Jika bukan kita, siapa lagi? Jika bukan sekarang, bila lagi? Blogging from 2008 - ?
Anak itu penyejuk mata
Ya Tuhan Kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan dan keturunan kami sebagai penyejuk mata, dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa. Furqan:74
Antara perkara yang paling aku tunggu-tunggu setiap kali aku pulang dari kerja adalah senyuman dari puteri sulungku, Humaira'. Senyumannya yang ikhlas bisa mencairkan segala keserabutan kepala, permasalahan yang kompleks dan kegundahan jiwa yang aku deritai sejak dari pagi. Tambahan pula, dalam usianya yang mencecah 3 tahun 4 bulan, telatahnya makin mencuit hati ku, keramahannya disukai oleh semua, kepintarannya kadang-kadang mengkagumkan aku.
Semalam, ketika aku balik dari program perkhemahan belia, kerana terlalu letih dan mengantuk, aku solat berjemaah di rumah sahaja, seperti biasa si kecil sibuk mencari telekung tatkala kami menghamparkan sejadah. Ketika aku mula membaca al fatihah, Humaira mengajuk dengan kuat, masuk bacaan surah, aku membaca surah al Lahab, dengan tidak disangka-sangka si kecil mengikut bacaan ku dengan separuh lancar dan sebutan yang sangat menggelikan hati, kemudian dia tertawa sendiri. Tak dapat aku meneruskan bacaan kerana hati sudah penat menahan geli. Terus aku rukuk dan menghabiskan solatku dengan segera. Selesai solat terus aku memeluk si kecil, tak sangka aku dalam usia yang sangat muda, dia sudah mampu menghafaz beberapa surah pendek dan doa-doa pendek beserta makna yang kadang-kadang aku sendiri tak terhafal.
Begitu sejuk hati dan mata ku maghrib itu, terubat segala kepenatan perkhemahan, sungguh benarlah bahawa anak yang soleh itu penyejuk mata dan penawar hati bagi ibu bapa.
Aku bercadang jika diizinkan Allah untuk menghantar Humaira ke sekolah yang menyediakan kemudahan hafazan al-quran, moga-moga kesolehannya diwaktu kecil itu kekal hingga dia ke hujung usia. Ya Allah, anugerahkanlah kepada kami isteri dan anak-anak yang akan menjadi penyejuk mata dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Allahu Akbar! Amin Ya Rabbal A'lamin... Suka tengok puteri ko, syam!
ReplyDelete