Makan untuk hidup atau hidup untuk makan?



Bila ditanya soalan diatas kepada kita, apa jawapan yang kita akan jawab agaknya? Rasanya pastilah yang waras akalnya akan menjawab hidup untuk makan, tapi rasa-rasanya ada juga yang akan tersasul jawab hidup untuk makan kot. Sebenarnya dalam makna soalan tersebut, ada kaitan dengan matlamat hidup kita.

Orang yang hidup untuk makan menjadikan agenda dan keutamaan yang paling utama dalam hidupnya adalah untuk makan dan memuaskan nafsu semata-mata. Tiada yang penting baginya selain dari memuaskan nafsu makan, tidur, bermewah dan berhibur. Apa yang penting dalam hidupnya adalah perutnya sentiasa kenyang dan nafsunya sentiasa puas. Hidupnya tidak ada matlamat jangka panjang yang jelas, masanya dihabiskan untuk perkara yang ada kaitan dengan perut dan nafsu sahaja. Bangun pagi fikir pasal makan, buat kerja sekejap, fikir pasal makan lagi, malam fikir pasal makan lagi, makan pula sentiasa nak yang sedap-sedap. Pakaian sentiasa nak yang ada kelas, kereta nak yang hebat-hebat, rumah nak yang paling luas. Hujung minggu pula fikir macamana nak berseronok, dalam alam kariernya sentiasa difikirkan macamana nak dapatkan kenaikan pangkat, bonus dan kontrak, supaya kehendak nafsunya sentiasa dapat dipenuhi. Tiada beza golongan ini dengan ayam, kambing, lembu, itik dan binatang ternak yang lain.

Bagi golongan seperti ini, hidup hanyalah untuk memuaskan hawa nafsu, agama ditolak ketepi, hidupnya kosong dari perjuangan dan tujuan hidup yang mulia.

Bagaimana nilaian Allah pada golongan ini? Mari kita tengok sama-sama :

“Orang-orang kafir itu mereka makan dan minum seperti mana binatang ternak makan dan minum, azab neraka adalah tempat tinggal mereka” Muhammad:12

Nauzubillahiminzalik, harap-harap kita tak termasuk dalam golongan seperti ini, kalau boleh kita nak masuk dalam golongan yang kedua iaitu golongan yang makan untuk hidup. Golongan yang makan untuk hidup ini hawa nafsu tidak dapat menguasai dirinya, hidupnya ada matlamat yang jelas dan mulia, makan dan harta baginya hanyalah wasilah untuk mencapai matlamat hidup yang mulia tadi. Setiap detik hidupnya dalam perjuangan, hidupnya diabdikan untuk tuhan yang esa, golongan ini telah membuat satu transaksi perniagaan yang menguntungkan dengan pemilik sekalian alam. Hebat golongan seperti ini, mari kita tengok apa balasan Allah pada golongan seperti ini :

“Niscaya Allah mengampuni dosa-dosamu dan memasukkanmu ke dalam syurga yang mengalir dibawahnya sungai-sungai, dan ke tempat-tempat tinggal yang baik di dalam syurga Adn. Itulah kemenangan yang agung.” Saff:12

Kita ni masuk dalam golongan mana? Tepuk dada, tanyalah pada hati…

No comments:

Post a Comment