawan sebelum umur 30 tahun, ingin mendapat Dr., belajar di universiti terulung, ingin menjadi juara dunia, ingin menerbitkan artikel dalam jurnal 10 terbaik dan pelbagai lagi wawasan dunia yang hebat-hebat belaka.
Islam tidak pernah menghalang manusia mencari kecemerlangan dunia, bahkan ia adalah suatu tuntutan kepada umat Islam untuk cemerlang dalam segala aspek keduniaan, tetapi apa yang menjadi persoalan adalah dimana letaknya wawasan akhirat bagi setiap mereka yang ingin cemerlang di dunia.
Hari ini, ramai ibu bapa yang akan melenting apabila anak mereka gagal dalam peperiksaan, tetapi berapa ramaikah ibu bapa yang melenting tika mana anak mereka tidak mengerjakan solat.
Begitu juga dengan ahli - ahli akademik, tika mana berbicara tentang kehebatan penyelidikan dan ratusan artikel yang di baca, sejauh manakah wawasannya untuk mengkhatamkan al quran dalam sebulan, apatah lagi untuk memahami dan mentadabbur al quran.
Ramai juga pelajar yang sanggup bersengkang mata mengulangkaji pelajaran, ramai juga yang sanggup bangun seawal jam 3 pagi untuk melihat pasukan kegemaran beraksi, tapi dimana semangat mereka ini ketika mana seruan azan subuh berkumandang, apatah lagi bangun malam mengerjakan solat tahajjud.
Itu hanyalah beberapa contoh betapa umat islam hari ini songsang dalam kefahaman, songsang dalam tindakan, dunia diletakkan dihati bukan di genggaman tangannya.
Dunia hanyalah persinggahan sementara kita, buat mencari bekal untuk ke akhirat, dunia bukan tempat kekal kita, walau seindah mana hiasannya, ia tetap hanyalah senda gurau dan permainan semata. Jadikanlah dunia ini sebagai jambatan, tempat bercucuk tanam, untuk kita menuai hasilnya diakhirat nanti.
Tiada kehidupan melainkan kehidupan akhirat....
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment